Bismillahirahmanirahim..............
Segala pujian hanya padaNya. Semoga kalamNya sentiasa mengalir dalam diri-diri kami.
Al-khauf membawa pengertian takut dan ar-roja' itu mengharap. Qalbu orang-orang beriman sentiasa mencari jalan untuk menghadirkan rasa al-khauf dalam dirinya. Apabila rasa khauf itu wujud, mereka meletakkan ar-roja' kepada pencipta alam. Perasaan takut pada dosa-dosa yang tidak diampunkan membawa manusia untuk mengharapkan kepada sifat Allah sebagai keampunan. Namun, pengharapan itu perlu disertai dengan amalan. Bukan sekadar omongan kosong. Inginkan keampunan daripada Allah, namun diri tidak berusaha untuk memperbanyakkan amalan adalah sia-sia. Berusaha untuk memperbaiki diri dan mengharapkan Allah melihat kesungguhan kita. Ia ibarat sebuah anugerah yang Allah berikan. Berharap tanpa amal ibarat 'mati hati'. Analoginya, seorang pesakit yang memang tiada harapan untuk sembuh. Namun, seorang doktor yang percaya ajal, maut di tangan Tuhan, akan terus memberi pengharapan pada pesakit tentang kesembuhan penyakitnya. Pengharapan itu menjadikannya lebih kuat untuk terus sembuh. Hal ini kerana orang yang memegang harapan itu hidup hatinya. Mereka sentiasa meletakkan keyakinan kepada Allah ditambah pula prasangka yang baik pada DzatNya.
Asal hidup itu adalah ilmu. Kemudian ia perlu disertai dengan amal. Ilmu itu perlu pada keyakinan yang tinggi. Yakin Allah akan mengampunkan, yakin Allah akan mempermudahkan, yakin Allah akan memberi nikmat. Roja' itu maqamnya yang mulia dan paling tinggi selepas taubat. Dosa yang dilakukan perlu kepada taubat. Taubat nasuha harus disertai dengan an-Najm, penyesalan terhadap dosa-dosa yang dilakukan. Namun, pokok pangkalnya adalah al-jazm, sumber kemaksiatan. Orang yang melakukan dosa perlu berada jauh daripada sumber maksiat supaya tidak terpengaruh lagi. Mereka perlu bermusafir mencari persekitaran yang mendekatkan mereka kepada Allah. Selak kembali sirah pembunuhan 100 orang termasuk seorang alim. Si pembunuh mendapat pengharapan daripada seorang alim yang berilmu yang mengatakan pengampunan Allah masih terbuka. Lantas, disuruh pembunuh itu untuk berhijrah ke kawasan orang-orang yang beriman. Jelas menunjukkan kepada kita persekitaran memainkan peranan yang penting untuk seseorang berubah. Setiap kebaikan mampu memadamkan kesalahan. Allah memerintahkan kita untuk melakukan amalan setakat kemampuan kita. Namun, setiap orang perlu meninggalkan kejahatannya terus. Maksudnya, Allah tahu semua manusia mampu meninggalkan maksiat tanpa melihat kepada kemampuan.
Sebagai hamba, layak bagi kita untuk meminta syurga daripada Allah. Namun, Sheikh Ma'ruf al-Tarkhi berkata, "Orang yang meminta syurga tanpa beramal dikatakan mempunyai adab yang jahat". Bagaimana kita mampu meminta syurga, tempat teristimewa jika dibandingkan dengan amalan kita? Layakkah insan seperti kita mendiami syurga Allah, tempat yang suci. Sedangkan diri kita penuh dengan dosa. Begitulah roja' itu perlu kerana dengan izinNya sesiapa boleh dimasukkan ke syurgaNya, dikeluarkan daripada api nerakaNya, diampunkan segala dosaNya. Cuma, peganglah pada amalan dan kesungguhan yang menunjukkan kita ini hamba yang lemah. Hamba yang sentiasa memerlukan tuannya.
'Barangsiapa yang menghidupkan hatinya dengan ilmu dan amal, hatinya ibarat hidup selama-lamanya'.
Pengajian Kitab Hikam,
30/10/10, 9mlm.
No comments:
Post a Comment