Kaca mata hitam menghiasi wajah itu. Manis sekali. Langkah kaki dihayun dengan berhati-hati. Beg bimbit digalas di bahu kiri. Di hentian LRT, dia menunggu penuh kesabaran seperti insan lain. Apabila pintu LRT terbuka, dia menghayun kaki untuk terus sampai ke destinasi. “Hentian Maharajalela”. Pantas telinganya menangkap suara robot itu. Dia segera berasakan turun daripada kereta api itu. Lega selepas berjaya keluar daripada gerombolan manusia itu. Kaki-kaki pantas menaiki tangga menuju entah ke mana arah mereka. Sibuk dengan urusan dunia. Tongkat putih itu dibuka. Dia mula mencari-cari arah dalam kegelapan itu. Walau langkahnya perlahan, dia tahu arah tujunya. Asal tidak melanggar batas, dia akan selamat tiba.
Tisu masih ditangan. Dihulur ke tengah orang ramai. Mengharapkan sekumit simpati untuk sesuap nasi. Tabahnya dia. Sambil menunggu pelanggan, dia melunakkan suara menghiburkan manusia yang lalu lalang tanpa menghiraukan kehadiran dirinya. Dia tahu kehadirannya tidak disenangi. Tiada siapa yang peduli. Namun, dia juga seperti insan lain yang perlu mencari rezeki. Ya, dia tidak mahu meminta-minta. Dia sudah muak dengan sindirin sinis manusia-manusia sekelilingnya. Dia sudah lali dengan semua itu. Baginya, asal dia mendapat rezeki yang halal, itu sudah cukup. Biar dia tidak kaya. Biar semua orang menghina, asalkan tulang empat kerat itu diguna sebik-baiknya.
Orang buta itu butakah? Ya, mereka hilang penglihatan. Gelap pandangannya. Namun, hati mereka terang. Lebih terang daripada cahaya purnama. Lebih gemerlap daripada sinaran mentari. Allahuakbar. Dia mengambil nikmat yang satu itu tetapi menghadiahkan cahaya berharga. Walau mereka tidak tahu arah, tidak nampak warna dunia, tetapi laluan Allah sentiasa ada. Dia sentiasa menyuluh jalan-jalan pada hambaNya. Seakan jalan di dunia lebih luas padahal ia laluan yang sama dilalui oleh manusia celik. Bahkan, hati mereka lebih terang sehingga mampu menghafal senaskah al-quran yang mustahil di lakukan oleh insan biasa. Begitu hebatnya mereka. Begitu hebat kurniaan Allah ini. Mereka mungkin diuji dengan kehilangan penglihatan, tetapi Allah hadiahkan penglihatan hati yang bukan semua mampu memilki. Dengan mata hati mereka melihat, dengan mata hati itu mereka merasai dunia, melihat jalur-jalur warna cahaya. Bersama hidayah milik Allah selama-lamanya. Dengan cahaya hati itulah, mereka memandu jalan hidup ini. Kita mungkin ragu-ragu dengan langkah mereka. Kita mungkin tidak percaya pada arah tuju mereka. Namun, kita akan takjub mendengar alunan ayat-ayat suci keluar dari mulut mereka. Gemersik sekali sehingga mampu menusuk hati kita. sehingga mampu mengalirkan air mata kita.
Sukar untuk kita mempercayainya kerana kita sering melihat dengan mata kasar. Mata hati kita tidak pernah menipu. Dengarlah sekali pada mata hati kita agar kita tidak tertipu. Menangislah dengan mata hati kita agar kita mampu merasai manisnya cinta abadi. Bukalah mata hati itu. Jangan sampai diri tertipu.
No comments:
Post a Comment