Friday, February 19, 2010

Adik-adikku sayang....

Bismillahirahmanirahim...........

Bersyukur padaNya atas kesempatan dan ruang buat aku menziarahi keluarga di kampung. Cuti seminggu seakan tidak kusedari dan aku hampir terlalai dengan keseronokan di rumah. Setelah bertungkus-lumus selama 1 bulan di UIA, baru kali ini aku berkesempatan untuk pulang. Kemeriahan terasa apabila semua sanak saudara turut sama bercuti sempena hari raya Cina. Terasa seakan menyambut hari raya aidilfitri. Allah masih memberi kesempatan pada kami untuk menjalinkan ukhwah antara keluarga. Syukur. Aku terpaksa pulang awal untuk menyiapkan tugasan yang bertimbun banyaknya. Lagi tinggal seminggu sebelum aku 'posting' untuk kali ke-2. Debaran semakin terasa kerana masih banyak yang belum aku mahir untuk praktikal kali ini. Masa yang berlalu seakan tidak disedari. tanggungjawab aku msih banyak yang belum dilunaskan. Masihkah ada waktu untuk itu?

Adik-adik belum dapat aku fahamkan semuanya tentang erti hidup di bumi ini. Mungkin belum terbuka hati mereka untuk menerimanya. Hanya doa yang mampu aku pohonkan. Susah untuk mentarbiah keluarga sendiri. Namun, itulah tugas kita yang faham. Mereka masih mencari ruang keseronokan di zaman muda. Kesal aku dengan sikap itu. Bagaimana boleh aku bantu mereka? Kami mampu bergurau dan berseronok, namun pada satu masa aku sedih dengan sikap dan tingkah laku. Jauhnya kami dari agamaMu.

Adik-adikku, ku tahu tiada yang membaca kerana ini hanya coretan biasa.
Aku cuba menjadi petunjuk padamu, agar kita sama-sama tidak terlelap dalam fana ini.
Aku juga insan biasa sepertimu, mahu ditegur dan mahu menegur.
Seperti yang aku kata, di sana dikau akan persoalkan di mana tugasku?
Aku tahu aku tidak mengerti keadaanmu, bukan tidak mahu tapi cuba untuk membaiki
Aku harap engkau sedari bahawa kita ini milik pemilik hakiki,
Punya tugas di sini, untuk dibawa ke sana, dunia abadi.

Andai engkau masih punya pengerti, bantu aku untuk membantumu,
sebolehnya seikhlas hati,
agar kita sama-sama nanti berjumpa di syurga abadi.
Itu yang ku pohon padamu adik-adik yang ku cintai.

Monday, February 15, 2010

Tinta buat Adam

Adam...
Untuk merasai persis perasaan ibu,
Pasti takkan ku mampu kerana dia seorang ibu,
Sedangkan aku belum merasainya.

Adam...
Andai kau fikir isteri dan anak,
Adalah amanah buatmu.
Maka kau juga harus ingat,
Ibu mu juga adalah tanggungjawab,
Selagi hayat mu.

Lupakah kau amanat junjungan?
"Siapa yang perlu kau taat selepas Allah dan rasul?"
Baginda menjawab,
"ibumu" "selepas itu?" "ibumu" "selepas itu?" "ibumu"

Sedang nabi memuliakan ibu,
Siapakah kau untuk abaikan dia begitu?

Adam...
Tahukah engkau,
Ibu mu tetap yang utama,
Meskipun kau sudah beristeri tiga.

Ibu mu bukanlah sangkar lebah,
Habis kau tagih madunya seusia kecilmu,
Dan sisanya kau buang entah ke mana.

Adam...
Ibu mu adalah insan mulia,
Yang membawamu bersamanya 9 bulan,
Yang bertarung nyawa melahirkanmu.

Dia yang mendengar esak tangismu,
Dialah yang mengajarmu erti hidup,
Apakah tuba hadiah bermakna?

Adam...
Jangan benarkan.
Kisah al-qamah berulang,
Sayangilah ibu mu,
Kasihilah ibu mu,
Kerana di situ letaknya syurga mu,
Bukan di bawah telapak kaki isteri mu.

Adam...
Maafkan aku terkasar bahasa,
Mungkin aku terlalu emosi,
Kerana aku juga anak ibu,
Dan ku tak mahu ibu derita lagi.

Bukan niatku mengajar yang kau sendiri tahu,
Cuma fikirku kau mungkin lupa,
Tentang apa yang sepatutnya kau lakukan.


Tambahan Kisah Al-Qamah:

Dengan tergopoh-gopoh, isteri Al-Qamah menghadap Rasulullah SAW mengabarkan suaminya sakit. Beberapa hari mengalami naza' tapi tak juga sembuh.

"Aku sangat kasihan kepadanya ya Rasulullah," ratap perempuan itu.

Mendengar pengaduan wanita itu Nabi SAW merasa hiba. Beliau lalu mengutus sahabat Bilal, Shuhaib dan Ammar untuk menjenguk keadaan Al-Qamah. Keadaan Al-Qamah memang sudah dalam keadaan koma. Sahabat Bilal lalu membacakan tahlil di telinganya, anehnya seakan-akan mulut Al-Qamah rapat terkunci.

Berulang kali dicuba, mulutnya tetap tidak mahu membuka walaupun sedikit. Tiga sahabat itu lalu bergegas pulang dan mengkhabarkannya kepada Rasulullah SAW tentang keadaan Al-Qamah.

"Sudahkah dicuba bertalqin di telinganya?" tanya Nabi.

"Sudah Rasulullah, tetapi mulut itu tetap terbungkam rapat."

"Biarlah aku sendiri pergi ke sana." kata Nabi.

Pabila melihat keadaan Al-Qamah, Nabi bertanya kepada isteri Al-Qamah,

"Masihkah kedua orang tuanya?" tanya Nabi.

"Masih ya Rasulullah," tetapi tinggal ibunya yang sudah tua." jawab isterinya.

"Di mana dia sekarang?"

"Di rumahnya, tetapi rumahnya jauh dari sini."

Tanpa banyak bicara , Rasulullah SAW lalu mengajak sahabatnya menemui ibu Al-Qamah mengabarkan anaknya yang sakit parah.

"Biarlah dia rasakan sendiri", ujar ibu Al-Qamah.

"Tetapi dia sedang dalan keadaan nazak, apakah ibu tidak merasa kasihan kepada anakmu?" tanya Nabi.

"Dia berbuat dosa kepadaku," jawabnya singkat.

(Ilove Islam)

"Ya, tetapi maafkanlah dia. Sudah sewajarnya ibu memaafkan dosa anaknya," pujuk Nabi.

"Bagaimana aku harus memaafkan dia ya Rasulullah jika Al-Qamah selalu menyakiti hatiku sejak dia memiliki isteri," kata ibu itu.

"Jika kau tidak mau memaafkannya, Al-Qamah tidak akan bisa mengucap kalimat syahadat, dan dia akan mati kafir," kata Rasulullah.

"Biarlah dia ke neraka dengan dosanya," jawab ibu itu.

Merasa pujukannya tidak berhasil meluluhkan hati ibu itu, Rasulullah lalu mencari ikhtiar lain. Rasulullah berkata kepada sahabatnya Bilal.

"Hai Bilal, kumpulkan kayu bakar sebanyak-banyaknya," perintah Nabi.

"Untuk apa kayu bakar itu Rasulullah," tanya Bilal kehairanan.

"Akan kugunakan untuk membakar Al-Qamah, daripada dia hidup tersiksa seperti itu, jika dibakar dia akan lebih cepat mati, dan itu lebih baik karena tak lama menanggung sakit", jawab Rasulullah.

Mendengar perkataan Nabi itu, ibu Al-Qamah jadi tersentak. Hatinya luluh membayangkan jadinya jika anak lelaki di bakar hidup-hidup. Ia menghadap Rasulullah sambil meratap,

"Wahai Rasulullah, jangan kau bakar anakku," ratapnya.

Legalah kini hati Rasulullah karena bisa meluluhkan hati seorang ibu yang menaruh dendam kepada anak lelakinya. Beliau lalu mendatangi Al-Qamah dan menuntunya membaca talkin. Berbeda dengan sebelumnya, mulut Al-Qamah lantas bergerak membacakan kalimat zikir membaca syahadat seperti yang dituntunkan Nabi.

Jiwanya tenang kerana dosanya telah diampuni ibu kandungnya. Al-Qamah kemudian menghembuskan nafasnya yang terakhir dengan fasih mengucapkan kalimat syahadat. Dia meninggal dalam keadaan khusnul khatimah. Sesungguhnya surga adalah di bawah telapak kaki ibu.


Sunday, February 7, 2010

Tazkirah

Bismillahirahmanirahim…

Manusia sering memandang remeh dengan dosa-dosa kecil. Sedangkan, bila dikumpulkan dosa itu akan menjadi besar. Kita memandang enteng perkara ini. Dosa-dosa kecil boleh diibaratkan satu kaum yang tinggal di satu lembah. Setiap seorang akan membawa satu ranting dan mengumpulkan rating tersebut. Sehinggalah ranting itu mampu untuk memasak sekeping roti apabila dijadikan unggun api. Begitu besar kesannya kepada diri kita. Contoh yang boleh diambil adalah, berprasangka kepada orang lain, tidak menjaga pandangan dan sebagainya. Satu dosa sahaja telah meninggalkan satu titik hitam di hati kita. Apabila terlalu banyak titik-titik hitam, hati kita akan diselaputi dosa dan menghijab diri kita dengan Allah.

Bagaimana mahu mengenali dosa-dosa kecil?. Sabda Rasulullah s.a.w, “Apabila ada gelojak dalam hatimu, tinggalkanlah”. Apa sahaja yang ingin kita lakukan, jika kita ragu-ragu untuk melakukannya segeralah meninggalkannya. Hal ini kerana ia mungkin membawa kita kepada dosa. Pandanglah perbuatan kita dengan menggunakan mata hati. Sentiasa bertanyakan diri, ‘redhakah Allah pada perbuatanku?’. Mata hati tidak pernah menipu. Jika ada was-was di hati, tinggalkan pekerjaan kita dengan segera. Kerana ia mungkin mengundang bisikan syaitan. Syaitan sentiasa membisikkan kemungkaran yang dilakukan adalah sesuatu yang tidak dilarang oleh Islam. Dalam surah An-Nas ada disebut, bisikan yang bersembunyi yakni bisikan syaitan ke dalam dada manusia. (4-5).

Orang mukmin akan memandang dosanya ibarat gunung yang akan menghempapnya. Kita tidak boleh meremehkan dosa kecil kerana Allah melihat setiap perbuatan kita. Semua amalan akan dicatat. Setiap perbuatan akan dihitung dan dibalas mengikut amalan yang dilakukan. “Maka barangsiapa mengerjakan kebaikan sebesar zarah, nescaya dia akan melihat balasannya. Dan barang siapa mengerjakan kejahatan seberat zarah, nescaya dia akan melihatnya” (99:7-8). Dosa kecil mampu membinasakan kita di akhirat kelak. Anggota badan kita mudah untuk melakukan dosa-dosa kecil. Pandangan mata, ucapan lidah, hala tuju kaki, coretan tangan, semuanya boleh menyebabkan kearah dosa-dosa kecil. Di akhirat kelak, anggota inilah yang akan menjadi persaksian atas semua tindakan kita. Ibrahim Adham pernah ditanya oleh seorang lelaki yang ingin melakukan maksiat, bagaimana untuk menghindarinya. Beliau menjawab, “jika ingin bermaksiat, jangan tinggal di bumi Allah, jangan makan rezeki yang dikurniakanNya, jengan menggunakan nikmatNya. Jika ingin juga berbuat maksiat, carilah tempat di mana Allah tidak nampak”. Semua ini mustahil untuk dilakukan. Akhirnya, pemuda tersebut meninggalkan maksiat yang ingin dilakukannya.

Kita perlu bermujahadah dalam melawan hawa nafsu. Cara yang boleh dilakukan adalah dnegna menghadirkan kebesaran Allah dalam hati. Sentiasa memikirkan kerdilnya kita di hadapannya. Fikirkan tentang nikmat yang diberikan. Allah tidak pernah meminta bahkan kitalah yang sering meminta walapun tidak pernah membalas. Allah tidak perlukan kita tetapi kita sentiasa perlukanNya. Hadirkan rasa raja’ dan khauf. Yakni, rasa takut kepada Allah. Takut dengan azabnya samada di dunia atau di akhirat sana. Mampukah kita memberi jaminan bahawa syurga milik kita. Rasulullah pernah bersabda mafhumnya, “sesungguhnya iman di dalam hati kamu akan lusuh dan mohonlah pada Allah agar mmeperbaharui hati itu”. Imam Ghazali berkata, “carilah hatimu di 3 tempat. Temui hatimu sewaktu membaca al-quran. Tetapi, jika tidak ditemui, carilah ketika hatimu mengerjakan solat. Jika tidak ditemui juga, carilah hatimu ketika beristighfar mengingati mati. Jika kau tidak menemui juga, maka berdoalah kepada Allah dan pohonlah hati yang baru kerana pada hakikatnya pada ketika itu, engkau tidak mempunyai hati. Moga-moga peringatan ini sampai pada kita semua. Wallahualam...

Tuesday, January 26, 2010

Dugaan....:(

Bismillahirahmanirahim............

Terhiris hati dengan sikap kawan-kawan. Ya Allah, beri aku kekuatan. Terlalu banyak dugaan mendatang untuk sem ini. Rasa mahu jatuh. Hanya padaNya aku memohon dan merintih. Aku memang hambanya yang lemah. Dugaan demi dugaan yang mendatang. Terasa bebanan yang berat menghempap diri. Antara sikap tidak peduli dan tanggungjawab sebagai penyambung risalah. Ya Allah, Engkau tidak membebankan hambaMu. Aku pasrah atas segalanya.



Hati,
Bersabarlah dengan segala kerenah dunia,
Dengan kerenah manusia,
Dengan segala sikap manusia.

Hati,
Bertasbihlah memuji Tuhanmu,
Merayulah pada Yang Maha Kuasa,
Menangislah di hadapanNya,
Sesungguhnya, Dia Maha Mendengar.

Hati,
Pujuklah diri,
Diri yang sering keluh kesal,
Diri yang lemah dengan ujianNya,
Semoga mampu berdiri dengan mehnah ini.

Tetaplah hati pada jalan perjuangan,
Coraklah hati mengikut panduan Rasulmu,
Didiklah hati tegar dengan kehidupan,
Kerana inilah cubaan dunia.

Sunday, January 17, 2010

Coretan mingguan

Bismillahirahmanirahim................

Rasanya sudah sekian lama tidak menulis di blog sendiri. Seperti biasa, rutin sebagai pelajar menyibukkan aku dengan assignment yang banyak. Itulah lumrah hidup. Alhamdullilah, masih berkesempatan juga untuk aku datang ke usrah . Walaupun pengisian yang sedikit, semoga itu yang berbekas di hati. Begitu juga dengan usrah Gen. Masih berjalan seperti biasa. Sekurang-kurangnya hati ini tidak terlalu kering. Sujudku pada Allah. Masa yang berlalu seakan terlalu pantas. Mid Term akan menyusul tidak lama lagi.

Dalam kesibukkan seharian, aku masih mencari masa untuk mengulangkaji pelajaran. Tapi, tak juga jumpa. Aku rasa cemburu dengan 'roomate'ku yang asyik menelaah. Lantas, seorang sahabat berkata, "Dia bukan kaki program. Itulah dia tidak sesibuk kita". Betul. Aku sangat setuju. Lantas, barulah kau sedar kembali pegangan aku selama ini. Hidup di dunia bukan untuk mengejar pointer semata-mata. Kita akan kembali pada Rabb kita satu hari nanti. Di ladang ini kita bercucuk tanam untuk kita tuai hasilnya di sana. Setakat mana kita korbankan masa untuk aktiviti kebajikan di dunia ini, sebanyak itu juga hasil yang kita dapat. Semoga setiap titisan peluh yang keluar menjadi saksi pada kita bahawa kita telah berbuat kebajikan di dunia ini. Insyallah.

Jadilah insan yang berguna untuk orang lain. Maksudnya, ketika orang lain memerlukan bantuan kita, hulurkanlah walaupun di saat kita tidak berdaya. Hati orang-orang mukmin akan tersentuh bilamana saudaranya memohon pertolongan daripadanya. Semoga Allah pula yang membantu kita di saat kesusahan. Sahabat baik sekalipun kadang-kadang enggan menjadi pembantu. Dan sebaik-baik penolong ialah Allah Az-zawajala. Wallahualam.

Saturday, January 9, 2010

Kontroversi pemakaian kalimah Allah


Dato’ Dr. Siddiq Fadzil
Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)


Selama berabad-abad negara Malaysia (dan sebelumnya Tanah Melayu) yang terbentuk daripada gabungan Negeri-Negeri Melayu (Malay States) ini durujuk sebagai model negara berbilang kaum dan agama yang rukun, harmonis dan penuh tolerasi. Kejayaan mencipta kerukunan hidup antara agama adalah suatu prestasi ketamadunan dan kemanusiaan yang tidak ternilai. Faktor kunci kejayaan ini tidak lain adalah sikap ramah bangsa Melayu-Muslim yang menjadi golongan majoriti dan sekaligus “tuan rumah”. Keramahan luar biasa yang memang menjadi watak bangsa inilah yang memungkinkan penganut pelbagai agama (Kristian, Hindu, Buddha dan lain-lain) di negara ini menikmati kebebasan dan keselesaan mengamalkan agama masing-masing tanpa gangguan.

Selama ini kerukunan hidup sedemikian itu dapat dipertahankan kerana adanya sikap menghargai keramahan (Melayu-Muslim) tersebut, di samping adanya rasa hormat terhadap kedudukan istimewa agama Islam sebagai agama Persekutuan, juga kerana adanya kesedaran terhadap realiti kesejarahan dan kebudayaan negara ini. Memang dalam sejarahnya Negeri-Negeri Melayu adalah bahagian daripada warga rumpun besar Dar al-Islam. Kesedaran tentang hakikat-hakikat inilah yang melatari keharmonian hubungan antara kaum dan agama selama ini. Justeru, kesedaran tersebutlah yang membentuk sikap saling memahami dan menghormati batas dan sempadan daerah keagamaan masing-masing. Kaum bukan Muslim umumnya cukup memahami daerah sensitiviti masyarakat Melayu-Muslim, dan demikian pula sebaliknya. Kerana itu hal-hal yang berkaitan dengan kedudukan Melayu dan Islam biasanya tidak diusik atau diganggu.

Ketegangan di sekitar isu pemakaian kalimat Allah ketika ini adalah akibat kegagalan menghayati tradisi menjaga sensitiviti umat Melayu-Islam. Mereka yang berkeras mahu menggunakan kalimat Allah dalam konteks agama Katolik bukan tidak tahu tentang keberatan umat Islam terhadap tuntutan mereka. Sikap tersebut tidak lain adalah gejala hilangnya kepedulian terhadap perasaan dan pendirian orang lain. Seharusnya mereka berusaha untuk cuba memahami keberatan umat Melayu-Muslim terhadap pemakaian nama Allah dalam konteks agama selain Islam.

Bagi umat Islam Allah adalah di atas segala-gala. Demikianlah hakikatnya, Allah selamanya merupakan ultimate concern bagi kaum Muslimin. Syahadat pertama keislaman mereka adalah kesaksian tentang hakikat ketiadaan tuhan selain Allah (Yang Maha Esa). Hanya Dia yang bernama Allah, nama yang dipilih sendiri oleh Allah khusus untuk diri-Nya, tidak siapa pun boleh memakainya selain Allah sendiri. Ia adalah al-Ism al-A`zam, Nama Agung bagi Dhat yang wajib al-wujud. Ia adalah nama yang merujuk Dhat yang meliputi seluruh sifat ketuhanan. Sebagai nama khusus-Nya, ia berbeza daripada nama-nama-Nya yang lain seperti al-Qadir, al-`Alim, al-Rahim yang boleh dipakai oleh yang lain-lain. Kerana kekhususannya itu jugalah nama-nama-Nya yang lain itu dinisbahkan kepada nama Allah lalu disebut asma’u ‘Llah (nama-nama Allah). Al-Sabur, al-Shakur, al-Qadir misalnya disebut sebagai nama-nama Allah, tetapi tidak boleh disebut sebaliknya, Allah adalah nama al-Shakur atau al-Sabur. Demikianlah hakikat kalimat Allah sebagai nama khas (`alam) yang tidak dipakai untuk selain-Nya.

