Sunday, February 7, 2010

Tazkirah

Bismillahirahmanirahim…

Manusia sering memandang remeh dengan dosa-dosa kecil. Sedangkan, bila dikumpulkan dosa itu akan menjadi besar. Kita memandang enteng perkara ini. Dosa-dosa kecil boleh diibaratkan satu kaum yang tinggal di satu lembah. Setiap seorang akan membawa satu ranting dan mengumpulkan rating tersebut. Sehinggalah ranting itu mampu untuk memasak sekeping roti apabila dijadikan unggun api. Begitu besar kesannya kepada diri kita. Contoh yang boleh diambil adalah, berprasangka kepada orang lain, tidak menjaga pandangan dan sebagainya. Satu dosa sahaja telah meninggalkan satu titik hitam di hati kita. Apabila terlalu banyak titik-titik hitam, hati kita akan diselaputi dosa dan menghijab diri kita dengan Allah.

Bagaimana mahu mengenali dosa-dosa kecil?. Sabda Rasulullah s.a.w, “Apabila ada gelojak dalam hatimu, tinggalkanlah”. Apa sahaja yang ingin kita lakukan, jika kita ragu-ragu untuk melakukannya segeralah meninggalkannya. Hal ini kerana ia mungkin membawa kita kepada dosa. Pandanglah perbuatan kita dengan menggunakan mata hati. Sentiasa bertanyakan diri, ‘redhakah Allah pada perbuatanku?’. Mata hati tidak pernah menipu. Jika ada was-was di hati, tinggalkan pekerjaan kita dengan segera. Kerana ia mungkin mengundang bisikan syaitan. Syaitan sentiasa membisikkan kemungkaran yang dilakukan adalah sesuatu yang tidak dilarang oleh Islam. Dalam surah An-Nas ada disebut, bisikan yang bersembunyi yakni bisikan syaitan ke dalam dada manusia. (4-5).

Orang mukmin akan memandang dosanya ibarat gunung yang akan menghempapnya. Kita tidak boleh meremehkan dosa kecil kerana Allah melihat setiap perbuatan kita. Semua amalan akan dicatat. Setiap perbuatan akan dihitung dan dibalas mengikut amalan yang dilakukan. “Maka barangsiapa mengerjakan kebaikan sebesar zarah, nescaya dia akan melihat balasannya. Dan barang siapa mengerjakan kejahatan seberat zarah, nescaya dia akan melihatnya” (99:7-8). Dosa kecil mampu membinasakan kita di akhirat kelak. Anggota badan kita mudah untuk melakukan dosa-dosa kecil. Pandangan mata, ucapan lidah, hala tuju kaki, coretan tangan, semuanya boleh menyebabkan kearah dosa-dosa kecil. Di akhirat kelak, anggota inilah yang akan menjadi persaksian atas semua tindakan kita. Ibrahim Adham pernah ditanya oleh seorang lelaki yang ingin melakukan maksiat, bagaimana untuk menghindarinya. Beliau menjawab, “jika ingin bermaksiat, jangan tinggal di bumi Allah, jangan makan rezeki yang dikurniakanNya, jengan menggunakan nikmatNya. Jika ingin juga berbuat maksiat, carilah tempat di mana Allah tidak nampak”. Semua ini mustahil untuk dilakukan. Akhirnya, pemuda tersebut meninggalkan maksiat yang ingin dilakukannya.

Kita perlu bermujahadah dalam melawan hawa nafsu. Cara yang boleh dilakukan adalah dnegna menghadirkan kebesaran Allah dalam hati. Sentiasa memikirkan kerdilnya kita di hadapannya. Fikirkan tentang nikmat yang diberikan. Allah tidak pernah meminta bahkan kitalah yang sering meminta walapun tidak pernah membalas. Allah tidak perlukan kita tetapi kita sentiasa perlukanNya. Hadirkan rasa raja’ dan khauf. Yakni, rasa takut kepada Allah. Takut dengan azabnya samada di dunia atau di akhirat sana. Mampukah kita memberi jaminan bahawa syurga milik kita. Rasulullah pernah bersabda mafhumnya, “sesungguhnya iman di dalam hati kamu akan lusuh dan mohonlah pada Allah agar mmeperbaharui hati itu”. Imam Ghazali berkata, “carilah hatimu di 3 tempat. Temui hatimu sewaktu membaca al-quran. Tetapi, jika tidak ditemui, carilah ketika hatimu mengerjakan solat. Jika tidak ditemui juga, carilah hatimu ketika beristighfar mengingati mati. Jika kau tidak menemui juga, maka berdoalah kepada Allah dan pohonlah hati yang baru kerana pada hakikatnya pada ketika itu, engkau tidak mempunyai hati. Moga-moga peringatan ini sampai pada kita semua. Wallahualam...

No comments: