Friday, March 31, 2017

Bulan baru,azam baru

"Tahun baru, azam baru". Ni cakap-cakap yang kita biasa dengarkan. Sekarang nak tukar sikit. "Bulan baru, azam baru". Haha.. Setiap bulan kena azam baru ke? Tak ade lah. Masih dengan azam yang mula-mula kita niatkan awal tahun dulu, cuma kita perbaharui niat kita. Mana tau ada terpesong ke sikit-sikit. Jadi, kita perbetulkan balik.

Untuk yang berazam nak pakai tudung labuh. Boleh mulakan perlahan-lahan. Jangan buat secara drastik. Biar kita benar-benar faham kenapa nak pakai tudung labuh. Jangan main ikut je. Penulis dulu pun berubah secara berperingkat. Mula-mula tudung biasa, kemudian, tudung bidang 45. Lepas tu, barulah tudung labuh (bidang 60). Sebab kita tak nak buat sebab orang lain buat. Orang lain pakai tudung labuh, kita pun pakai tudung labuh. Sampai masa, kita tukar pulak. Kita tak nak la jadi macam tu. Apa yang kita buat itu cantik dah. Tinggal, untuk istiqamah saja. 

Jadi, meh la kita kenal-kenal dengan tudung yang penulis ada. 



Easy Rossy. 

* Mudah, hanya sarung saja. 

* Terdapat dalam 10 pihan warna, pastinya akan membuat anda tertarik

* Didatangkan dengan 2 saiz, L dan XL

* Material daripada soft cotton lycra: inner, Chiffon panora: boddy. 



Around the World 

* Fabrik bermutu daripada Custom printed Panora chiffon 

* Instant shawl dengan 2 muka, mudah untuk dipakai

*Awning lembut, sesuai untuk semua bentuk muka

* Terdapat 5 jenis corak



Mika exclusive 

* Tudung instant 2 muka 

* Tidak perlu digosok

* solat ready 

* fabrik daripada printed panora silk Digital & cotton 



Anda berminat, hubungi sekarang: 0133085332 (Farhana) 





Tuesday, March 28, 2017

Anda mencari tudung labuh?

Anda peminat tudung labuh? 

Saya adalah orang yang anda cari. Kami tawarkan beberapa pilihan tudung yang menarik untuk anda. Bukan saja labuh, fabriknya lembut, selesa dan yang paling penting cepat... Juga, mudah untuk digayakan.

Tak rugi pun kalau nak hadiahkan pada yang tersayang atau untuk koleksi sendiri. 
Sekarang, tudung Mika printed tu tengah ada promosi tau. Jangan lepaskan peluang.

kalau berminat, hubungi saya: 0133085332 (Farhana)
#sayajualtudunglabuh







Permulaan 2017

Bismillahirahmanirahim.

Alhamdulillah, masih diberi peluang mengecapi nikmat hidup. 4 tahun tinggalkan blog. :). Hmm... macam-macam yang berlaku dalam 4 tahun ni. Yes, life always go on.

Untuk permulaan post bagi 2017 ni, walaupun dah nak masuk bulan 4 tapi takpe la. Hehe.. Aku nak cerita sikit pasal diri sendiri. Ye la, dah 4 tahun, mesti la banyak yang berubah. Termasuk la 'title' diri sendiri... Hehe..

Jadinya, aku ni dah kahwin for one year. Alhamdulillah, Lepas kerja di Al-Islam selama setahun, aku berhenti ikut suami balik Perlis. Bukan mudah nak duduk jauh-jauh ni. Hati tak cekal. Huhu.. Tapi, aku struggle jugak la dalam masa setahun ni untuk suaikan diri. Jauh daripada mak abah, duduk dengan mentua yang bukan rumah kita dan masih baru dalam alam perkahwinan. Depression juga la setahun. Dengan kemurungan yang melampau. Asyik 'mood swing' je.. Suami la jadi mangsa. Hehe. Tapi, alhamdulillah dapat suami yang penyabar. Aku cuba kuatkan semangat. Ye la, dengan kerja takde, pastu takde buat ape kt rumah ni, memang boleh jadi murung.

Bila start tahun 2017, aku cuba berubah perlahan-lahan. Sentiasa kuatkan diri. Sentiasa kuatkan azam nak berubah jadi lebih baik. Cara paling berkesan adalah 'I have a diary'. Segala perkataan-perkataan negetif aku salurkan ke dalam diari tersebut. Contengan-contengan dalam buku tu menjadikan aku tak la bebas sangat nak bercerita tak tentu hala. Nak luah tak tentu hala. It saved me at one point.

Kawan baik aku pun dah kahwin, Kina. hehe.. tak sangka pulak dia selepas aku. Moga Kinah bahagia selalu. Yang lain masih mencari dan bersabar. Ana doakan yang terbaik untuk sahabat-sahabat semua. Enjoy your single time. Sebab perkahwinan ni bukan semuanya manis. Dan kunci yang perlu ada adalah sabar..sabar...sabar... :)

Untuk masa sekarang, aku jadi agen jualan tudung secara 'online'. InshaAllah, post-post lepas ni akan banyak berkait dengan tudung sebab ini salah satu wadah aku untuk cari rezeki. Sebenarnya, kami  (baca: aku dan suami) bermula dengan jualan kerepok lekor. Alhamdulillah, jualan sangat-sangat laku dan memberansangkan. Suami la banyak tolong jual dekat klinik dia. Eh, lupa pulak nak kenalkan encik suami. Hehe.. Lain post ye.

Kenkawan semua doakan la bisnes kami maju. Harapnya dapat la tampung serba sedikit umtuk rezeki kami kerana kami percaya rezeki itu milik Allah. Jangan sesekali putus harapan padanya. Rezeki Dia sangat la luas. Tinggal kita sahaja nak ambik ke tak nak.

Sekian dulu. Tunggu post lain. Terima kasih. Belanja gambar kawin sikit.







Wednesday, September 11, 2013

Sungguh, aku merindui kalian!

Bismillahirrahmanirahim........................

4 tahun di bumi Kuantan mencatat pelbagai nostalgia buatku. Suka, duka, pengalaman yang membina kematangan diri ini dan yang paling memberi kesan; nilai ukhwah yang sudah ditanam dan dibajai dengan subur. Hasilnya, kasih sayang yang terbina semakin mekar meskipun diri ini jauh di negeri sebelah. Sungguh, berjauhan itu perlu supaya kita mampu mengukur nilai ukwah itu. Bukan untuk menguji, sekadar mencari permata sejati. 

Hidup menumpang di dalam gerakan mengetuk diri ini untuk mengenali diri. Manusia yang 'sedar diri' tahu akan tujuan penciptaan ini, pasti memperhambakan diri kepada tuan empunya dunia ini. Maka usrah yang diperkenalkan memandu diriku sepanjang kehidupanku di perantauan. Dibantu kakak-kakak (baca: naqibah) sungguh, jiwaku diisi. Tiada lafaz selain tahmid dan syukur atas pertemuan ini. Bibit-bibit perkenalan awal semuanya diatur oleh yang Maha Kuasa. Tidak pernah terlintas untuk mengikat persaudaraan ini melainkan semuanya sudah dicatur olehNya. 

Kecekalan dan semangat mereka mengutuk diri ini yang kerap berbunyi tatkala beban kerja bertimbun-timbun. Sedangkan, mereka adalah manusia luar biasa. Jadual hidup sentiasa penuh dengan aktiviti keluarga, kerja dan masyarakat. Apa gelaran yang harus aku berikan buat mereka? Tiada istilah penat terbit daripada bibir-bibir mereka. Hanya lakaran senyuman, penuh ikhlas lahir dari riak wajah itu. Sungguh, setiap keringat yang lahir bakal menjadi saksi untuk mendapat anugerah dari Tuhan. 

Buat sahabat-sahabat yang setia menjadi pendamping, sungguh aku merindui kalian. Mana mungkin memori itu akan aku padam biar penuh sekalipun, akanku tampung di 'drive' yang lain. kata-kata semangat tidak pernah padam walau aku tidak mampu menjadi pemberi terbaik. Sekadar menghulurkan telinga, menjadi pendengar atau sesekali meminjamkan bahu. Jaulah dan kembara kita akan menjadi cerita buat anak-anak dan cucu-cicit yang akan datang. Berkongsi air mata menjadi memeori terindah kita dan akan dipahat kemas dalam ingatan ini. 

Adik-adik tidak pernah lepas dari ingatan ini. Celoteh dan ragam kalian menjadi penghibur diri ini, biar sesekali kenakalan itu datang bukan pada masa yang tepat. Aku menghargai kalian atas penerimaan diri yang kerdil ini sebagai kakak. Walau kita bukan lahir dari rahim yang sama, namun fikrah telah menyatukan kita di jalan ini. Teruskan perjuangan kerana kita penyambung rantaian dakwah. Andai tugas ini tidak digerakkan, sungguh rantaian itu akan putus. Namun, percayalah Islam akan terus tertegak meski tanpa kita. Doa sentiasa mengalir buat adik-adik sekalian. Kalian agen pengubah di bumi Kuantan! 

Aku percaya tiada yang mampu memutuskan ikatan ini. Doa dan rindu akan sentiasa menjadi pengikat kasih sayang kita. Biar kita digelar 'majnun' atas rasa mahabbah ini. Sungguh, aku merindui kalian!



                                        Sekitar Ijtima' Haraki WADAH-ABIM-PKPIM 2013



Wednesday, August 21, 2013

Matematik dan siri penyiasatan

Kedua-duanya menuntut akal untuk berfikir. 

Natijahnya, kepuasan sebagai pingat kemenangan. 

Sebagai pencinta matematik, bukan mudah mencari satu-satu penyelesaian untuk setiap persoalan yang hadir. Namun, semakin sukar persoalan untuk dirungkai, semakin teruja si calculus untuk menyelesaikannya. Matematik memerlukan si penjawab untuk terus bersabar dalam mengungkap persoalan yang hadir. Setiap persoalan punya formula sebagai kunci yang hadir dalam pelbagai bentuk penyelesaian. Hanya perlukan kunci yang betul untuk membuka kekusutan yang melingkar dalam setiap bait nombor yang terhidang. Matematik juga memerlukan seseorang untuk berfikir secara kritis. Pengakhiran jawapan kebanyakkannya memerlukan tiga hingga empat jalan penyelesaian. Sudah pasti, memerlukan si penjawab untuk menggunakan pelbagai kaedah dan jalan sebelum tiba ke garis penamat. 

Begitu juga dengan siri penyiasatan. 

Penyiasat bertindak untuk membongkar sesuatu permasalahan yang timbul. Kebiasaannya melibatkan kes-kes jenayah. Siri penyiasatan (seperti: CSI, Gallileo, Detective Conan), tidak wajar dilihat sebagai tayangan biasa-biasa sahaja. Setiap plot punya babak suspen untuk diteka oleh para penonton. Penonton diberi waktu untuk menjangka apa yang akan berlaku. Maklumat-maklumat yang ada menuntut penonton untuk mencerna sebaik-baiknya agar pengakhiran jalan cerita selari mengikut telahan yang dibuat. 




Berfikir,

Kepuasan,

Pengakhiran kepada matematik dan siri penyiasatan. 

Tuesday, June 25, 2013

Beringat sebelum kena

En. MI: Apa khabar En. diabetes?

En. Diabetes: Khabar baik En. MI. 

En. MI: Lama tak nampak?

En. Diabetes: Biasa la En. MI. Bila tuan kita ni masuk hospital, paras gula kejap okey kejap tak okey. Itu yang saya pun tenggelam timbul. 

En. MI: Owh, patut la. 

Setelah masing-masing melayan perasaan seketika, En. Diabetes mulakan topik perbualan. 

En. Diabetes: En. MI, teringin pulak saya nak tahu, En. MI ni asal dari mana ye? Setahu saya En. MI baru pindah ke rumah tuan kita kan? Cuba la cerita sikit asal usul En. MI ni. Walaupun kita duduk serumah, jarang kita boleh bersembang macam ni. 

En. MI: Ye la En. Diabetes. Nama je berjiran, belum habis taaruf kita nampaknya. 

En. MI menarik nafas panjang sebelum menyambung bicaranya. 

En. MI: Sebelum saya pindah di sini, ayah saya sudah menghuni di sini. Lepas 3 tahun, saya ambil alih tugas dia. Maklum la, dah berumur dia waktu tu. 

En. Diabetes: Macam mana ayah encik boleh datang ke sini?

En. MI: Tuan kita yang jemput. Masa tuan kita muda-muda dulu, dia selalu merokok. Perokok tegar lagi. Lagi satu, tuan kita ni tak jaga pemakanan sangat. Semua benda la dia bedal. KFC, Mc...McC.. Mc.. apa ke namanya?

En. Diabetes: McDonald ke?

En. MI: Ha, itulah dia. McDonald. Berbelit-belit lidah saya. Senang kata yang namanya apa ni... yang orang putih panggil tu.. ermmm.. 'fast food'. Hah, itulah yang dia suka.

En. Diabetes tergelak kecil melihat gelagat En. MI. Berusaha benar dia menyebut perkataan itu.

En. MI: Tuan kita ni pulak malas nak bersenam. Sibuk je memanjang. Kerja daripada pagi sampai malam. Sampai kesihatan sendiri pun tak di jaga. 

En. MI termenung seketika. 

En. Diabetes: Lepas tu? 

En. Diabetes sudah tidak sabar mendengar sambungannya. 

En. MI: En. Diabetes ni. Kalau ye pun, buatkanlah saya segelas air. Penat nak bercerita ni. 

En. MI menunjukkan riak kepenatan. Bergegas En. Diabetes membancuhkan segelas milo. Terus, En. MI meneguk air di hadapannya. 

En. Diabetes: Milo O kurang gula. Tuan kita pun dah pandai minum ni sekarang. 

Gembira En. Diabetes menerangkan. 

En. Diabetes: Lepas tu? 

Terkebil-kebil En. diabetes menunggu sambungan cerita En. MI. 

En. MI: Alhamdulillah. Sedap air En. Diabetes. Pada suatu hari, tuan kita rasa macam tak sedap badan. Tiba-tiba je rasa sakit dada. Tuan kita cuba urut-urut, letak minyak. Lepas 10 minit, dia okey. 

En. Diabetes: Dia tak pergi jumpa doktor ke? 

Pantas En. Diabetes memotong. 

En. MI: Tuan kita ingat sakit biasa-biasa je. Sebab sakit tu datang kejap-kejap je. Tapi, kerap kali juga sakit dada  tu datang. Kadang-kadang sampai ke belakang bahu. Sampai berpeluh-peluh tuan kita. Dia kata rasa macam ada orang himpit dadanya. Kadang-kadang tuan kita rasa pening-pening. Selalu saja tuan kita mengadu penat.

En. Diabetes: Kesian ye tuan kita. 

En. MI: Bila pergi klinik, doktor cakap itu 'angina pectoris'.

En. Diabetes: Apa tu? 

En. MI: 'Angina pectoris' tu sakit dada la. Ia disebabkan kurangnya oksigen yang sampai ke jantung. 'Dalam bahasa sains kita panggil 'angina pecoris'. Doktor pun bagi ubat 'glyceryl trinitrate'. 

En. Diabetes ternganga mendengar istilah-istilah baru yang diungkapkan oleh En. MI. Dalam hatinya terbit rasa kagum dengan En. MI.

'Tadi bukan main susah nak sebut perkataan orang putih. Ni macam air je'. Bisik hati kecil En. Diabetes. 

En. Diabetes: Hebat juga ye En. MI. Berabut 'speaking London'. Hehe..

En. MI: Ayah saya selalu cerita. Macam mana saya boleh lupa. 

Tersenyum En. MI mendengar pujian En. Diabetes. Dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

En. Diabetes: Ermm... En. MI, 'glyceryl trinitrate' tu apa? 

En. MI: Owh, 'glyceril trinitrate' tu nama ubat untuk kurangkan sakit dada. Ia berfungsi dengan membesarkan salur darah supaya lebih banyak oksigen boleh dihantar.

En. Diabetes: Ooooo....

Mengangguk En. Diabetes mendengar penjelasan daripada En. MI. 

En. MI: Nak dengar lagi ke tak cerita saya ni? 

En. Diabetes: Eh, mesti la nak En. MI. Belum sampai klimaks lagi. 

Berseri-seri wajah En. Diabetes. En. MI membetulkan kaca matanya. 

En. MI: Bila dah beberapa kali tuan kita macam tu, terpaksalah ayah saya datang. Bila ayah saya datang, lagi teruk tuan kita tu. Sampai tak boleh bernafas. Terpaksalah masuk hospital. Doktor terpaksa bagi oksigen. Bila keluar hospital, banyak ubat yang doktor bagi macam 'simvastatin', 'aspirin', dan macam-macam lagi. Doktor nasihatkan tuan kita untuk berehat dan jaga pemakanan. 

En. Diabetes: Teruk juga ye tuan kita. Mesti doktor juga minta tuan kita berhenti merokok?

En. MI: Itu sudah pasti. Itu faktor utama tuan kita kena penyakit ni. 

En. Diabetes: Macam mana pula En. MI boleh pindah ke sini?

En. Diabetes masih menuntut penjelasan. Setelah meneguk dua, tiga kali milo di gelas, En. MI menyambung bicaranya. 

En. MI: Ayah saya minta gantikan tempatnya. Bila keadaan jantung tuan kita dah teruk sangat, ayah minta saya datang sebab dia pun tak mampu nak jaga tuan kita. Masa tu sel-sel jantung dah mati sebab kurang sangat oksigen sampai dekat sel. Tuan kita terpaksa masuk lagi ke hospital. Doktor bercadang nak buat 'percuteneous coronary intervention'.

En. Diabetes: Apa tu En. MI? Pelik benar bunyinya. 

En. MI: Itu adalah satu kaedah untuk merawat sakit tuan kita. Doktor akan letak satu gegelung dalam salur darah tuan kita. Gegelung tu membantu untuk memecahkan sumbatan di jantung tuan kita dan mengelakkan penyumbatan kolesterol. 

En. Diabetes: Owh, macam tu. Masa ayah En. MI datang, macam mana keadaan tuan kita ye?

En. MI: Masa tu jantung dia dah tersumbat teruk. 

En. Diabetes: Lepas ni, En. MI akan ke mana?

En. Diabetes bertanya inginkan kepastian. 

En. MI: Entah la. Mungkin saya akan pulang ke kampung selepas rawatan tuan kita selesai. Khidmat saya sudah tidak diperlukan lagi waktu tu. 

En. Diabetes: Turun temurun ye En. MI dan keluarga di sini. Dah lama bersembang, lupa pula nak tanya, apa nama penuh En. MI ye?

En. MI: Myocardial infarction bin Ischemic. 

..........................................................................tamat..............................................................................

Thursday, June 20, 2013

Yaqin

         Keyakinan dalam hati ini berpunca daripada ilmu. Iman menetap dalam hati manusia yang sedar akan hakikat dirinya dan Tuhannya. Keyakinan bahawa Allah adalah Tuhannya yang sebenar dan tiada Tuhan selainNya. Keyakinan ini hanya wujud dalam hati setelah tiada keraguan dalam hati dan fikiran seseorang. Pada tahap inilah seseorang itu bersaksi dan membuat pengakuan tentang sesuatu kebenaran. Tentang Tuhan sebenar, tentang hakikat diri sebagai  hambaNya. kesaksian dilakukan setelah seseorang itu pasti (yaqin) tentang sesuatu hakikat. Seseorang itu hanya sampai pada tahap yakin apabila ia mendapat dan dianugerahkan ilmu yang menjadi cahaya (nur) yang membuang kegelapan dan keraguan dan membawanya kepada kepastian (certainty). Ketika cahaya ilmu datang maka tiada tempat dalam hatinya bagi keraguan. Apabila disebut hati (al-qalb) di sini tidak bermaksud substansi rohani yang berbeza dan terasing dari akal. Ia sebenarnya suatu kesatuan yang memiliki aspek-aspek yang berbeza dilihat dari sudut yang berbeza. Walaupun ilmu diterima melalui akal fikiran tetapi ianya akan menetap di dalam kalbu. Seseorang itu hanya akan dianggap berilmu setelah ilmu diterima oleh jiwanya (al-nafs) atau jiwanya tiba kepada makna, yang merupakan maksud dan intipati ilmu. Ketika inilah seseorang yang menyakini apa yang diterimanya sebagai benar. 

        Keyakinan timbul setelah seseorang mendapatkan ilmu yang disokong oleh bukti yang kukuh sehingga tidak menimbulkan keraguan dalam hatinya tentang sesuatu kebenaran. Sebagaimana yang dinyatakan dia atas Bukti yang diperlukan seseorang untuk sampai kepada yakin tidak semestinya bersifat empirik. sesuatu yang empirik hanya diperlukan untuk membuktikan sesuatu yang hanya dapat ditangkap oleh pancaindera. hal yang berkaitan dengan kewujudan Tuhan dan alam ghaib tidak memerlukan bukti empirik, tetapi cukup dengan bukti rasional/akliah kerana ia berada di luar kemampuan panca indera. Bukti rasional ini kemuadian di kuatkan dengan kewujudan mu'jizat (al-quran)sudah cukup bagi seorang mukmin untuk menyakini kebenaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Namun tidak semua orang dapat melihat dan menyedari pembuktian tersebut sehingga ramai yang kekal dalam keraguan, kejahilan dan kekafiran. 

      Iman dicapai oleh manusia dengan pilihannya sendiri. Seseorang yang dianggap benar-benar beriman ketika dia memiliki pilihan untuk tidak beriman. Manusia yang beriman tanpa pilihan (dipaksa) tidak boleh dianggap sebagai benar-benar beriman, kerana al-quran menggariskan la ikhraha fi al-din, tiada paksaan dalam agama. Beriman ketika nazak juga bukan pilihan. Oleh yang demikian, sebagaimana ditegaskan dalam al-Quran, keimanan dan taubat Fir'aun di saat-saat akhir hanyatnya tidak diterima Allah subhanallah Taala keraa balasan telah pun datang. Namun demikian, Rasulullah menempelak seorang sahabat yang membunuh orang kafir yang mengaku beriman ketika kalah dalam peperangan. Ia adalah tindakan yang tidak dibenarkan kerana tiada manusia yang tahu pasti apa yang tersembunyi di dalam hati orang itu. Ia telah menafikan keminan seseorang sedangkan hanya Allah sahaja yang tahu dan memutuskan sama ada ia benar-benar beriman ataupun hanya berpura-pura untuk menyelamatkan diri. 

      Lebih dari itu, perkataan iman dalam bahasa Arab memiliki hubungan rapat dengan perkataan al-aman iaitu keamanan. Al-aman bermaksud kedamaian, ketenangan dan keamanan. keyakinan dan kepastian akan membawa seseorang kepada ketenangan dan kedamaian. Ketenangan hati yang hanya dapat di rasa apabila ia tahu pasti tentang kebenaran. Maka oleh yang demikian, ia terhindar dari sifat gudah gulana, keragu-raguan, kerisauan tentang masa depan. Pada tahap ini, iaitu pada tahap 'ilm al-yaqin, jiwanya menjadi tenang, tidak goyah dan merasa cukup, cukup bukti, cukup jawapan sehingga tiada persoalan yang terngiang-ngiang di fikirannya meskipun banyak yang tidak diketahuinya. Sehingga, seperti disebutkan oleh imam al-Ghazali, iman seseorang tidak akan goyah walaupun terdapat orang yang dapat merubah keyakinannya. Kerana ilmu yang sampai kepadanya sudah cukup baginya untuk sampai  kepada tahap yakin. Maka yang penting bagi seseorang manusia agar memperolehi iman adalah ilmu. Maka dari itu iman bukan berpunca daripada dogma, bukan juga dari indoktrinasi. Iman dan kejahilan juga tidak dapat bertemu. Justeru, kejahilanlah yang menghalang seseorang daripada iman dan kejahilan jugalah yang membuat seseorang itu tidak kekal dalam kepercayaanya yang batil. Apabila seseorang itu mengaku beriman sedangkan ia jahil maka sebenarnya iman belum masuk ke dalam hatinya.  

Islam dan Pluralisme Agama,
Khalif Muammar, 2013.