Thursday, May 12, 2011

Menentu usia kandungan (pengalaman hari ke-3 dan 4)

Bismillahirahmanirahim..........

Buat Yang Esa, alhamdulillah.. Terima kasih atas segalaNYa..

Hari ke 4 hari ini di klinik Berserah. Kerana sibuk meraikan 'Nurses Day', satu prosedur pun tak terbuat. Semalam sempat bagi satu suntikan kancing gigi pada si ibu. Insyallah, cuba kuatkan semangat lepas ni untuk cucuk budak pulak. Ambil sedikit masa untuk kumpul keberanian. Semalam tidak sempat aku coretkan sedikit pengalaman. Alhamdulillah, 'staffnurse' sudi mengajar cara untuk mengukur perut ibu mengandung. Macam mana nak tentukan usia kandungan.

Usia kandungan boleh ditentukan melalui tarikh akhir darah haid keluar. Daripada situ, anggaran kelahiran juga boleh dibuat. Namun, si ibu perlu memberitahu tarikh yang tepat supaya jangkaan tidak lari daripada tarikh asal. Amat penting bagi seorang wanita yang sudah berkahwin untuk menanda waktu haid setiap bulan. Selain itu, usia kandungan boleh dikira menggunakan pita pengukur. Perut ibu diukur daripada 'fundus' (bahagian atas air ketuban) hingga ke bahagian atas faraj. Cara terakhir adalah menggunakan ukuran jari. kandungan di atas pusat dikira 22 hari. Semakin ke atas, semakin banyak bilangan hari kandungan. (Xde gambar untuk terangkan. Agak sedikit susah). Cara yang lebih moden adalah dengan menggunakan 'scan'. Pergerakan bayi boleh dilihat menggunakan gambar 3D atau 4D. Gambar 4D lebih jelas menunjukkan wajah bayi.

Aku juga sempat belajar sedikit sebanyak mengenai perkembangan bayi. Pada usia sekian.. sekian.. bayi seharusnya sudah mampu melakukan .. sekian.. sekian aktiviti. Pada masa yang sama ada membantu jururawat memplot perkembangan bayi. 'Health education' akan diberi kepada para ibu jika anak terlebih berat atau kurang berat. Begitu juga tentang pemakanan si bayi. Apa yang diambil oleh si anak mengikut umurnya. Bayi berusia 6 bulan sudah boleh dilatih untuk menerima karbohidrat daripada bubur. Bubur yang dimasak boleh dicampur dengan ikan dan juga sayur untuk tambahan vitamin. Namun, si ibu perlu mengelakkan campuran garam atau ajinomoto dalam makanan kerana bayi tidak perlukannya lagi. Pemakanan yang seimbang amat penting untuk bayi yang sedang membesar.

Hari semalam juga, aku terima satu kes seorang ibu mengandungkan kembar. Dapatku lihat bagaimana pembahagian kandungan. Namun, aku kecewa kerana tidak dapat merasai kepala bayi walaupun jururawat sudah memberi peluang. Mungkin tiada pengalaman menyebabkan aku gagal merasai di mana kedudukan kepala si anak. Dua kali berkesempatan merasai kedudukan kepala si kecil, namun masih tidak mampu menidentifikasinya. Moga sentuhan tanganku juga mampu merasai kehadiran si kecil tersebut ke alam ini.....

Tuesday, May 10, 2011

Dunia kanak-kanak (pengalaman hari ke-2)

Selawat dan salam buat baginda Muhammad s.a.w. Apa yang di harapkan hanyalah syafaat dan kasih sayangnya buat sekalian ummatnya...

Alhamdulillah, hari ini hari kedua di klinik Beserah. Lebih banyak maklumat yang aku dapat dan pelajari. Bagaimana kritikalnya saat kelahiran bagi seorang ibu. Ngeri jugak mendengar penjelasan daripada 'staffnurse'. Ibu bertarung nyawa demi melahirkan seorang anak ke bumi ini. Kelahiran anak sulung mengambil masa 12 jam paling lama. Ya Allah, betapa tabah dan kuatnya seorang ibu. Namun, hari ini kita tinggalkan dulu bab-bab bersalin. Aku ingin fokus pada diri si anak.

Selepas membuat pemerhatian, aku melihat kanak-kanak punya dunianya yang tersendiri. Orang dewasa sekalipun tidak memahami dunia mereka. Dunia yang penuh dengan imaginasi. Mereka mampu membayangkan pelbagai perkara daripada satu objek. Lihatlah bagaimana mereka mampu melukis sesuatu yang tiada dalam pemikiran kita. Mungkin kita melihat itu adalah contengan biasa. Namun, bagi kanak-kanak itulah hasil karya kreatif mereka. begitu juga jika mereka diberi permainan. Pelbagai aksi mampu dicipta daripada mereka. Daripada satu watak kepada watak yang lain dimainkan oleh kanak-kanak pintar ini. Pada tahap itu, sel-sel otak memang berkembang dengan sangat pesat. Kanak-kanak memang cepat belajar daripada persekitaran.

Si bayi kecil juga tidak ketinggalan. Ransangan deria cepat sekali teransang daripada penglihatan dan pendengarannya. Perhatikan bagaimana si kecil yang nyenyak tidur boleh terjaga hanya dengan kuakan pintu. Deria mereka menjadi amat sensitif kerana sudah dilatih sewaktu di awal kelahiran. Begitu juga apabila jari dipetik, si manja dengan cepat menfokuskan diri. Perasaan ingin tahu yang menebal menyebabkan mereka asyik dengan sesuatu tarikan. Bayi meluahkan rasa melalui tangisan, senyuman dan mimik muka. Setiap satunya punya pesanan yang tersendiri. Si ibulah yang perlu peka dengan setiap kemahuan mereka agar mampu dipenuhi dengan sebaiknya.

Bagaiman pula si anak kecil itu mampu mengenali ibunya? Pertama adalah melalui deria baunya. Seorang anak mampu mengenali bau ibunya. Dia mampu membezakan bau ibunya daripada orang lain. Bagi bayi yang susah mendampingi orang lain, dia tidak mahu dibelai dan didukung oleh orang asing kecuali si ibu. Kedua adalah melalui sentuhan. Sejak di awal kandungan si ibu sudah memberi ransangan sentuhan pada si anak. Walaupun ianya hanya interaksi luaran, namun si anak mampu membezakannya. Selepas kelahiran, si anak lebih memahami ibunya dengan cara belaian dan pegangan.

Anak-anak yang sedang membesar suka 'explore' atau mencuba sesuatu yang baru. Setiap tegahan membuatkan mereka lebih teruja untuk melakukannya. Mereka suka di marahi untuk mendapat perhatian si ibu. Itulah dunia kanak-kanak yang sentiasa inginkan keseronokkan. Syukur buat mereka yang punya anak kerana anak mampu memberi senyuman kepada kita di saat duka. Lihatlah wajah si kecil yang tidak punya secalit dosa anugerah daripada Allah.

Monday, May 9, 2011

Perlunya merancang.... (pengalaman hari 1)

Bismillahirahmanirahim........

Bersyukur pada Allah atas pemberian kehidupan ini untuk aku terus berlegar di muka bumi pinjamanNya..

Aku sudah mula ber'posting' di klinik kesihatan Berserah. Aku bersama 8 rakan yang lain tercengang saat menjejakkan kaki di sana. sebuah kabin menempatkan tempat untuk rawatan pesakit. Kabin itu di bina kerana klinik sebenar di jangkiti kulat sehingga klinik terpaksa di tutup. Kami cuba mengambil masa untuk menyesuaikan diri. Kami di tempatkan di bilik 'Maternal and child health', bahagian ibu dan kanak-kanak. Sangat seronok melihat perkembangan kanak-kanak ini. Mendengar tangisan dan celoteh mereka membuatkan masa yang berlalu pantas sekali. Rata-rata yang datang adalah untuk memeriksa kandungan, mendapatkan suntikan si kecil dan perancangan keluarga. Mungkin ada yang tidak setuju apabila dibangkitkan soal merancang keluarga. Terutama daripada pihak suami. Isteri diberi pilihan untuk mengambil pil, penggunaan IUD, 'implant' atau secara semulajadi yakni melalui waktu subur. Namun, sepanjang pengamatanku, 'implant' adalah cara yang terbaik. Teknik ini adalah memasukkan rod ke bawah bahagian kulit. (boleh baca detail http://www.ippf.org/en/Resources/Guides-toolkits/Implants.htm). Teknik ini berkesan untuk menghalang daripada mengandung dalam jangka masa panjang. Di samping tiada kesan sampingan, ia boleh dibuang selepas 3 tahun untuk proses hamilan yang berikutnya selepas si ibu bersedia. Kebanyakkan ibu-ibu yang datang akan mendapat promosi perancangan keluarga secara percuma daripada jururawat.

Kenapa perlunya pencegah kehamilan? Sedangkan Nabi Muhammad berbangga dengan ummatnya yang punya keturunan yang ramai. Itu tidak boleh disangkal lagi. Namun, kita harus melihat beberapa faktor yang menyebabkan perlunya kepada perancang keluarga. Faktor pertama adalah untuk memastikan si ibu benar-benar pulih daripada luka lama. Hal ini penting bagi si ibu untuk mengelakkan komplikasi kepada masalah lain seperti jangkitan dan sebagainya. Selain itu, Si ibu perlu diberi masa untuk berehat selepas kepenatan mengandung dan melahirkan si kecil. Sel-sel yang mati perlu diganti baru dan nutrient yang sudah hilang perlu diambil kembali untuk membaikpulih sistem si ibu. Tambahan pula, si ibu perlu bersedia mental dan fizikal untuk kelahiran kedua. Penting bagi seorang ibu untuk bersedia mental secukupnya agar mampu melayan kerenah anak-anak yang tidak tahu penghujungnya. Bagi si anak, ia penting untuk memastikan mereka mendapat perhatian dan kasih sayang secukupnya daripada seorang ibu. Bagi ibu yang bekerja sudah tentu waktu bersama anak-anak sangat terhad. Oleh itu, proses menjarak anak penting supaya mereka tidak sunyi daripada perhatian si ibu.

Dalam Islam sendiri ditekankan untuk menjarakkan anak dengan cara si ibu menyusukan anak sehingga berusia 2 tahun. Dua tahun masa yang cukup untuk proses kehamilan seterusnya. Teknik-teknik yang dicadangkan hanyalah alat bagi yang tidak mampu. Merancang keluarga bukan bererti kita takut untuk punya anak yang ramai, tetapi berfikir untuk melahirkan generasi yang mampu memajukan ummat. Bukan sekadar melahirkan anak tetapi lupa tanggungjawab untuk mendidik anak. Islam juga sudah memberi cara untuk kita gunakan sebaik-baiknya. Terserah pada kita untuk menimbang dan memikirkannya. Anak yang lahir adalah amanah Allah untuk kita corakkannya. Jika ibu bapa gagal, maka gagallah ummat. Wallahualam....

"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)". (Luqman : 14)

“Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan itu. Apabila keduanya ingin menyapih (memberhentikan penyusuan) sebelum dua tahun dengan kerelaan keduanya dan permesyuaratan, maka tidak ada dosa atas keduanya” (Al-Baqarah : 233)

Sunday, May 8, 2011

Peraturan itu mendidik

Bismillahirahmanirahim............

Masih terimbau sewaktu zaman persekolahan, murid yang sentiasa mengikut peraturan dipanggil skema. Aku pun tidak jelas masuk sebenar perkataan itu. Namun, itulah jolokan yang sering kali kedengaran buat mereka yang patuh pada disiplin sekolah. Mungkin di universiti, tidak lagi kita diungkitkan dengan perkataan tersebut.

Apa yang ingin dihuraikan adalah adakah pelajar yang mengikut peraturan sekolah benar-benar seorang yang skema? Memakai tudung labuh pun di anggap skema. Bagaimana pemikiran ummat kini? Peraturan mampu membentuk peribadi seseorang. Ramai beranggapan peraturan mengokong diri mereka. Semua perkara tidak mampu dilakukan. Mereka tidak bebas. Apatah lagi peraturan di sekolah berasrama. Betul, banyak pantang larang kehidupan di asrama. Namun, tidakkah difikirkan itu semua adalah untuk kebaikan pelajar itu sendiri. Sudah tentu pihak warden tidak sewenang-wenangnya membuat peraturan melainkan untuk kemaslahatan pelajar itu sendiri. Malahan, peraturan yang dibuat didasari garis panduan Islam yang memang seharusnya diaplikasi oleh seorang Muslim. Pemakaian stoking, contohnya memang menjadi kewajipan dalam Islam. Begitu juga dengan larangan membawa seluar jeans dan sebagainya.

Pelajar gemar melanggar disiplin kerana mereka tidak tahu untuk apa peraturan dicipta. Mereka merasakan ia adalah satu bebanan lantas melanggarnya. Walhal, peraturan adalah jalan terbaik untuk mendidik dan mentarbiah manusia. Cuba sahaja perhatikan jika peraturan jalan raya tidak dicipta. Sudah pasti, kemalangan akan sentiasa berlaku. Masalah di jalan raya tidak akan pernah habis. Begitu juga dengan peraturan-peraturan lain. Yang paling utama adalah peraturan daripada Allah sendiri. Bagaimana kita seorang hamba melaksanakan perintahnya. Adakah kita benar-benar mengikut disiplin yang telah diaturkan. Atau kita masih mahu menjadi samseng jalanan yang dengan sewenangnya melanggar peraturan yang ditetapkan.

Allah menyayangi hambanya. Kerana itu dibuat peraturan. Perlu menutup aurat, tidak boleh minum arak, berjudi dan sebagainya. Semuanya kerana sifat ar-rahmanNya pada kita. Dia ingin menjaga diri kita kerana Dia tahu setiap kelemahan diri ini kerana Dia pencipta. Sudah pasti yang menciptakan tahu kelemahan ciptaanNya. Seorang pencipta kereta tahu di mana kelemahan sebuah kereta. Begitu juga dengan penciptaan manusia. Semua arahan dan laranganNya adalah untuk kebaikan kita. Allah tidak pernah menganiyai hamba-hambaNya bahkan kitalah yang selalu menganiayai diri kita sendiri. Justeru, dengan peraturan daripada Allah seharusnya mampu menjadikan kita hamba terbaik yang memakmurkan bumi ini. Wallahualam