En. MI: Apa khabar En. diabetes?
En. Diabetes: Khabar baik En. MI.
En. MI: Lama tak nampak?
En. Diabetes: Biasa la En. MI. Bila tuan kita ni masuk hospital, paras gula kejap okey kejap tak okey. Itu yang saya pun tenggelam timbul.
En. MI: Owh, patut la.
Setelah masing-masing melayan perasaan seketika, En. Diabetes mulakan topik perbualan.
En. Diabetes: En. MI, teringin pulak saya nak tahu, En. MI ni asal dari mana ye? Setahu saya En. MI baru pindah ke rumah tuan kita kan? Cuba la cerita sikit asal usul En. MI ni. Walaupun kita duduk serumah, jarang kita boleh bersembang macam ni.
En. MI: Ye la En. Diabetes. Nama je berjiran, belum habis taaruf kita nampaknya.
En. MI menarik nafas panjang sebelum menyambung bicaranya.
En. MI: Sebelum saya pindah di sini, ayah saya sudah menghuni di sini. Lepas 3 tahun, saya ambil alih tugas dia. Maklum la, dah berumur dia waktu tu.
En. Diabetes: Macam mana ayah encik boleh datang ke sini?
En. MI: Tuan kita yang jemput. Masa tuan kita muda-muda dulu, dia selalu merokok. Perokok tegar lagi. Lagi satu, tuan kita ni tak jaga pemakanan sangat. Semua benda la dia bedal. KFC, Mc...McC.. Mc.. apa ke namanya?
En. Diabetes: McDonald ke?
En. MI: Ha, itulah dia. McDonald. Berbelit-belit lidah saya. Senang kata yang namanya apa ni... yang orang putih panggil tu.. ermmm.. 'fast food'. Hah, itulah yang dia suka.
En. Diabetes tergelak kecil melihat gelagat En. MI. Berusaha benar dia menyebut perkataan itu.
En. MI: Tuan kita ni pulak malas nak bersenam. Sibuk je memanjang. Kerja daripada pagi sampai malam. Sampai kesihatan sendiri pun tak di jaga.
En. MI termenung seketika.
En. Diabetes: Lepas tu?
En. Diabetes sudah tidak sabar mendengar sambungannya.
En. MI: En. Diabetes ni. Kalau ye pun, buatkanlah saya segelas air. Penat nak bercerita ni.
En. MI menunjukkan riak kepenatan. Bergegas En. Diabetes membancuhkan segelas milo. Terus, En. MI meneguk air di hadapannya.
En. Diabetes: Milo O kurang gula. Tuan kita pun dah pandai minum ni sekarang.
Gembira En. Diabetes menerangkan.
En. Diabetes: Lepas tu?
Terkebil-kebil En. diabetes menunggu sambungan cerita En. MI.
En. MI: Alhamdulillah. Sedap air En. Diabetes. Pada suatu hari, tuan kita rasa macam tak sedap badan. Tiba-tiba je rasa sakit dada. Tuan kita cuba urut-urut, letak minyak. Lepas 10 minit, dia okey.
En. Diabetes: Dia tak pergi jumpa doktor ke?
Pantas En. Diabetes memotong.
En. MI: Tuan kita ingat sakit biasa-biasa je. Sebab sakit tu datang kejap-kejap je. Tapi, kerap kali juga sakit dada tu datang. Kadang-kadang sampai ke belakang bahu. Sampai berpeluh-peluh tuan kita. Dia kata rasa macam ada orang himpit dadanya. Kadang-kadang tuan kita rasa pening-pening. Selalu saja tuan kita mengadu penat.
En. Diabetes: Kesian ye tuan kita.
En. MI: Bila pergi klinik, doktor cakap itu 'angina pectoris'.
En. Diabetes: Apa tu?
En. MI: 'Angina pectoris' tu sakit dada la. Ia disebabkan kurangnya oksigen yang sampai ke jantung. 'Dalam bahasa sains kita panggil 'angina pecoris'. Doktor pun bagi ubat 'glyceryl trinitrate'.
En. Diabetes ternganga mendengar istilah-istilah baru yang diungkapkan oleh En. MI. Dalam hatinya terbit rasa kagum dengan En. MI.
'Tadi bukan main susah nak sebut perkataan orang putih. Ni macam air je'. Bisik hati kecil En. Diabetes.
En. Diabetes: Hebat juga ye En. MI. Berabut 'speaking London'. Hehe..
En. MI: Ayah saya selalu cerita. Macam mana saya boleh lupa.
Tersenyum En. MI mendengar pujian En. Diabetes. Dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
En. Diabetes: Ermm... En. MI, 'glyceryl trinitrate' tu apa?
En. MI: Owh, 'glyceril trinitrate' tu nama ubat untuk kurangkan sakit dada. Ia berfungsi dengan membesarkan salur darah supaya lebih banyak oksigen boleh dihantar.
En. Diabetes: Ooooo....
Mengangguk En. Diabetes mendengar penjelasan daripada En. MI.
En. MI: Nak dengar lagi ke tak cerita saya ni?
En. Diabetes: Eh, mesti la nak En. MI. Belum sampai klimaks lagi.
Berseri-seri wajah En. Diabetes. En. MI membetulkan kaca matanya.
En. MI: Bila dah beberapa kali tuan kita macam tu, terpaksalah ayah saya datang. Bila ayah saya datang, lagi teruk tuan kita tu. Sampai tak boleh bernafas. Terpaksalah masuk hospital. Doktor terpaksa bagi oksigen. Bila keluar hospital, banyak ubat yang doktor bagi macam 'simvastatin', 'aspirin', dan macam-macam lagi. Doktor nasihatkan tuan kita untuk berehat dan jaga pemakanan.
En. Diabetes: Teruk juga ye tuan kita. Mesti doktor juga minta tuan kita berhenti merokok?
En. MI: Itu sudah pasti. Itu faktor utama tuan kita kena penyakit ni.
En. Diabetes: Macam mana pula En. MI boleh pindah ke sini?
En. Diabetes masih menuntut penjelasan. Setelah meneguk dua, tiga kali milo di gelas, En. MI menyambung bicaranya.
En. MI: Ayah saya minta gantikan tempatnya. Bila keadaan jantung tuan kita dah teruk sangat, ayah minta saya datang sebab dia pun tak mampu nak jaga tuan kita. Masa tu sel-sel jantung dah mati sebab kurang sangat oksigen sampai dekat sel. Tuan kita terpaksa masuk lagi ke hospital. Doktor bercadang nak buat 'percuteneous coronary intervention'.
En. Diabetes: Apa tu En. MI? Pelik benar bunyinya.
En. MI: Itu adalah satu kaedah untuk merawat sakit tuan kita. Doktor akan letak satu gegelung dalam salur darah tuan kita. Gegelung tu membantu untuk memecahkan sumbatan di jantung tuan kita dan mengelakkan penyumbatan kolesterol.
En. Diabetes: Owh, macam tu. Masa ayah En. MI datang, macam mana keadaan tuan kita ye?
En. MI: Masa tu jantung dia dah tersumbat teruk.
En. Diabetes: Lepas ni, En. MI akan ke mana?
En. Diabetes bertanya inginkan kepastian.
En. MI: Entah la. Mungkin saya akan pulang ke kampung selepas rawatan tuan kita selesai. Khidmat saya sudah tidak diperlukan lagi waktu tu.
En. Diabetes: Turun temurun ye En. MI dan keluarga di sini. Dah lama bersembang, lupa pula nak tanya, apa nama penuh En. MI ye?
En. MI: Myocardial infarction bin Ischemic.
..........................................................................tamat..............................................................................
No comments:
Post a Comment