Monday, August 20, 2012

Dimensi syawal

Bismillahirahmanirahim..........

Segala pujian hanya padaNya yang Esa. Syukur atas nikmat Ramadhan dan syawal yang hadir menjadi pendamping diri. Alhamdulillah. Syawal datang dengan berlalunya Ramadhan. Semoga ketemu lagi duhai Ramadhan. Rindu itu akan tetap mekar sehingga syahru itu kembali lagi. 



Fenomena Syawal memberi natijah apa dalam diri kita? Misi apa pula kita di bulan Syawal pada tahun ini? Syawal bulan menambah duit raya, syawal sebagai medan juadah selepas sebulan berpuasa, atau syawal sebagai bulan kemenangan?. Erti Syawal tentu sahaja berbeda bagi setiap individu pada setiap tahun. Hadirnya mungkin menggamit nostalgia atau mungkin mencetuskan kegembiraan. Erti syawal berbeza bagi anak-anak kecil. Begitu juga bagi ibu bapa dan warga tua. Syawal bakal memberi makna yang berlainan bagi mereka. 

Tika tibanya Syawal, masyarakat sudah dihidang dengan pelbagai cerita untuk tontonan di bulan Syawal. Walaupun sudah berulang dipertayangkan, cerita-cerita yang mendapat tempat di hati penonton masih diulang tayang. Keghairahan anak muda kekadang tersasar dengan matlamat sebenar ketibaan syawal. Seharusnya, masa yang ada diperuntukkan untuk menziarahi sanak saudara. Di samping mempertautkan tali silaturrahim, merapatkan yang jauh dan mengenali sanak saudara yang jarang sekali bersemuka. Syawal adalah sebagai medan untuk memperteguhkan jurang yang hadir dalam masyarakat kita. Amalan kunjung mengunjung seharusnya menjadi agenda wajib dalam menyambut kemeriahan raya, tidak hanya menunggu tika adanya rumah terbuka. 

Kemeriahan di malam syawal tidak seharusnya dihiasi dengan bunyi mercun dan bunga api, tetapi digemakan dengan laungan takbir dan tahmid sebagai tanda kemenagan kita sebulan di bulan Ramadhan. Allahuakbar...Allahuakabar...Allahuakbar... Takbir demi takbir menjadi menifestasi kepada kita Allah itu Maha Besar. Dengan kekuasaan dan aturanNya kita mampu menempuh rintangan di bulan Ramadhan selama sebulan. KebesaranNya harus meresap ke dalam jiwa setiap yang menuturkan kalimah-kalimah agung itu, tidak hanya kalam di bibir semata. 

Amalan bermaafan di bulan syawal harus diambil ibrah sepenuhnya. Syawal hadir bukan sebagai bulan 'maaf', tetapi pencentus untuk amalan bermaaf-maafan itu di bulan yang lain. Konsep bersalaman dan bermaafan seharusnya sudah menjadi nilai dalam masyarakat kita. Tidak hanya menunggu bulan ini tiba. Lafaz 'maaf' itu pula bukan di omong-omongkan sahaja. Keihklasan perlu hadir supaya nawaitu itu sampai pada Allahu azza wajala. Amalan sunnah perlu menjadi tradisi. Rasulullah menjadi orang pertama yang menghulurkan salam, memandang mata orang yang disalami dan menjadi orang terakhir melepaskan pegangan. Semoga sunnah itu terus subur...

Semoga Syawal hadir membawa seribu keberkatan dalam diri kita. Dimensi kita dalam menyambut syawal seharusnya berbeza daripada satu zaman ke zaman yang lain. Pengertian Syawal perlu dihadam sepenuhnya sebelum bulan itu tiba sepertimana Ramadhan hadir. Jangan dibiarkan bulan-bulan ini hadir dan berlalu tanpa memberi maknadalam diri kita. Kerana belum tentu Ramadhan dan Syawal di tahun hadapan ada buat kita.. Panjatkan kesyukuran atas kehadirannya di tahun ini.. Semoga tahun hadapan berkesempatan lagi.. Amin Ya Rabb...



Sunday, August 12, 2012

Segaris senyuman ;)

Bismillahirahmanirahim......................

Alhamdulillah, syukur atas segalanya. Ruang waktu yang ada membawa aku menjengah kehidupan sebenar manusia. Kemiskinan menjadi kunci utama buat mereka yang kesempitan. Ketidakupayaan mereka menyebabkan pergantungan hidup pada wang zakat dan badan kebajikan masyarakat. Mereka tidap pernah meminta untuk hidup melarat. Apatah lagi hanya terbaring menunggu rezeki tiba. Golongan ini sudah tidak berupaya untuk mengerah keringat mencari sesuap nasi. Ada yang uzur, kurang upaya dan sebagainya menjadikan golongan ini harus layak mendapat bantuan. Namun, waktu itu tidak selalu tiba. Hanya muncul di bulan-bulan tertentu sahaja, seperti Ramadhan. Meskipun mendapat bantuan bulanan, hanya cukup sekadar makannya sahaja. 



Kerenah biokrasi turut menjadikan golongan ini penat untuk meminta. Mereka terpaksa berdepan dengan pelbagai halangan hanya untuk mengisi borang kelayakkan sebagai penerima bantuan. Justeru, keadaan itu memaksa mereka melepaskan wang bantuan yang mungkin hanya dihulur RM100, RM200 atau RM300 sebulan. Bagaimana wang sebanyak itu mampu menampung kehidupan keluarga yang ramai? Mungkin, yang masih punya keringat akan cuba sedayanya untuk mengisi perut penghuni di rumah yang daif itu. Si suami yang terbaring kaku akan memaksa si isteri untuk menggantikan tempatnya sebagai pencari nafkah. Di samping, merawat suami dan menjaga pakai anak-anak yang lain. Perit rasanya jika meletakkan diri kita di tempat si ibu. 

Umar al-Khattab antara pemimpin yang cakna rakyat. Dia sedaya upaya memastikan rakyatnya kenyang tanpa mempedulikan dirinya. Sentiasa menjadi pemantau di waktu malam melihat keadaan rakyatnya dan mencari jika ada di antara mereka yang tidur dalam kelaparan. Pernah tika satu ketika, dia melintasi sebuah rumah yang dihuni oleh seorang ibu bersama anak-anaknya. Si ibu memasak batu sementara anak-anaknya menunggu untuk mendapatkan makanan. Si anak merengek kelaparan sehinggalah tertidur. Si ibu terpaksa berpura-pura seolah-olah batu itulah makanan dan menunggu sehingga ia masak, barulah dapat dihidang kepada anak-anaknya. Anak-anak kecil itu tidak mengerti dan menunggu sehingga tertidur. Melihatkan situasi itu, menangislah Umar dan bergegas pulang mendapatkan gandum. Dia sendiri mengusung dan memasakkan makanan buat penghuni rumah itu. Itulah model yang terbaik sebagai seorang pemimpin. 

Walau nilai yang disumbang kecil, cukuplah itu untuk memberi segaris senyuman di bibir mereka yang memerlukan. Kehadiran kita juga sudah menggembirakan mereka kerana masih ada yang sudi bertandang ke pondok buruk mereka. Apa alasan kita sebagai ummat yang mengaku bersaudara? Cubit paha kanan, paha kiri patut merasa. keperitan itu harus dikongsi, bukan hanya melihat tanpa upaya. Berilah sekadar termampu supaya itu juga menjadi pulangan modal untuk kita di akhirat. Semoga terus ada yang menghulurkan bantuan kerana kita bimbang kemiskinan itu akan membawa kepada kekufuran. Wallahualam. 

Friday, August 3, 2012

Ujian 'kenikmatan' itu ditarik balik

Bismillahirahmanirahim.................

Syukur pada Allah atas nikmat yang sentiasa kunjung tiba. Lebih-lebih lagi di bulan Barakah. Selama 8 bulan diuji. Alahan pada makanan membuatkan aku terpaksa memilih untuk makan walaupun kadang kala terpaksa juga melanggar pantang. 22 tahun sudah Allah memberi peluang untuk merasa semua nikmat makanan yang ada di dunia ini. Sekelip mata nikmat itu dicabut. Biasa bagi yang sejak kecil sudah alah pada makanan laut, telur dan kacang. Aku merasainya kini. Semua makanan perlu ditapis. Sakit yang harus aku tanggung jika mengambilnya. Keadaan badan yang tidak begitu 'compliance' pada ubat menyukarkan aku jika tersalah mengambil makanan. Proses untuk pulih memakan masa. Aku masih tidak pasti aku alah pada makanan mana. Daripada pemeriksaan, aku mungkin mengalami 'contact dermatitis' atau 'eczema'. Alahan hanya berlaku pada bahagian muka. Kulit muka kemerahan kerana mengalami 'inflammation'.

Makanan itu hanya satu kenikmatan. Itu juga adalah ujian bagi kita. Seperti nikmat-nikmat yang lain, Allah mampu menarik balik bila-bila masa. Itu adalah hak Dia. Kenikmatan itu hanya pinjaman semata-mata untuk melihat sejauh mana kesyukuran kita padaNya. 22 tahun adalah waktu yang lama untuk Dia memberi pinjaman pada aku. Syukur, aku masih mampu menikmati makanan yang lain. Sedangkan masih ramai yang tidak mampu merasai kelazatan itu. Mungkin, diri ini juga sering kali lupa ada insan yang kelaparan saat diri menikmati juadah. Ummat Islam di Rohingya, Syria... Bagaimana nasib mereka? Lebih-lebih lagi di bulan puasa. Bagaimana sambutan Ramadhan di sana? Ya Allah, moga Engkau bantu mereka. 

Jadilah kita manusia yang bersederhana di bulan Ramadhan supaya menifestasinya sampai di bulan-bulan lain. Wallahualam.....