Sunday, May 8, 2011

Peraturan itu mendidik

Bismillahirahmanirahim............

Masih terimbau sewaktu zaman persekolahan, murid yang sentiasa mengikut peraturan dipanggil skema. Aku pun tidak jelas masuk sebenar perkataan itu. Namun, itulah jolokan yang sering kali kedengaran buat mereka yang patuh pada disiplin sekolah. Mungkin di universiti, tidak lagi kita diungkitkan dengan perkataan tersebut.

Apa yang ingin dihuraikan adalah adakah pelajar yang mengikut peraturan sekolah benar-benar seorang yang skema? Memakai tudung labuh pun di anggap skema. Bagaimana pemikiran ummat kini? Peraturan mampu membentuk peribadi seseorang. Ramai beranggapan peraturan mengokong diri mereka. Semua perkara tidak mampu dilakukan. Mereka tidak bebas. Apatah lagi peraturan di sekolah berasrama. Betul, banyak pantang larang kehidupan di asrama. Namun, tidakkah difikirkan itu semua adalah untuk kebaikan pelajar itu sendiri. Sudah tentu pihak warden tidak sewenang-wenangnya membuat peraturan melainkan untuk kemaslahatan pelajar itu sendiri. Malahan, peraturan yang dibuat didasari garis panduan Islam yang memang seharusnya diaplikasi oleh seorang Muslim. Pemakaian stoking, contohnya memang menjadi kewajipan dalam Islam. Begitu juga dengan larangan membawa seluar jeans dan sebagainya.

Pelajar gemar melanggar disiplin kerana mereka tidak tahu untuk apa peraturan dicipta. Mereka merasakan ia adalah satu bebanan lantas melanggarnya. Walhal, peraturan adalah jalan terbaik untuk mendidik dan mentarbiah manusia. Cuba sahaja perhatikan jika peraturan jalan raya tidak dicipta. Sudah pasti, kemalangan akan sentiasa berlaku. Masalah di jalan raya tidak akan pernah habis. Begitu juga dengan peraturan-peraturan lain. Yang paling utama adalah peraturan daripada Allah sendiri. Bagaimana kita seorang hamba melaksanakan perintahnya. Adakah kita benar-benar mengikut disiplin yang telah diaturkan. Atau kita masih mahu menjadi samseng jalanan yang dengan sewenangnya melanggar peraturan yang ditetapkan.

Allah menyayangi hambanya. Kerana itu dibuat peraturan. Perlu menutup aurat, tidak boleh minum arak, berjudi dan sebagainya. Semuanya kerana sifat ar-rahmanNya pada kita. Dia ingin menjaga diri kita kerana Dia tahu setiap kelemahan diri ini kerana Dia pencipta. Sudah pasti yang menciptakan tahu kelemahan ciptaanNya. Seorang pencipta kereta tahu di mana kelemahan sebuah kereta. Begitu juga dengan penciptaan manusia. Semua arahan dan laranganNya adalah untuk kebaikan kita. Allah tidak pernah menganiyai hamba-hambaNya bahkan kitalah yang selalu menganiayai diri kita sendiri. Justeru, dengan peraturan daripada Allah seharusnya mampu menjadikan kita hamba terbaik yang memakmurkan bumi ini. Wallahualam

No comments: