Bismillahirahmanirahim..........
Segala pujian hanya padaNya yang Esa. Syukur atas nikmat Ramadhan dan syawal yang hadir menjadi pendamping diri. Alhamdulillah. Syawal datang dengan berlalunya Ramadhan. Semoga ketemu lagi duhai Ramadhan. Rindu itu akan tetap mekar sehingga syahru itu kembali lagi.
Fenomena Syawal memberi natijah apa dalam diri kita? Misi apa pula kita di bulan Syawal pada tahun ini? Syawal bulan menambah duit raya, syawal sebagai medan juadah selepas sebulan berpuasa, atau syawal sebagai bulan kemenangan?. Erti Syawal tentu sahaja berbeda bagi setiap individu pada setiap tahun. Hadirnya mungkin menggamit nostalgia atau mungkin mencetuskan kegembiraan. Erti syawal berbeza bagi anak-anak kecil. Begitu juga bagi ibu bapa dan warga tua. Syawal bakal memberi makna yang berlainan bagi mereka.
Tika tibanya Syawal, masyarakat sudah dihidang dengan pelbagai cerita untuk tontonan di bulan Syawal. Walaupun sudah berulang dipertayangkan, cerita-cerita yang mendapat tempat di hati penonton masih diulang tayang. Keghairahan anak muda kekadang tersasar dengan matlamat sebenar ketibaan syawal. Seharusnya, masa yang ada diperuntukkan untuk menziarahi sanak saudara. Di samping mempertautkan tali silaturrahim, merapatkan yang jauh dan mengenali sanak saudara yang jarang sekali bersemuka. Syawal adalah sebagai medan untuk memperteguhkan jurang yang hadir dalam masyarakat kita. Amalan kunjung mengunjung seharusnya menjadi agenda wajib dalam menyambut kemeriahan raya, tidak hanya menunggu tika adanya rumah terbuka.
Kemeriahan di malam syawal tidak seharusnya dihiasi dengan bunyi mercun dan bunga api, tetapi digemakan dengan laungan takbir dan tahmid sebagai tanda kemenagan kita sebulan di bulan Ramadhan. Allahuakbar...Allahuakabar...Allahuakbar... Takbir demi takbir menjadi menifestasi kepada kita Allah itu Maha Besar. Dengan kekuasaan dan aturanNya kita mampu menempuh rintangan di bulan Ramadhan selama sebulan. KebesaranNya harus meresap ke dalam jiwa setiap yang menuturkan kalimah-kalimah agung itu, tidak hanya kalam di bibir semata.
Amalan bermaafan di bulan syawal harus diambil ibrah sepenuhnya. Syawal hadir bukan sebagai bulan 'maaf', tetapi pencentus untuk amalan bermaaf-maafan itu di bulan yang lain. Konsep bersalaman dan bermaafan seharusnya sudah menjadi nilai dalam masyarakat kita. Tidak hanya menunggu bulan ini tiba. Lafaz 'maaf' itu pula bukan di omong-omongkan sahaja. Keihklasan perlu hadir supaya nawaitu itu sampai pada Allahu azza wajala. Amalan sunnah perlu menjadi tradisi. Rasulullah menjadi orang pertama yang menghulurkan salam, memandang mata orang yang disalami dan menjadi orang terakhir melepaskan pegangan. Semoga sunnah itu terus subur...
Semoga Syawal hadir membawa seribu keberkatan dalam diri kita. Dimensi kita dalam menyambut syawal seharusnya berbeza daripada satu zaman ke zaman yang lain. Pengertian Syawal perlu dihadam sepenuhnya sebelum bulan itu tiba sepertimana Ramadhan hadir. Jangan dibiarkan bulan-bulan ini hadir dan berlalu tanpa memberi maknadalam diri kita. Kerana belum tentu Ramadhan dan Syawal di tahun hadapan ada buat kita.. Panjatkan kesyukuran atas kehadirannya di tahun ini.. Semoga tahun hadapan berkesempatan lagi.. Amin Ya Rabb...
No comments:
Post a Comment