Sunday, April 4, 2010

Bayi itu..:(

Bismillahirrahmanirrahim.........




Geram, sedih dengan fenomena yang berlaku pada hari ini. Kes pembuangan bayi seakan tiada kesudahan. Seakan sudah hilang nilai seorang bayi. Di buang tanpa belas kasihan. Ibarat sampah yang tiada harga. Begitu mudah dibuang. Di dalam tong sampah, di tepi longkang. Ada pula yang terlalu bijak. Membuang bayi di dalam balang. Dengan alasan, supaya tidak dimakan binatang. Manusia, lebih teruk daripada binatang. Sedangkan haiwan pun sayangkan anaknya. Kita punya akal yang membezakan. Namun, hari ini nafsu lebih berkuasa. Nafsu lebih bermaharajalela. Setiap hari ditemui bayi-bayi yang malang ini. Ada yang sudah meninggal ketika ditemui. Dan yang bernasib baik, akan teruskan kehidupan ini. Namun, tanpa ayah dan ibu. Tanpa saudara mara. Tanpa punya pertalian. Apa salah mereka? Mereka tidak pinta lahir di dunia ini untuk dibuang. Mereka tidak minta dilahirkan. Kenapa kita yang mencipta alasan. Sedangkan kita yang mengandungkannya. Kenapa para muslimah? Kenapa mereka dibuang?




Sabda Nabi Muhammad s.a.w, mafhumnya, "apabila kamu sudah tidak punya malu, berbuatlah sesuka hatimu". Inilah yang berlaku pada masyarakat kita. Nilai malu sudah tidak menjadi perhiasan diri. Pergaulan bebas sudah menjadi biasa. Jika ditegur, anak-anak muda memberontak. Budaya 'couple' seakan sudah menjadi suatu keperluan. Kita akan dianggap kolot jika tidak mempunyai pasangan. Walaupun jelas tiada manfaat pun daripada itu, kita masih merasakan ia perlu. Ibu bapa hanya mampu memandang. Jika ditegur, bimbang anak-anak akan memberontak. Anak-anak akan lari daripada rumah. Itulah trend masa kini. Ibu bapa takut pada anak-anak. Boleh dikatakan, anak-anak pada hari ini sudah tidak kenal pada rotan, pada cubitan. Kerana sikap ibu bapa, sambil lewa.

Jika ditegur dikata menjaga tepi kain. Tidak boleh mengambil tahu hal orang lain. Masing-masing menjaga keluarga masing-masing. Tidak usah menyibuk hal orang lain. Sedangkan, kita satu ummah. Kita satu saudara. Cubit paha kiri, paha kanan akan terasa juga. Itu sifat yang perlu ada pada masyarakat hari ini. Sayangnya, itu hanya angan-angan. Itu dulu. Sekarang, semua sudah moden. Tidak perlu pada norma itu lagi. Ke mana hala tuju masyarakat kita? Pemakaian pun sudah tidak terjaga. Semuanya tidak cukup kain. Mengikut fesyen semasa. Belah sana, ketat sini. Menyakitkan mata yang memandang. Tudung pula tidak mengikut syariat. Sekadar menutup kepala. Hanya untuk mengatakan diri ini Islam. Seorang Muslim. Cukup dengan itu. Padahal nilai tudung lebih daripada itu. Dengan tudung, diri kita akan lebih terjaga. Maruah diri akan lebih terpelihara. Labuhkan tudung melebihi paras dada. Itulah yang sebenar-benarnya.

Kembalilah wahai putera puteri bangsa, kembalilah pada fitrahmu. Pada garis agamamu. Allah itu Maha luas pengampunanNYA. Dia masih sayangkan hamba-hambanya. Tidak di musnahkan lagi bumi ini. Kerana menunggu pengampunan daripada kita. Dia masih memberi ruang dan peluang kepada kita untuk kembali kepadaNya. Pada fitrah kejadian kita. Kerana Dia Pencipta.

No comments: