Tuesday, April 26, 2011

Golongan ulul albab

Bismillahirahmanirahim...........

Alhamdulillah, selawat dan salam buat Nabi junjungan. Syukur buat Yang Maha Kuasa atas nikmat yang tak henti-henti. Alhamdulillah..

Info terbaru bagi aku. Walaupun sebenarnya, isunya telah lama. Cuma, aku yang tidak menyedari. kelahiran ulul albab. Pembentukan generasi masa depan melalui sistem pendidikan. Aku kira, pakej yang cukup baik. Itulah sebaik-baik ummat. Insyallah, sudah nampak cahaya pada masa hadapan. cahaya yang bakal menerangi alam yang kian malap.

Perbincangan bersama ibu saudaraku yang menghantar anaknya ke salah satu MRSM yang asasnya adalah hafalan quran. Masyallah, terkedu aku mendengarnya. bangun seawal jam 5 pagi untuk ke musolla. Pelajar di tingkatan 1 sudah dilatih dengan disiplin yang cukup tegas. Memikirkan diri ini, rasa cukup kerdil sekali. Jadual harian mereka sangat padat. Di samping menghafal al-quran, tidak lupa pembelajaran akademik yang lain. Kedua-duanya seimbang dengan sangat baik. Aku kira Terengganu adalah antara negeri terawal yang mencetuskan kewujudan golongan ulul albab.

Bukan itu sahaja, kerajaan telah mengambil langkah supaya pelajar di sekolah rendah khatam al-qurannya. Melalui kelas kafa', projek ini dilaksanakan. Program ini cukup baik bagi membolehkan generasi muda kenal pada al-quran. Secara tidak langsung, boleh mendedahkan ilmu al-quran dalam diri generasi muda yang dilihat kian jauh meninggalkannya. Ke mana jalan kita jika al-quran diketepikan. Jika al-quran tidak menjadi bahan bacaan kita. Padahal, al-quranlah teman di kuburan kita. Menjadi penerang di alam sana di saat kita keseorangan. Menjadi pembela kita saat mulut sudah terkunci.

Namun, moga usaha ini menjadi anjakan kepada anak-anak kecil untuk cintakan al-quran dan mendalami setiap bait-bait kalamNya. Itulah risalah warisan peninggalan Nabi kita yang seharusnya dipelihara dan terus dikekalkan sehingga saat ini. Seperti mana pesanan Baginda dalam khutbah terakhirnya, "Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah disampaikan kepada kamu.
Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.” Allahuakbar...

Sunday, April 24, 2011

Susahnya menjadi seorang ibu.

Bismillahirahmanirahim...........

Alhamdulillah, syukur pada yang Maha kuasa masih meminjamkan nyawa buatku. Sesungguhnya diri ini milikNya dan kepadaNya aku dikembalikan...

Aku masih bercuti. Hari ini dalam minggu ke dua. Masih berbaki satu minggu lebih sebelum jadual 'posting' bermula. Saki baki penat masih terasa. Mengambil alih peranan ibu memang amat meletihkan. Bermula minggu lepas, dengan ketiadaan Along, aku menjadi bibik di rumah. Mengemas rumah, menjemur baju, memasak makanan tengahari, mengambil adik dan melipat pakaian semuanya aku lakukan. Penatnya hanya Allah saja yang tahu. Lantas, aku berfikir-fikir layak ke aku menjadi seorang ibu. Terlalu berat rasanya memikul tanggungjawab. Kalau urusan rumah tangga pun aku tak mampu nak selesaikan, macam mana nak hadapi kehidupan berumah tangga yang sebenarnya. Baru aku menyedari betapa beratnya tanggungjawab seorang ibu. Mampukah kita semua menjadi yang terbaik seperti ibu kita?

Dua hari lepas, aku terpaksa menjadi emak 'full house', sepenuh masa. Emak ke Kuala Lumpur. Jadi, tugasanku bermula seawal pagi dan berakhir lewat tengah malam. Akhirnya, aku menyerah. Mengira masa dan detik untuk kepulangan emak. Sudah tidak larat rasanya memikul tugasan itu sendiri. Ya Allah, besarnya pengorbanan seorang ibu pada anak-anaknya. Tak pernah rasanya terpancul rasa jemu, penat dalam memenuhi tuntutan anak-anaknya. Dalam melayan kerenah anak-anaknya. Begitu setia. Bukan sehari, dua, malah sehingga kita dewasa. Sehingga anak-anaknya ini menginjak alam rumah tangga. Cabarannya terlalu hebat. Mampukah kita? Teringat sahabat-sahabat yang sudah berumah tangga. Bagaimana mereka menempuh perjalanan kehidupan ini. Sesunggunya mereka adalah yang terpilih. Allah telah mengizinkan mereka untuk memikul amanah sewaktu di kampus. Mereka terpaksa berulang alik ke kuliyah sebagai pelajar, pulang ke rumah melaksanakan tugas sebagai isteri dan yang punya anak, sebagai ibu. Masyallah....

Aku sempat mendengar perkongsian daripada Ustaz Azhar Idrus mengenai martabat seorang wanita. Kenapa wanita begitu mulia. Sehingga di zaman nabi Muhammad, martabatnya di angkat tinggi. Peranan wanita lebih tinggi berbanding lelaki dalam membentuk generasi masa depan. Allah memberi kelebihan kepada wanita untuk mengandung dan melahirkan anak-anak daripada rahimnya. Dengan darjat itu, 1000 pahala diberi dan digugurkan 1000 dosa. Perasaan kasih sayang ibu melebihi nyawanya sendiri. Dia sanggup bersusah demi kehidupan anak-anak. Kerana itu, syurga terletak di bawah kaki ibu. Cerita si tanggang mampu menjadi contoh terbaik dalam mengajar anak-anak supaya tidak menjadi anak derhaka. Sesungguhnya, tidak mampu dibalas jasanya walau dengan emas dan permata.

Anak yang baik akan sentiasa mendoakan ibunya. Di kala ibu kedukaaan kitalah yang perlu menjadi pengubatnya. Tika dia kesunyian, kitalah penemannya, agar dengan itu kita mmapu kembali berbakti padanya. Apa lagi yang mampu dia harapkan daripada kita. Dia sudah mendidik kita sebagai anak soleh dan solehah adalah emas yang berharga untuk simpanannya kelak. Moga, doa kita sentiasa mengalir buatnya...

Thursday, April 7, 2011

Doa buat pemimpin

Bismillahirahmanirahim…….

Semoga rahmat Allah sentiasa memayungi hati-hati kita. Selawat dan salam buat junjungan baginda yang sentiasa mengingati ummatnya walau jasadnya tiada. Alhamdulillah, Allah masih memberi kesihatan dan pelbagai nikmat buat hamba naïf untuk terus mengembara di buminya. Namun, ujian dunia sentiasa terhidang untuk dinilai peringkat iman dalam diri ini. Moga kekuatan sentiasa ada bersama Allah, insyallah.

Melihatkan situasi dunia, aku hanya mampu mengeleng. Letih dan penat dengan politik dunia. Apa mahu jadi? Seakan tiada lain yang dicari melainkan kesenangan dunia. Sedangkan, dunia hanya tempat mencari bekal. Itu pun, tiada yang mengambil pusing. Saat amaran Allah sudah jelas terpampang di mata, tiada tindakan lansung daripada kita yang namanya hamba. Sungguh menyedihkan. Keras sangatkah hati kita sehingga tidak mampu membaca amaran Allah.

Kes Anwar Ibrahim yang tiada kesudahan memperlihatkan politik apa yang di mainkan? Kes video Lucah pula mengambil tempat setelah dilihat tiada jalan penyelesaian. Apa lagi permainan yang ingin dilaksanakan selagi kuasa masih di tangan. Rakyat menajdi agenda utama saat pilihan raya menghampiri waktunya. Wang disogok dengan harapan mereka mampu dipilih sebagai pemerintah kononnya untuk membela nasib rakyat. Itukah pemimpin kita? waktu inilah ramai pemimpin mula menyusuri denai-denai kampong untuk meninjau keadaan rakyat. Apakah cukup makan, pakainya. Apakah ada anak-anak yang tidak bersekolah. Adakah rumahnya yang didiami hamper roboh. Saat itu, akhbar mengambil peranan menanyangkan kemurahan si penderma. Di sana sini, gambar mereka terpampang untuk tatapan pembaca yang keseluruhannya rakyat jelata.

Pembaca budiman,

Kita sentiasa lupa apakah wang menjadi destinasi terakhir kita? Bukankah Allah itu yang Maha Pemberi. Tidak perlu mengharapkan belas simpati manusia yang sementara. Seperti mana firmnnya, " Dan akhirat lebih baik dan kekal". (87:17). Aku akui, bukan semua pemimpin kita begitu. Ada yang betul-betul pemimpin rakyat yang sedar makna tanggungjawab dan amanah yang bakal ditanya nanti. Namun, berapa kerat sangat yang menghuni golongan ini. Terlalu berat rasanya untuk memikul yang namanya amanah. Banyak lagi sebenarnya masalah ummat yang belum selesai. Daripada memikirkan kes-kes yang tidak sepatutnya, wajarlah pihak pemimpin memfokuskan kepada agenda manifesto yang mereka laungkan saat calon pemilihan dibuat. Laksanakan apa yang dijanjikan kepada rakyat. Berapa ramai pemimpin hari ini yang menyelak lembaran sirah pimimpin terdahulu. Beramai ramai yang mengaji sejarah-sejarah silam. Bagaimana sikap seorang pemimpin yang seharusnya, corak kehidupan mereka, keperluan rakyat dan sebagainya. Jauh panggang daripada api.

Aku tidak menunding jari kepada sesiapa. Lantas, diri ini juga diharap mampu membantu mereka. Mungkin doa sebagai pengharapan kerana Allah itu Maha Mendengar. Mungkin, kita sebagai rakyat kurang berdoa untuk pemimpin. Berdoa supaya dinaikkan pemimpin yang mampu memimpin kita, mentadbir negara dengan sebaiknya dan lain-lain. Kurang juga doa kita kepada mereka supaya tetap mengamalkan pemerintahan Islam di negara Islam ini. Kurang juga berdoa supaya diri kita juga memilih pemimpin yang adil. Kurang juga doa supaya diri kita juga menjadi rakyat yang suka mendoakan pemimpinnnya. Lantas, kita menunggu masa untuk menjadi seperti ummat yang terdahulu. Nauzubillah…. Justeru, mari sama-sama berdoa kerana Allah itu sangat dekat dan memenuhi permintaan kita. Insyallah…

"Berdoalah kepadaku, nescaya Aku perkenankan". (40:60).