Sunday, December 23, 2012

Pejuang: Apa kekuatanmu?

Bismillahirahmanirahim.......

Buat kader dakwah, juga diri ini yang mengaku sebagai kader, warkah ini peringatan buatmu dan aku supaya tiap kata-kata dan titipan tidak hanya berlegar dalam angin lalu. 

Apa yang kita cari dalam dakwah? Ukhwah, aktiviti untuk mengisi masa lapang, tarbiyyah atau suka-suka? Tanpa matlamat, kita sebenarnya menuju jalan futur. Keberadaan kita di dalam jemaah harus jelas supaya dapatan sampingan tidak memutuskan kita dalam jalan dakwah bila ianya hilang. Ukhwah, tarbiyyah dan sebagainya hanyalah sisi-sisi kecil hasil ijtima' kita di dalam gerakan. Jika kader punya visi yang jelas, walau cabaran apa pun yang datang, dia akan mampu bertahan. Kerana itu, persoalan tentang kehadiran Islam juga boleh diangkat. Untuk apa Islam datang?. Allah tidak mendatangkan Islam hanya untuk mengisi kekosongan. "Tidaklah Islam hadir melainkan dengan satu tujuan yakni merealisasikan makna 'al-ibadah' dalam kehidupan manusia". Manusia menjadi agennya untuk merencanakan tujuan tersebut. Melalui ubudiyyah barulah konsep ini sempurna. (Sayyid Qutb, 1995).

Jika dilihat kembali, Islam telah bertapak lama di dunia. Sejak kelahiran nabi Adam yang dicampak ke dunia bersama Hawa, proses pengislahan manusia giat berlaku. Tujuannya satu, supaya proses perhambaan kepada Allah berlaku dan mereka yang mengislahkan manusia itu melakukan ibadah. Konsep ibadah itu luas. Tidak hanya mencakupi sujud dan rukuk kepada Allah. Proses mengajak manusia kepada kebaikan itu juga ibadah, asal sahaja niatnya lillahi Taala. Mudah bukan. Pada bicara kalamnya, memang mudah, namun untuk menjadikan itu ibadah, amal perlukan mujahadah. Amal itu berlaku ketika mana makna itu hadir dalam diri. Seperti yang disebut dalam ilmu tasawwuf, untuk menjadi alim itu, seseorang perlu beramal dengan ilmunya (Ali Hj. Mohamed, 2010). Lebih susah untuk terus kekal pada jalan dakwah. Setiap rintangan yang hadir belum tentu menjadikan kita kuat walaupun ia satu tarbiyyah. Mungkin menjadikan kita jemu. Penat mungkin menjadi penanda aras pertama untuk seseorang keluar dari gerakan. Bagaimana seorang kader itu mengatasi penat dan halangan itu akan menyebabkan dia akan terus kekal dalam jalan ini. 

kekuatan dalaman menjadi faktor penting bagi seorang kader. Kerana itu, hubungan dengan Allah perlu sentiasa kuat. Pergantungan perlu berpusat pada Allah dan hanya Dia tempat mengadu. Gerakan hanyalah wasilah bagi kita sebagai jalan untuk berjuang. Allah tidak memilih kita untuk berjuang di Gaza. Allah tidak memilih kita untuk mengangkat senjata di syria. Allah tidak memilih kita untuk syahid di Arakan. Tetapi, Allah memilih kita untuk kuatkan ummat di Malaysia. Allah tahu upaya kita di mana.

No comments: