Bismillahirahmanirahim............
Moga Allah sentiasa memberi keringanan pada diri ini dan keampunan pada hamba yang khilaf ini..
Tika menyusuri kompleks membeli-belah, tentu kita dapat melihat banyak sekali gelagat manusia. Ragam mereka, celoteh dan yang paling utama pemakaian mereka. Ada yang bangga sekali berpakaian mengikut 'trend'. Moden dan bergaya melebihi masyarakat di negara Barat. Rata-rata dilihat berambut perang, berkulit kuning langsat. Firasat lebih mengatakan mereka adalah orang melayu. Ibu-ibu membimbit tangan si kecil yang berkeliaran di dalam kompleks tersebut. Itulah bekas yang akan membentuk acuan-acuan kecil untuk memerintah dunia kelak. Sedih sekali melihat fenomena ini. Hanya pandangan mata yang menyoroti.
Bagaimana ibu itu mampu melahirkan Salahuddin al-Ayubi? bagaimana ibu itu mampu mendidik seperti Hassan al-Banna? Mana mungkin semua ini terjadi. Pakaian sahaja mampu memberi semua jawapan pada kita. Mungkin ada yang berkata, "tak semua menutup aurat itu baik". Betul. Tapi, bukankah mereka sudah menunaikan hak terhadap Allah. Tanggungjawab itu sudah terlaksana. Bandingkan dengan mereka yang amsih berhutang tanggungjawab itu dengan Allah. mana mungkin mereka akan melaksanakan tanggungjawab lain yang di amanahkan oleh Allah. Menutup aurat itu wajib. Jika perkara sekecil itu tidak mampu kita laksanakan, bagaimana mahu dipikul amanah mendidik anak itu. Mendidik anak bukan sekadar melengkapi keperluan hidup, bahkan lebih daripada itu. Pendidikan dalam mengenal sang pencipta tentu sahaja memerlukan strategi dan kesabaran yang tinggi.
Mari perhatikan bersama.... Ibu yang membuka aurat, bersuamikan juga suami yang tidak menutup aurat. Apa akan terjadi pada anak-anak?? Tentulah anak itu pun mengikut sama jejak ibu bapa mereka. Kerana itu ilmu yang mereka pelajari. Suasana telah mengubah diri mereka untuk tidak menutup aurat. Wahai ibu bapa, jangan melanggar fitrah anak-anakmu. Mereka adalah suci. Kamu yang mengotorkan jasad-jasad mereka. Kamu yang meletakkan warna-warna hitam pada mereka. Lantas, apabila si anak menjadi derhaka, wajarkah mereka juga yang kau persalahkan? Anak-anak tidak mampu menajdi jahat jika tiada yang mendidik mereka menjadi seperti itu. Anak-anak tidak akan pandai menipu, jika ibu bapa tidak begitu. Jadi, semuanya atas asuhan ibu bapa. Padi yang ditanam, beraslah yang dihasilkan.
Anak-anak mampu menjadi penyelamat kepada kita sedangkan kita tidak mampu berbuat yang demikian. Doanya pada kita mampu menyelamatkan kita di alam kubur kelak. Namun, hanya doa anak yang soleh akan sampai pada ibu dan ayahnya. Semestinya, hanya anak yang soleh akan mendoakan kedua ibu bapanya kerana asuhan yang diberikan.
wahai ibu, wahai ayah,
kasihanilah anakmu,
jangan didik kami dengan apa yang dilarang,
jangan ajar kami dengan kemurkaan Tuhan,
Kerana kami takut kami tidak menjadi insan,
apalagi pilihan Tuhan.
wahai ibu, wahai ayah,
pukullah kami, tapi jangan keterlaluan,
ikutlah syariat yang telah diajarkan,
kami sedia dibentuk seperti titahmu,
mengikut perintah agama yang telah digariskan.
wahai ibu, wahai ayah,
jaga perilakumu, jaga pakaianmu, jada akhlakmu,
kerana kami ini mudah mengikut telunjukmu,
kerana kami juga tahu derhaka melanggar pesanmu.
wahai ibu, wahai ayah,
kami percaya engkau mampu mendidik kami,
menjadi anak soleh dan solehah,
menjadi ummat terbaik,
dan membanggakan pesuruh Allah.
wahai ibu, wahai ayah,
kami mahu terus bersamamu di syurga,
syurga yang abadi, yang dijanjikan,
namun, adakah harapan kami terlalu tinggi???
No comments:
Post a Comment