Thursday, June 20, 2013

Yaqin

         Keyakinan dalam hati ini berpunca daripada ilmu. Iman menetap dalam hati manusia yang sedar akan hakikat dirinya dan Tuhannya. Keyakinan bahawa Allah adalah Tuhannya yang sebenar dan tiada Tuhan selainNya. Keyakinan ini hanya wujud dalam hati setelah tiada keraguan dalam hati dan fikiran seseorang. Pada tahap inilah seseorang itu bersaksi dan membuat pengakuan tentang sesuatu kebenaran. Tentang Tuhan sebenar, tentang hakikat diri sebagai  hambaNya. kesaksian dilakukan setelah seseorang itu pasti (yaqin) tentang sesuatu hakikat. Seseorang itu hanya sampai pada tahap yakin apabila ia mendapat dan dianugerahkan ilmu yang menjadi cahaya (nur) yang membuang kegelapan dan keraguan dan membawanya kepada kepastian (certainty). Ketika cahaya ilmu datang maka tiada tempat dalam hatinya bagi keraguan. Apabila disebut hati (al-qalb) di sini tidak bermaksud substansi rohani yang berbeza dan terasing dari akal. Ia sebenarnya suatu kesatuan yang memiliki aspek-aspek yang berbeza dilihat dari sudut yang berbeza. Walaupun ilmu diterima melalui akal fikiran tetapi ianya akan menetap di dalam kalbu. Seseorang itu hanya akan dianggap berilmu setelah ilmu diterima oleh jiwanya (al-nafs) atau jiwanya tiba kepada makna, yang merupakan maksud dan intipati ilmu. Ketika inilah seseorang yang menyakini apa yang diterimanya sebagai benar. 

        Keyakinan timbul setelah seseorang mendapatkan ilmu yang disokong oleh bukti yang kukuh sehingga tidak menimbulkan keraguan dalam hatinya tentang sesuatu kebenaran. Sebagaimana yang dinyatakan dia atas Bukti yang diperlukan seseorang untuk sampai kepada yakin tidak semestinya bersifat empirik. sesuatu yang empirik hanya diperlukan untuk membuktikan sesuatu yang hanya dapat ditangkap oleh pancaindera. hal yang berkaitan dengan kewujudan Tuhan dan alam ghaib tidak memerlukan bukti empirik, tetapi cukup dengan bukti rasional/akliah kerana ia berada di luar kemampuan panca indera. Bukti rasional ini kemuadian di kuatkan dengan kewujudan mu'jizat (al-quran)sudah cukup bagi seorang mukmin untuk menyakini kebenaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Namun tidak semua orang dapat melihat dan menyedari pembuktian tersebut sehingga ramai yang kekal dalam keraguan, kejahilan dan kekafiran. 

      Iman dicapai oleh manusia dengan pilihannya sendiri. Seseorang yang dianggap benar-benar beriman ketika dia memiliki pilihan untuk tidak beriman. Manusia yang beriman tanpa pilihan (dipaksa) tidak boleh dianggap sebagai benar-benar beriman, kerana al-quran menggariskan la ikhraha fi al-din, tiada paksaan dalam agama. Beriman ketika nazak juga bukan pilihan. Oleh yang demikian, sebagaimana ditegaskan dalam al-Quran, keimanan dan taubat Fir'aun di saat-saat akhir hanyatnya tidak diterima Allah subhanallah Taala keraa balasan telah pun datang. Namun demikian, Rasulullah menempelak seorang sahabat yang membunuh orang kafir yang mengaku beriman ketika kalah dalam peperangan. Ia adalah tindakan yang tidak dibenarkan kerana tiada manusia yang tahu pasti apa yang tersembunyi di dalam hati orang itu. Ia telah menafikan keminan seseorang sedangkan hanya Allah sahaja yang tahu dan memutuskan sama ada ia benar-benar beriman ataupun hanya berpura-pura untuk menyelamatkan diri. 

      Lebih dari itu, perkataan iman dalam bahasa Arab memiliki hubungan rapat dengan perkataan al-aman iaitu keamanan. Al-aman bermaksud kedamaian, ketenangan dan keamanan. keyakinan dan kepastian akan membawa seseorang kepada ketenangan dan kedamaian. Ketenangan hati yang hanya dapat di rasa apabila ia tahu pasti tentang kebenaran. Maka oleh yang demikian, ia terhindar dari sifat gudah gulana, keragu-raguan, kerisauan tentang masa depan. Pada tahap ini, iaitu pada tahap 'ilm al-yaqin, jiwanya menjadi tenang, tidak goyah dan merasa cukup, cukup bukti, cukup jawapan sehingga tiada persoalan yang terngiang-ngiang di fikirannya meskipun banyak yang tidak diketahuinya. Sehingga, seperti disebutkan oleh imam al-Ghazali, iman seseorang tidak akan goyah walaupun terdapat orang yang dapat merubah keyakinannya. Kerana ilmu yang sampai kepadanya sudah cukup baginya untuk sampai  kepada tahap yakin. Maka yang penting bagi seseorang manusia agar memperolehi iman adalah ilmu. Maka dari itu iman bukan berpunca daripada dogma, bukan juga dari indoktrinasi. Iman dan kejahilan juga tidak dapat bertemu. Justeru, kejahilanlah yang menghalang seseorang daripada iman dan kejahilan jugalah yang membuat seseorang itu tidak kekal dalam kepercayaanya yang batil. Apabila seseorang itu mengaku beriman sedangkan ia jahil maka sebenarnya iman belum masuk ke dalam hatinya.  

Islam dan Pluralisme Agama,
Khalif Muammar, 2013.

No comments: