Wednesday, October 27, 2010

Posting lagi...

Bismillahirahmanirahim...........

Sekian lama menyepi kerana kekangan masa dan masalah pada laptop. "Mood exam" sudah pun bermula.Pengalaman di hantar ke Temerloh masih dalam bayangan. 2 Minggu waktu yang berlalu terlalu singkat rasanya. Suasananya berlainan sekali jika di bandingkan dengan HTAA. Hospitalnya lebih besar dan luas. Persekitarannya sangat cantik dan bersih. Mungkin kerana hospital baru. Begitu juga dengan bahagian dalamannya. Semua tersusun rapi. Bilangan katil pesakit yang sekadarnya dengan dilengkapi penghawa dingin. Kami, pelajar kejururawatan ditempatkan di rumah khas. Perjalanan selama 10 minit sahaja diperlukan untuk tiba di hospital tersebut. Minggu pertama aku di wad Surgical (wanita). Tiada apa yang menarik untuk aku coretkan.

Pengalaman di wad Emergency & Trauma sangat luar biasa. Aku sukakannya. Di awalnya, aku sedikit kaget dengan suasana yang terlalu sibuk. Semua pesakit yang datang mengalami kecederaan yang berbeza. Sedikit penat, namun aku seronok dengan pelajaran baru di situ. Paling menakutkan apabila terpaksa berhadapan dengan pesakit yang kronik secara tiba-tiba. Sangat menguji kekuantan mental. Doktor apatah lagi yang terpaksa bertarung dengan nyawa manusia. Di sana juga, aku melihat ragam si kecil yang terpaksa berhadapan dengan jarum untuk diambil sampel darah. Tak sanggup rasanya mendengar tangisan mereka. Apatah lagi si ibu. Ada yang sanggup keluar kerana tidak sanggup melihat kesakitan si anak yang masih kecil. Itulah ujian bagi para ibu. Sebolehnya, biar mereka sahaja yang menanggung sakit itu. Namun, Allah itu sebaik-baik perancang.

Bicara soal sakit, kadang-kadang manusia hanya menyedari fizikalnya yang cedera. Kaki patah, luka dan sebagainya. ramai yang terlepas pandang pada rohani yang sakit. Sukar sekali buat kita untuk menilai sejauh mana hati kita sakit. Untuk mendapatkan fizikal yang cantik dan sihat, kita sanggup berbelanja ribuan ringgit. Namun, hati yang sakit kita biarkan terus bersarang dan bernanah sehingga pada satu tahap ia sudah tidak mampu berfungsi lagi. Itulah hati yang mati. Orang Mukmin akan sentiasa melakukan 'medical check up' pada hatinya. Bagaimana perjalanan darah. Adakah ada aliran zikir di dalamnya. Atau tersumbat dengan nafsu riak dan sebagainya. Adakah degupannya dengan kalimah Allah. Semuanya harus diperiksa supaya hati yang sakit dapat di ubat dengan segera. Disiram dengan kalam-kalam Allah agar segar kembali.

"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati ALLAH. Ingatlah, HANYA dengan mengingati ALLAH-lah hati menjadi tenteram." [Ar-Ra'd:28]

"(Mereka berdoa dengan berkata): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya."[Surah Ali 'Imran:8]

No comments: