Sunday, July 1, 2012

Bersama BKA

Bismillahirahmanirahim.......................

Syukur atas pinjaman nikmatNya. Bersyukur kerana Allah memberi kesempatan untuk bersama-sama program Biro Kesihatan Abim (BKA) pada hujung minggu baru-baru ini. Pengalaman yang mahal untuk dicari. Di samping dapat menyambung ukhwah, mengenali sahabat-sahabat daripada universiti lain, aku dapat bersua muka dengan kaum Rohingya. Kaum yang diusir daripada negara sendiri, mereka keluar untuk mencari petempatan namun, ditolak oleh negara-negara lain. Malah, ada yang dibunuh ketika sampai ke pinggiran. Atas dasar aqidah yang sama, Malaysia membuka peluang untuk menerima penduduk Rohingya. Tetapi, kekejaman ke atas Rohingnya masih berlaku. Penduduk yang mendiami Malaysia berkongsi cerita, saudara mara mereka dibunuh, rumah dibakar dan kaum ini akan dilupuskan. 

Bersama sukarelawan yang lain, kami membuka klinik untuk pemeriksaan kesihatan (medical check-up). Pada mulanya, hanya beberapa orang penduduk yang kelihatan. Namun, menjengah ke tengahari, kami tidak menang tangan melayan penduduk di situ. Terdetik di hati, ramai rupanya yang memerlukan khidmat kami. Walaupun terpaksa bersesak, mereka sabar menunggu giliran. Aku seronok melihat anak-anak kecil bermain seolah-olah mereka tidak dapat menikmantinya tika di negara sendiri. Sayu mendengar ketua mereka menceritakan apa yang berlaku di tempat mereka. Ramai lagi yang menunggu untuk diselamatkan. 

Aku sempat bertukar cerita dengan Ramadhani, pelajar kejururawatan daripada Indonesia. Bertanyakan keadaan di Acheh dan ruang kerja di sana. Sungguh, mereka juga seperti penduduk Rohingya, rindukan suasana aman seperti Malaysia. Rama bersungguh inginkan pekerjaan di Malaysia. Mungkin masalah kapitalis menutup ruang pekerjaan mereka. Ketika akhir bersua muka, kami bertukar nombor telefon. Aku harapkan ada waktu lain untuk bertemu dengan Rama. Mungkin di Acheh pula. AMin...

Petangnya, skuad BKA meneruskan misi ke Raub. Melakukan pemeriksaan kesihatan kepada penduduk oranga asli. Sudah lama aku tidak menjejakkan kaki ke rumah orang asli. Sedikit kaget apabila melihat kelibat si anjing. Selain kami, pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB), hadir untuk membantu. Kabel eletrik dipasang untuk kemudahan penduduk di situ. Kesedaran tentang kesihatan masih kurang di kalangan mereka. Mungkin keadaan klinik yang jauh dan tiada kenderaan menyukarkan mereka. Namun, semua memberikan kerjasama yang baik. Pihak TNB juga tidak melepaskan peluang untuk turut melakukan pemeriksaan. 

Aku mula menanam niat untuk terus menghulurkan tangan. Semoga Allah membantu aku dalam setiap perjalanan ini. Walaupun bersendiri, tetaplah teguh untuk terus memberi. Wallahualam...

No comments: