Saturday, October 30, 2010

Apa erti kita berada dalam gerakan Islam??

Bismillahirahmanirahim...........

Nikmat kepujian tidak henti-henti padaNya. Sentiasa melapangkan waktu, memberikan ilmu pada hamba-hambaNya. Walaupun tahu hamba ini sering lupa padaNya, namun kasih sayangnya tetap ada.

Mengapa perlu kepada jemaah???

Gerakan adalah pertubuhan yang bergerak. Oleh itu, semua ahli perlu bergerak. Bagaimana? Dengan berada di dalam jemaah. Jemaah membantu kita untuk menggerakkan kerja-kerja dakwa yang telah lama dibawa oleh para nabi dan rasul. Ia menjadi satu tuntutan untuk berada di dalam sesebuah jemaah kerana Nabi Muhammad s.a.w memerintahkan kita berada di dalamnya.

Jemaah mampu membentuk satu tautan hati yang cukup kuat. Ukhwah yang terbentuk boleh memecahkan sikap nafsi-nafsi dalam diri. Untuk berjihad, kita perlukan sahabat yang sanggup mati untuk kita dan sebaliknya kerana kerja dakwan ini bukan main-main. Kita membawa risalah perjuangan dan menjadi rantai-rantai yang menyambung perjuangan nabi. Jika tali yang diikat tidak kukuh, begitu mudah kita jatuh tersungkur. Berapa ramai yang futur dalam medan ini kerana tautan hati yang tidak kuat. Rasa "trust" tidak ada dalam diri. Kita tidak akan mampu membawa beban dakwah ini kecuali secara berjemaah. Apabila rasa percaya itu tinggi, sejauh mana pun lautan yang memisahkan, sahabat di lain benua akan sanggup kita tolong walau dengan cara apa sekalipun. Begitu kuat nilai kepercayaan dalam jemaah.

"Wamakaru wamakarallah. Waallahu khoirun makirin". Mereka merancang dan Allah pun merancang, tetapi Allah adalah sebaik-baik perancang. Namun, apa yang telah kita rancang? Apa gerak kerja yang telah kita buat?. Dalam kerja dakwah perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Seorang ahli gerakan tidak punya alasan dalam perjuangan Islam. Jangan menjadikan harta kamu, anak-anak atau isteri sebagai alasan untuk lari daripada kerja ini. Ini adalah tanggungjawab yang Allah telah amanahkan kepada kita semua. Kerja dakwah adalah kerja semua dan setiap orang tidak boleh lari daripadanya. Apa yang perlu adalah kita tetap di dalam suatu jemaah dan memperkuat dan perkemaskan jemaah tersebut.

"Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berperang di jalanNya dalam barisan teratur, mereka seakan-akan seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh". (61:4)

Usrah gabungan,
Perkongsian daripada Dato' Razak,
Baitul Husna, 22/10/10

Al-khauf & Ar-roja'

Bismillahirahmanirahim..............

Segala pujian hanya padaNya. Semoga kalamNya sentiasa mengalir dalam diri-diri kami.

Al-khauf membawa pengertian takut dan ar-roja' itu mengharap. Qalbu orang-orang beriman sentiasa mencari jalan untuk menghadirkan rasa al-khauf dalam dirinya. Apabila rasa khauf itu wujud, mereka meletakkan ar-roja' kepada pencipta alam. Perasaan takut pada dosa-dosa yang tidak diampunkan membawa manusia untuk mengharapkan kepada sifat Allah sebagai keampunan. Namun, pengharapan itu perlu disertai dengan amalan. Bukan sekadar omongan kosong. Inginkan keampunan daripada Allah, namun diri tidak berusaha untuk memperbanyakkan amalan adalah sia-sia. Berusaha untuk memperbaiki diri dan mengharapkan Allah melihat kesungguhan kita. Ia ibarat sebuah anugerah yang Allah berikan. Berharap tanpa amal ibarat 'mati hati'. Analoginya, seorang pesakit yang memang tiada harapan untuk sembuh. Namun, seorang doktor yang percaya ajal, maut di tangan Tuhan, akan terus memberi pengharapan pada pesakit tentang kesembuhan penyakitnya. Pengharapan itu menjadikannya lebih kuat untuk terus sembuh. Hal ini kerana orang yang memegang harapan itu hidup hatinya. Mereka sentiasa meletakkan keyakinan kepada Allah ditambah pula prasangka yang baik pada DzatNya.

Asal hidup itu adalah ilmu. Kemudian ia perlu disertai dengan amal. Ilmu itu perlu pada keyakinan yang tinggi. Yakin Allah akan mengampunkan, yakin Allah akan mempermudahkan, yakin Allah akan memberi nikmat. Roja' itu maqamnya yang mulia dan paling tinggi selepas taubat. Dosa yang dilakukan perlu kepada taubat. Taubat nasuha harus disertai dengan an-Najm, penyesalan terhadap dosa-dosa yang dilakukan. Namun, pokok pangkalnya adalah al-jazm, sumber kemaksiatan. Orang yang melakukan dosa perlu berada jauh daripada sumber maksiat supaya tidak terpengaruh lagi. Mereka perlu bermusafir mencari persekitaran yang mendekatkan mereka kepada Allah. Selak kembali sirah pembunuhan 100 orang termasuk seorang alim. Si pembunuh mendapat pengharapan daripada seorang alim yang berilmu yang mengatakan pengampunan Allah masih terbuka. Lantas, disuruh pembunuh itu untuk berhijrah ke kawasan orang-orang yang beriman. Jelas menunjukkan kepada kita persekitaran memainkan peranan yang penting untuk seseorang berubah. Setiap kebaikan mampu memadamkan kesalahan. Allah memerintahkan kita untuk melakukan amalan setakat kemampuan kita. Namun, setiap orang perlu meninggalkan kejahatannya terus. Maksudnya, Allah tahu semua manusia mampu meninggalkan maksiat tanpa melihat kepada kemampuan.

Sebagai hamba, layak bagi kita untuk meminta syurga daripada Allah. Namun, Sheikh Ma'ruf al-Tarkhi berkata, "Orang yang meminta syurga tanpa beramal dikatakan mempunyai adab yang jahat". Bagaimana kita mampu meminta syurga, tempat teristimewa jika dibandingkan dengan amalan kita? Layakkah insan seperti kita mendiami syurga Allah, tempat yang suci. Sedangkan diri kita penuh dengan dosa. Begitulah roja' itu perlu kerana dengan izinNya sesiapa boleh dimasukkan ke syurgaNya, dikeluarkan daripada api nerakaNya, diampunkan segala dosaNya. Cuma, peganglah pada amalan dan kesungguhan yang menunjukkan kita ini hamba yang lemah. Hamba yang sentiasa memerlukan tuannya.

'Barangsiapa yang menghidupkan hatinya dengan ilmu dan amal, hatinya ibarat hidup selama-lamanya'.

Pengajian Kitab Hikam,
30/10/10, 9mlm.

Wednesday, October 27, 2010

Posting lagi...

Bismillahirahmanirahim...........

Sekian lama menyepi kerana kekangan masa dan masalah pada laptop. "Mood exam" sudah pun bermula.Pengalaman di hantar ke Temerloh masih dalam bayangan. 2 Minggu waktu yang berlalu terlalu singkat rasanya. Suasananya berlainan sekali jika di bandingkan dengan HTAA. Hospitalnya lebih besar dan luas. Persekitarannya sangat cantik dan bersih. Mungkin kerana hospital baru. Begitu juga dengan bahagian dalamannya. Semua tersusun rapi. Bilangan katil pesakit yang sekadarnya dengan dilengkapi penghawa dingin. Kami, pelajar kejururawatan ditempatkan di rumah khas. Perjalanan selama 10 minit sahaja diperlukan untuk tiba di hospital tersebut. Minggu pertama aku di wad Surgical (wanita). Tiada apa yang menarik untuk aku coretkan.

Pengalaman di wad Emergency & Trauma sangat luar biasa. Aku sukakannya. Di awalnya, aku sedikit kaget dengan suasana yang terlalu sibuk. Semua pesakit yang datang mengalami kecederaan yang berbeza. Sedikit penat, namun aku seronok dengan pelajaran baru di situ. Paling menakutkan apabila terpaksa berhadapan dengan pesakit yang kronik secara tiba-tiba. Sangat menguji kekuantan mental. Doktor apatah lagi yang terpaksa bertarung dengan nyawa manusia. Di sana juga, aku melihat ragam si kecil yang terpaksa berhadapan dengan jarum untuk diambil sampel darah. Tak sanggup rasanya mendengar tangisan mereka. Apatah lagi si ibu. Ada yang sanggup keluar kerana tidak sanggup melihat kesakitan si anak yang masih kecil. Itulah ujian bagi para ibu. Sebolehnya, biar mereka sahaja yang menanggung sakit itu. Namun, Allah itu sebaik-baik perancang.

Bicara soal sakit, kadang-kadang manusia hanya menyedari fizikalnya yang cedera. Kaki patah, luka dan sebagainya. ramai yang terlepas pandang pada rohani yang sakit. Sukar sekali buat kita untuk menilai sejauh mana hati kita sakit. Untuk mendapatkan fizikal yang cantik dan sihat, kita sanggup berbelanja ribuan ringgit. Namun, hati yang sakit kita biarkan terus bersarang dan bernanah sehingga pada satu tahap ia sudah tidak mampu berfungsi lagi. Itulah hati yang mati. Orang Mukmin akan sentiasa melakukan 'medical check up' pada hatinya. Bagaimana perjalanan darah. Adakah ada aliran zikir di dalamnya. Atau tersumbat dengan nafsu riak dan sebagainya. Adakah degupannya dengan kalimah Allah. Semuanya harus diperiksa supaya hati yang sakit dapat di ubat dengan segera. Disiram dengan kalam-kalam Allah agar segar kembali.

"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati ALLAH. Ingatlah, HANYA dengan mengingati ALLAH-lah hati menjadi tenteram." [Ar-Ra'd:28]

"(Mereka berdoa dengan berkata): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya."[Surah Ali 'Imran:8]