Allah bukan nama am yang siapa sahaja boleh memakainya, dan bukan juga kata umum tanpa makna dan definisi tertentu sehingga siapa sahaja boleh memaknainya. Andainya kalimat Allah dimaknai lain daripada makna dan definisi hakikinya, jelas akan menimbulkan kekacauan semantik yang serius. Bagi umat Melayu-Muslim sejak mula kalimat Allah sudah sedia terpadu dengan definisi yang mantap dan muktamad, definisi yang diungkapkan oleh Allah sendiri dalam surah al-Ikhlas, “Katakanlah: Dia-lah Allah, Yang Maha Esa. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tiada pula diperanakkan. Dan tidak ada seorangpun yang setara dengan Dia.”. Penurunan surah tersebut dilatari peristiwa kedatangan sekumpulan orang Yahudi meminta Nabi s.`a.w. memberikan pemerian tentang Tuhannya. Kerana itu surah ini bermula dengan kata Qul (Katakan) yang kemudian diikuti dengan ayat-ayat yang mengandungi rumusan definisi tentang Allah. Ternyata Allah adalah nama yang menyebatikan makna tauhidik, nama yang menolak syirik, dan sekaligus nama yang menafikan faham trinity (Tidak beranak dan tidak diperanakkan). Kerana itu surah ini disebut juga dengan nama Suratu ‘t-Tawhid. Memang ia adalah surah yang merumuskan faham tauhid yang semurni dan semutlaknya. Ayat-ayat dalam surah ini juga dengan jelas mengungkapkan makna bahawa Allah adalah “...a Personality”, bukan sekadar suatu konsep falsafi yang abstrak.

Surah al-Ikhlas adalah antara sekian banyak surah dan ayat al-Qur’an yang membawa mesej conceptual correction terhadap pemakaian nama Allah di kalangan masyarakat pra-Islam termasuk sebahagian suku-suku Arab jahiliah dan kaum Nasrani. Mereka memakai nama Allah dalam konteks faham syirik, termasuk faham al-tathlith atau trinity. Ayat-ayat korektif tersebut rata-rata membawakan makna dan nada ketidakrelaan Allah terhadap pemakaian nama-Nya dalam konteks yang menyimpang daripada prinsip kemurnian dan kemutlakan tauhid. Demikianlah kalimat dan nama Allah yang difahami oleh umat Melayu-Muslim umumnya, lalu bagaimana mungkin mereka yang saban hari membaca dan menghayati surah al-Tawhid akan dengan senang merelakan Nama Suci dan Agung ini dipakai dalam konteks faham syirik.

Sikap berkeras mahu menggunakan juga kalimat Allah (sekalipun dengan mengguris perasaan sebahagian besar umat Melayu-Muslim) menimbulkan tanda tanya, ada apa sebenarnya? Selama ini, sejak ratusan tahun, tanpa memakai nama Allah, para penganut Katolitik telah dapat mengamalkan agama mereka dengan leluasa. Ajaran Katolik dapat difahami oleh para penganutnya, malah telah dikembangkan tanpa masalah. Lalu kenapa sekarang isu ini dibangkitkan dan diperjuangkan dengan cara yang begitu provokatif. Mereka bukan tidak tahu betapa sensitif dan eksplosifnya isu ini. Mereka juga bukan tidak tahu bahawa isu ini menyentuh jantung ajaran agama Islam.

Rasanya wajar sekali kita merenung kata-kata Gopal Raj Kumar yang kami petik di bawah ini:

What Catholics appear to be seeking here is an extension to that form of racism that whatever non Malays and non Muslims wish to do in the name of religion has to be tolerated in the name of a half written constitution. Whilst at the same time arguing against everything that the Malays as a majority in a democracy do as wrong and racist.

Catholics must learn to reciprocate in kind to a people in whose country they have been treated with much reverence, dignity and respect over centuries. Malaysia although fundamentally a Muslim state has, advocated for and advanced Catholic (and other religious causes and purposes) without the let or hindrance of religious intolerance like that imposed on them by the Thais, Burmese, Philippines, Australians, Chinese and more recently the Swiss. Much of the reason we are able to debate such issues and to read and write about it today it is often argued is the result of a good Catholic education. Wrong! It is equally the result of Malay Muslim generosity in allowing the propagation of the faith, its schools and other institutions to thrive and its tolerance of their values. It is a pity that in return all that the Catholic church has to offer is an insult to the Malays and Malay Muslims in persuing such a worthless policy of provocation.

In a demonstration of its faith in its own credo of Good Christian Charity and goodwill, the Catholic Church ought to withdraw the ridiculous and provocative demand now legitimised by a flawed decision. It should demonstrate that it ought not to be allowed the sinister use of one Arabic word Allah which is clearly a thorn in the side of its Malay majority hosts. The church may do so without any embarrassment to itself. On the contrary with one fell act of goodness and respect it would build a bridge of understanding likely to last forever as a monument to its credo, rather than for the blemishes in its record of insults, abuse, its betrayal to the colonials and the undermining of the cultural and religious sensitivities and heritage of Malaysia’s majority (http://takemon.wordpress.com/about/).

Isu ini seharusnya diselesaikan secepat dan sebijaksana mungkin. Semakin lama dipolemikkan, akan semakin panjang rentetan persoalannya. Sikap berkeras mahukan sesuatu yang jelas-jelas tidak dapat diberikan akan menimbulkan dugaan adanya agenda terselubung di balik tuntutan tersebut. Ia akan ditafsirkan sebagai strategi “lulus jarum, lulus kelindan”, selepas kalimat Allah akan banyak lagi istilah-istilah Islam yang dikatolikkan seperti kalimat syahadat, solat, zakat, haji dan lain-lain lagi. Isu ini akan memarakkan spekulasi bahawa ia adalah bahagian daripada agenda besar mendistorsikan Islam dengan memakai istilah-istilah Islam yang dirubah erti dan isinya. Masyarakat Islam akhirnya akan mengalami kekeliruan yang serius dan tidak lagi mengenal Islam yang murni. Lebih jauh lagi isu ini akan membangkitkan semula kenangan pedih masa lalu, zaman awal kedatangan penjajah Barat yang membawa agenda pengkristianan rakyat pribumi Melayu. Arkitek penjajahan Inggeris di rantau ini, S. Raffles tidak datang hanya untuk mengaut kekayaan, tetapi juga datang dengan misi dan cita-cita pengembangan Bible Society. Kegiatan menyebarkan agama Kristian di kalangan pribumi Melayu itu dilakukan atas nama “...cultivating the waste and barren soil of the native mind”. Usaha mengkristiankan orang Melayu telah dilakukan dengan bersungguh-sungguh, termasuk dengan menterjemahkan Bible ke dalam bahasa Melayu. Untuk itu mereka telah mendapatkan khidmat Abdullah Munsyi. Bagaimanapun orang Melayu berpegang kuat dengan Islam. Abdullah Munsyi yang terlibat dalam penterjemahan Bible mendapat gelar ejekan “Abdullah Paderi”.

Catatan tersebut seharusnya sudah menjadi “perkara masa lalu” yang sudah tidak relevan lagi dalam konteks semangat masa kini, era membina kesatuan dalam kepelbagaian. Provokasi-provokasi keagamaan sehausnya dihindari, dan tuntutan yang menjadi keberatan umat Melayu Islam ini harus dihentikan. Apa pun yang berlaku pada pemakaian kalimat Allah di luar Malaysia tidak semestinya relevan dengan masyarakat kita. Isu ini harus dilihat secara kontekstual. Realiti sejarah dan budaya Malaysia memang tidak memungkinkan pemakaian kalimat Allah di luar konteks keislaman. Fiqh kita mengambilkira `uruf ahl al-balad (budaya warga setempat). Antara yang harus menjadi pertimbangan utama dalam isu ini ialah mafsadah atau kesan buruknya yang perlu dihindari.

Friday, December 25, 2009

KEM MAHASISWA MUDA

Bismillahirahmanirrahim…………..alhamdulillah. dah 2 minggu aku memulakan sem baru. Aku panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran atas rahmat dan rahmanNYA. Hujung minggu yang terisi. Alhamdulillah, Dia memberi kesempatan lagi buat diri ini untuk ditarbiah. Untuk diberi tazkirah agar hati ini tidak gersang. Syukran jazilan tidak terhingga buat akak-akak dan abang-abang atas penganjuran program Kem Mahasiswa Muda di Pusat Kokurikulum, Pahang. Setelah lama penantian, hari itu tiba jua. Perkara yang unik dalam program ini adalah bilangan peserta perempuan yang memonopoli kehadiran peserta. Peserta lelaki hanya diwakili oleh seorang ar-rijal. Namun begitu, perkara pokoknya adalah kualiti daripada program tersebut.

Pengalaman selama 3 hari 2 malam akan aku cuba praktikan dalam kehidupan kampus ini. Insyallah. Bersama sahabat-sahabat, kami diisi dengan slot-slot rohani. Pengertian tentang kejadian diri ini. “Man Ana?”. Kupasan tentang kejadian kita di atas bumi Tuhan. Bagaimana harus seorang insane memandang dirinya sebagai hamba dan khalifah di bumi ini.Juga, pemahaman dengan erti kebahagian. Kebahagian itu tercapai bila ada keyakinan kepada Allah. Kemudian, kehidupan ini dikaitkan dengan alam sekitar dalam slot ‘alam dan manusia’ oleh saudara Hamidi. Apa kaitannya manusia dan alam?. Alam juga hamba yang sentiasa bertasbih pada RabbNya. Kita sebagai pemakmur perlu menggunakan alam ini dengan sebaik mungkin.

Slot seterusnya diisi oleh saudari Emey dari Gombak. Beliau menerangkan peranan sebagai mahasiswa. Bagaimana harus kita beraksi dalam menyumbangkan kepada orang lain. Pendidikan adalah factor terpenting dalam membentuk seorang mahasiswa yang menggelar diri sebagai aktivis. Di mana konsep belajar, mengajar dan diajar perlu diterapkan dalam diri. Setiap slot rohani di adaptasi ke dalam latihan dalam kumpulan (LDK). Pengalaman paling mencabar adalah ketika kami dibawa untuk riadah petang. Dengan keizinanNYa, kami dibawa untuk berkayak. Pada kali ini, lmu yang diperoleh tentang kayak adalah lebih mendalam. Kami terpaksa melalui ‘water resistant’. Hal ini adalah untuk memastikan semua peserta mampu bertindak ketika kayak terbalik. Cabaran ini membawa kami untuk mengatasi perasaan takut kepada air. Keseronakkan terasa apabila semua peserta mendapat peluang berkayak tanpa menunggu giliran dan masa berkayak adalah lama.

Seperti program lain, cabang objektif program ini adalah untuk mengeratkan ukhwah dan hubungan sesama ahli. Slot paling menarik perhatianku adalah slot oleh saudara Hasanin. Beliau menggariskan perkataan ‘retorik’. Bukannya kita hanya tahu berbicara tanpa membuat sesuatu pekerjaan tersebut seperti yang digambarkan dalam surah as-saff. Bahkan, kita tidak layak menggelar diri ini sebagia Da’ie. Taraf seorang da’ie sangat tinggi. Begitu juga dengan panggilan murabbi. Lantas, aku merasakan diri ini sangat kerdil. Bait kata-kata itu seakan menusuk hati. Membuatkan aku bermuhasabah diri. Seakan diri ini dikejutkan dari mimpi.

Sebelum berakhir, semua peserta perlu melakukan SWOT dan POA. Di mana, aktiviti ini member satu tugas dan tanggungjawab untuk dibawa pulang. Masih ada jiwa-jiwa kosong di luar sana yang masih memerlukan bimbingan kami. Hati-hati yang masih cintakan kebenaran. Kerana itulah fitrah manusia. Sunnatullah yang telah ditetapkanNya. Itulah beban yang paling berat aku rasakan. Hampir menitis air mataku memikirkannya. Mampukah aku?

Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, "sesungguhnya Aku hendak menjadikna khalifah di muka bumi ini". Mereka berkata, "Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, apdahal kami sentiasa bertasbih memuji Engkau dan menyucikan Engkau?". Tuhan berfirman, "sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui". (2:30).

Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih menumbuhkan tujuh bulir seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi sesiapa yang dikehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurniaNya) lagi Maha Mengetahui.(2:261)