“Life is a learning process”. Aku sukakan ungkapan ini. Kehidupan adalah satu proses pembelajaran. Setiap hari diri kita secara automatiknya akan belajar sesuatu yang baru. Perkara yang belum kita alami atau kita ketahui sebelum ini. Ramai yang tidak perasan bahawa apa yang kita lihat, itulah yang kita pelajari sebenarnya. Walau sekumit cuma. Walau sekecil-kecil perkara. Namun, yang gagal melihat dengan mata hati hanya memandangnya dengan pandangan kosong. Sebaliknya yang melihat dengan mata hati mengambil ibrah daripada setiap perkara yang berlaku. Semenjak kecil kita sudah diasuh untuk belajar. Selepas tiupan roh, kita mampu untuk merasai setiap perjalanan di alam dunia. Kita mampu mendengar percakapan manusia, desiran angin, sentuhan lembut tangan ibu dan sebagainya. Allah Maha Bijaksana mengajar kita sewaktu di awal kandungan lagi. Sebab itu, ibu-ibu mengandung amat digalakkan untuk mendengarkan kandungan itu dengan ayat-ayat al-quran supaya janin yang di kandung mengenali penciptanya.
Selepas di lahirkan, usia kanak-kanak adalah waktu yang paling pesat untuk menimba ilmu. kanak-kanak mampu menghafal dengan cepat dan mengingati setiap perkara yang berlaku. Oleh itu, sewajarnya mereka ini dilatih dengan ilmu-ilmu yang berfaedah. Jikalau gelas yang kosong diisi dengan air yang kotor, maka kotorlah gelas tersebut. Tapi, jika gelas tersebut diisi dengan air yang suci seperti zam-zam, sudah tentu gelas itu nampak putih dan suci. Hati anak-anak yang masih suci memudahkan mereka menerima ilmu kerana ilmu hanya mampu masuk ke dalam hati-hati yang bersih. Kanak-kanak cepat belajar daripada penglihatan mereka. Ibu bapa menjadi contoh untuk membentuk anak-anak mereka menjadi acuan emas atau kaca. Jangan terkejut jika si anak kecil mampu merokok mengikut perilaku seorang bapa yang merokok. Begitu juga ibu yang tidak menutup aurat. Anak-anak akan dicorak sesuai dengan didikan yang diberikan.
Ilmu bukan hanya tertumpu pada pengajaran di sekolah-sekolah, tetapi juga meliputi pengalaman hidup seseorang. Bahkan, “experience is the best teacher”, pengalaman adalah guru terbaik. Semasa martabat ilmu masih di takat yang rendah, penduduk tanah melayu banyak bergantung kepada pengalaman ibu dan ayah mereka. Pekerjaan membaiki kapal, mengukir, menjahit, semuanya memerlukan kemahiran yang boleh dipelajari melalui pemerhatian dan praktikal. Kerana itu, ilmu itu bukan hanya meliputi mahasiswa dan mahasisiwi. Setiap detik dalam pemerhatian kita adalah ilmu. Dunia juga membuktikan mereka yang berjaya bukan hanya daripada lepasan universiti. Datuk dan nenek kita telah lama menjadi orang yang berjaya, orang yang mempunyai ilmu yang banyak kerana mereka sudah lama mendiami dunia ini berbanding kita. Sudah tentu pengalaman mereka melebihi diri kita yang masih setahun jagung ini. Oleh yang demikian, tunjuk ajar daripada mereka sewajarnya kita dengar, kita lihat dan pelajari. Jangan menjadi orang yang ego hanya kerana sijil yang kita ada, kedudukan kita atau wang ringgit kita. sedangkan, itu semua tidak mampu menjamin masa depan kita.
Putaran hidup ini ada naik turunnya. Kerana itu, pengalaman mampu menjadikan kita orang yang lebih baik daripada semalam. Kita tidak mahu jatuh di lubang buaya dua kali. Oleh itu, apa yang telah berlaku kita jadikan guru tebaik buat diri ini. wallahualam...
No comments:
Post a Comment