Alhamdulillah. Bersyukur aku dapat habiskan posting pada hari ini. Namun begitu, aku masih dibayangi peristiwa yang berlaku pada pagi tadi. Kecut rasa hati. Terkadang terfikir, mampu ke aku teruskan dalam bidang ini. Seakan berat sekali. Kerenah manusia yang tidak habis-habis. Selalu kunjung tiba. Aku memohon kekuatan Rabbi. Aku tahu tugas menyelamatkan nyawa manusia bukan mudah. Kerana itu, aku sentiasa dibayangi perasaan takut. Takut membuat silap. Takut tersalah dalam membuat prosedur. Maka, aku akan mencederakan orang, menyakiti mereka. Tambahan tekanan daripada pihak keluarga sendiri. Seharusnya pihak keluarga banyak membantu kami, para jururawat. Bukan hanya memandang dan membiarkan kami berkejar melakukan kerja. Kami hanya bertindak sebagai sayap kanan untuk membantu mana yang terdaya. Lemah aku memikirkan kekurangan diri ini.
Begitu juga dalam bidang kedoktoran. Kekuatan jiwa itu sangat penting. Apalagi mereka akan sering dimarahi oleh doktor-doktor ‘senior’. Untuk mencapai taraf pakar, mereka perlu pekakkan telinga atas segala kesilapan walaupun kecil. Diherdik, dimarah di hadapan pesakit, itulah lumrah kerja sebagai seorang doktor. Banyak perlukan kesabaran. Apalagi kritikan-kritikan daripada pesakit. Semuanya harus ditelan. Teruk sangatkah bidang ini? Padahal, kami adalah orang-orang yang bertarung dengan nyawa kamu semua. Membantu kamu saat tidak berdaya. Memberi sokongan saat tiada sesiapa di sisi. Menyuapkan makanan, menyarungkan pakaian, bahkan menjaga kebersihan kamu saat kamu terlantar tidak bermaya. Kami tidak pernah meminta balasan. Mungkin sedikit lafaz terima kasih atas penat lelah kami. Mungkin juga segaris senyuman di bibir kamu yang sentiasa cerewet dengan perkhidmatan yang kami beri.
Aku menggeleng melihat kerenah keluarga pesakit yang tiba. Ada sahaja yang tidak kena. Bukan mahu membantu, bahkan terus-menerus menghukum kami. Namun, di sebalik yang masam itu, masih ada wajah-wajah yang berkongsi air mata dengan kami. Mengucapkan terima kasih atas pertolongan yang diberi. Melambai pergi dengan pandangan yang sayu. Semoga berharap dapat berjumpa kami lagi.
Inilah jalan yang aku rasakan berliku dan berat untuk aku daki, aku lalui. Sungguh, ini keputusanku. Maka, aku harus berlari dan berani untuk mendaki walau securam manapun laluan itu.
No comments:
Post a Comment