Monday, May 9, 2011

Perlunya merancang.... (pengalaman hari 1)

Bismillahirahmanirahim........

Bersyukur pada Allah atas pemberian kehidupan ini untuk aku terus berlegar di muka bumi pinjamanNya..

Aku sudah mula ber'posting' di klinik kesihatan Berserah. Aku bersama 8 rakan yang lain tercengang saat menjejakkan kaki di sana. sebuah kabin menempatkan tempat untuk rawatan pesakit. Kabin itu di bina kerana klinik sebenar di jangkiti kulat sehingga klinik terpaksa di tutup. Kami cuba mengambil masa untuk menyesuaikan diri. Kami di tempatkan di bilik 'Maternal and child health', bahagian ibu dan kanak-kanak. Sangat seronok melihat perkembangan kanak-kanak ini. Mendengar tangisan dan celoteh mereka membuatkan masa yang berlalu pantas sekali. Rata-rata yang datang adalah untuk memeriksa kandungan, mendapatkan suntikan si kecil dan perancangan keluarga. Mungkin ada yang tidak setuju apabila dibangkitkan soal merancang keluarga. Terutama daripada pihak suami. Isteri diberi pilihan untuk mengambil pil, penggunaan IUD, 'implant' atau secara semulajadi yakni melalui waktu subur. Namun, sepanjang pengamatanku, 'implant' adalah cara yang terbaik. Teknik ini adalah memasukkan rod ke bawah bahagian kulit. (boleh baca detail http://www.ippf.org/en/Resources/Guides-toolkits/Implants.htm). Teknik ini berkesan untuk menghalang daripada mengandung dalam jangka masa panjang. Di samping tiada kesan sampingan, ia boleh dibuang selepas 3 tahun untuk proses hamilan yang berikutnya selepas si ibu bersedia. Kebanyakkan ibu-ibu yang datang akan mendapat promosi perancangan keluarga secara percuma daripada jururawat.

Kenapa perlunya pencegah kehamilan? Sedangkan Nabi Muhammad berbangga dengan ummatnya yang punya keturunan yang ramai. Itu tidak boleh disangkal lagi. Namun, kita harus melihat beberapa faktor yang menyebabkan perlunya kepada perancang keluarga. Faktor pertama adalah untuk memastikan si ibu benar-benar pulih daripada luka lama. Hal ini penting bagi si ibu untuk mengelakkan komplikasi kepada masalah lain seperti jangkitan dan sebagainya. Selain itu, Si ibu perlu diberi masa untuk berehat selepas kepenatan mengandung dan melahirkan si kecil. Sel-sel yang mati perlu diganti baru dan nutrient yang sudah hilang perlu diambil kembali untuk membaikpulih sistem si ibu. Tambahan pula, si ibu perlu bersedia mental dan fizikal untuk kelahiran kedua. Penting bagi seorang ibu untuk bersedia mental secukupnya agar mampu melayan kerenah anak-anak yang tidak tahu penghujungnya. Bagi si anak, ia penting untuk memastikan mereka mendapat perhatian dan kasih sayang secukupnya daripada seorang ibu. Bagi ibu yang bekerja sudah tentu waktu bersama anak-anak sangat terhad. Oleh itu, proses menjarak anak penting supaya mereka tidak sunyi daripada perhatian si ibu.

Dalam Islam sendiri ditekankan untuk menjarakkan anak dengan cara si ibu menyusukan anak sehingga berusia 2 tahun. Dua tahun masa yang cukup untuk proses kehamilan seterusnya. Teknik-teknik yang dicadangkan hanyalah alat bagi yang tidak mampu. Merancang keluarga bukan bererti kita takut untuk punya anak yang ramai, tetapi berfikir untuk melahirkan generasi yang mampu memajukan ummat. Bukan sekadar melahirkan anak tetapi lupa tanggungjawab untuk mendidik anak. Islam juga sudah memberi cara untuk kita gunakan sebaik-baiknya. Terserah pada kita untuk menimbang dan memikirkannya. Anak yang lahir adalah amanah Allah untuk kita corakkannya. Jika ibu bapa gagal, maka gagallah ummat. Wallahualam....

"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)". (Luqman : 14)

“Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan itu. Apabila keduanya ingin menyapih (memberhentikan penyusuan) sebelum dua tahun dengan kerelaan keduanya dan permesyuaratan, maka tidak ada dosa atas keduanya” (Al-Baqarah : 233)

No comments: