4 tahun di bumi Kuantan mencatat pelbagai nostalgia buatku. Suka, duka, pengalaman yang membina kematangan diri ini dan yang paling memberi kesan; nilai ukhwah yang sudah ditanam dan dibajai dengan subur. Hasilnya, kasih sayang yang terbina semakin mekar meskipun diri ini jauh di negeri sebelah. Sungguh, berjauhan itu perlu supaya kita mampu mengukur nilai ukwah itu. Bukan untuk menguji, sekadar mencari permata sejati.
Hidup menumpang di dalam gerakan mengetuk diri ini untuk mengenali diri. Manusia yang 'sedar diri' tahu akan tujuan penciptaan ini, pasti memperhambakan diri kepada tuan empunya dunia ini. Maka usrah yang diperkenalkan memandu diriku sepanjang kehidupanku di perantauan. Dibantu kakak-kakak (baca: naqibah) sungguh, jiwaku diisi. Tiada lafaz selain tahmid dan syukur atas pertemuan ini. Bibit-bibit perkenalan awal semuanya diatur oleh yang Maha Kuasa. Tidak pernah terlintas untuk mengikat persaudaraan ini melainkan semuanya sudah dicatur olehNya.
Kecekalan dan semangat mereka mengutuk diri ini yang kerap berbunyi tatkala beban kerja bertimbun-timbun. Sedangkan, mereka adalah manusia luar biasa. Jadual hidup sentiasa penuh dengan aktiviti keluarga, kerja dan masyarakat. Apa gelaran yang harus aku berikan buat mereka? Tiada istilah penat terbit daripada bibir-bibir mereka. Hanya lakaran senyuman, penuh ikhlas lahir dari riak wajah itu. Sungguh, setiap keringat yang lahir bakal menjadi saksi untuk mendapat anugerah dari Tuhan.
Buat sahabat-sahabat yang setia menjadi pendamping, sungguh aku merindui kalian. Mana mungkin memori itu akan aku padam biar penuh sekalipun, akanku tampung di 'drive' yang lain. kata-kata semangat tidak pernah padam walau aku tidak mampu menjadi pemberi terbaik. Sekadar menghulurkan telinga, menjadi pendengar atau sesekali meminjamkan bahu. Jaulah dan kembara kita akan menjadi cerita buat anak-anak dan cucu-cicit yang akan datang. Berkongsi air mata menjadi memeori terindah kita dan akan dipahat kemas dalam ingatan ini.
Adik-adik tidak pernah lepas dari ingatan ini. Celoteh dan ragam kalian menjadi penghibur diri ini, biar sesekali kenakalan itu datang bukan pada masa yang tepat. Aku menghargai kalian atas penerimaan diri yang kerdil ini sebagai kakak. Walau kita bukan lahir dari rahim yang sama, namun fikrah telah menyatukan kita di jalan ini. Teruskan perjuangan kerana kita penyambung rantaian dakwah. Andai tugas ini tidak digerakkan, sungguh rantaian itu akan putus. Namun, percayalah Islam akan terus tertegak meski tanpa kita. Doa sentiasa mengalir buat adik-adik sekalian. Kalian agen pengubah di bumi Kuantan!
Aku percaya tiada yang mampu memutuskan ikatan ini. Doa dan rindu akan sentiasa menjadi pengikat kasih sayang kita. Biar kita digelar 'majnun' atas rasa mahabbah ini. Sungguh, aku merindui kalian!
Sekitar Ijtima' Haraki WADAH-ABIM-PKPIM 2013
1 comment:
subhanallah ana,.
nak nangis baca...
rindu juga..rindu perjuangan kita bersama..
doakan kami di sini..
semoga ana juga tetap tabah dan terus berjuang di bumi sana..
Post a Comment