Bismillahirahmanirahim......................
Alhamdulillah, syukur atas segalanya. Ruang waktu yang ada membawa aku menjengah kehidupan sebenar manusia. Kemiskinan menjadi kunci utama buat mereka yang kesempitan. Ketidakupayaan mereka menyebabkan pergantungan hidup pada wang zakat dan badan kebajikan masyarakat. Mereka tidap pernah meminta untuk hidup melarat. Apatah lagi hanya terbaring menunggu rezeki tiba. Golongan ini sudah tidak berupaya untuk mengerah keringat mencari sesuap nasi. Ada yang uzur, kurang upaya dan sebagainya menjadikan golongan ini harus layak mendapat bantuan. Namun, waktu itu tidak selalu tiba. Hanya muncul di bulan-bulan tertentu sahaja, seperti Ramadhan. Meskipun mendapat bantuan bulanan, hanya cukup sekadar makannya sahaja.
Kerenah biokrasi turut menjadikan golongan ini penat untuk meminta. Mereka terpaksa berdepan dengan pelbagai halangan hanya untuk mengisi borang kelayakkan sebagai penerima bantuan. Justeru, keadaan itu memaksa mereka melepaskan wang bantuan yang mungkin hanya dihulur RM100, RM200 atau RM300 sebulan. Bagaimana wang sebanyak itu mampu menampung kehidupan keluarga yang ramai? Mungkin, yang masih punya keringat akan cuba sedayanya untuk mengisi perut penghuni di rumah yang daif itu. Si suami yang terbaring kaku akan memaksa si isteri untuk menggantikan tempatnya sebagai pencari nafkah. Di samping, merawat suami dan menjaga pakai anak-anak yang lain. Perit rasanya jika meletakkan diri kita di tempat si ibu.
Umar al-Khattab antara pemimpin yang cakna rakyat. Dia sedaya upaya memastikan rakyatnya kenyang tanpa mempedulikan dirinya. Sentiasa menjadi pemantau di waktu malam melihat keadaan rakyatnya dan mencari jika ada di antara mereka yang tidur dalam kelaparan. Pernah tika satu ketika, dia melintasi sebuah rumah yang dihuni oleh seorang ibu bersama anak-anaknya. Si ibu memasak batu sementara anak-anaknya menunggu untuk mendapatkan makanan. Si anak merengek kelaparan sehinggalah tertidur. Si ibu terpaksa berpura-pura seolah-olah batu itulah makanan dan menunggu sehingga ia masak, barulah dapat dihidang kepada anak-anaknya. Anak-anak kecil itu tidak mengerti dan menunggu sehingga tertidur. Melihatkan situasi itu, menangislah Umar dan bergegas pulang mendapatkan gandum. Dia sendiri mengusung dan memasakkan makanan buat penghuni rumah itu. Itulah model yang terbaik sebagai seorang pemimpin.
No comments:
Post a Comment