Tafsiran yang pelbagai mampu diberi daripada satu gambaran. Manusia punya pelbagai pespektif, pelbagai pandangan dalam melihat sesuatu perkara. Namun, pancaindera keenam senantiasa membisikkan kalimah yang haq. Minda manusia berfungsi dalam zarah neuron yang menyambungkan litar-litar eletrik yang membawa impuls untuk ditafsir dan dikaji. Setiap persoalan yang terdetik lahir daripada suara keimanan yang berusaha untuk mencari setiap persoalan kejadian yang berlaku. Seorang mukmin tidak akan terus selesa dengan jawapan yang sudah terhidang di hadapan kerana asal persoalan itu adalah daripada keraguan. Syak itu perlu supaya nur kebenaran itu terselak dan yang batil itu tersingkap. Mata bertindak sebagai perisik supaya maklumat mampu dihantar ke otak untuk ditafsir dan hati akan menganalisis setiap keputusan yang terhasil. Hati yang sihat akan bergetar jika terdapat manipulasi dalam keputusan yang diperolehi. Hati yang rosak hanya akan membenarkan semua tindakan dilakukan ke atas keputusan yang diambil.
Dasawarsa kita menentukan kerangka pemikiran kita. Bagaimana kita mengolah sesuatu idea yang dibentangkan. Pemahaman pada makna menjadi fokus utama dalam setiap skrip yang dibincangkan. Cambahan idea akan membentuk gagasan-gagasan daripada tajuk yang dipetik. Pandang alam kita sebagai orang Islam harus berbeza daripada manusia biasa. Semuanya perlu berteraskan kepada Allah yang satu. Bagaimana kita melihat perjalanan kehidupan ini. Setiap peristiwa yang berlaku punya tafsiran yang berbeza. Tsunami contohnya, ramai yang menganggap ia berlaku kerana gempa di dasar laut. Namun, sebagai manusia yang beriman, yang mengaku punya pencipta di alam ini tsunami membawa cerita berbeza. Peringatan Allah kepada hamba-hamba yang lupa padaNya. Bagaimana Acheh yang pernah digelar serambi Mekah turut dipukul tsunami? Semuanya berbalik kepada keimanan penduduk di situ. Kini, masyarakat tidak lagi mengamalkan ajaran islam dengan sebenar-benarnya. Yang beriman mungkin hanya sekelumit dan yang terlalai sudah terlalu hanyut. Masyarakat dunia mungkin hanya mampu memerhati tanpa isyarat tazkirah. Semoga peringatan kecil itu mampu mengubah ‘worldview’ masyarat Acheh terutamanya dan masyarakat dunia keseluruhannya. Masih banyak yang perlu digali daripada peristiwa tsunami yang berlaku.
Dalam ruang lingkup yang sama, saintis yang melakukan sesuatu kajian banyak bergantung pada logik akal dan ketepatan sesuatu keputusan adalah berdasarkan eksperimen. Semuanya memerlukan bukti yang kukuh untuk menjelaskan setiap data atau setiap perkara alam yang terjadi. Saintis muslim sentiasa percaya bahawa al-quran punya segala bukti. Namun, kita harus jelas bahawa al-quran bukan sumber rujukan. Kaedah yang diguna pakai masa kini adalah tidak tepat. Al-quran yang perlu dikaji dahulu daripada setiap peristiwa yang mengagumi mata kita. daripada isi tadabur itu, barulah kita pindahkan pada bahan eksperimen atau lain-lain kajian yang dianggap tidak bertentengan dengan ajaran Islam. Hal ini kerana al-quran adalah kalamullah. Semuanya sudah dicerita dan dibentangkan oleh Allah kepada kita. Tunggu hamba-hambaNya sahaja untuk terus mencedok dan menggali ilmu-ilmuNya yang tak terkira luasnya. Hari ini kita melihat ramai saintis barat yang memeluk agama Islam atas sebab kajian yang dilakukan. Kerana diakhirnya, mereka menemukan Allah yang Esa.
Cara kita berfikir menentukan siapa diri kita. Dengan berfikir, kita akan mencetuskan persoalan yang memerlukan jawapan. Jawapan itu memerlukan kepada pengkajian yang melorong kita untuk terus mencari. Inilah konsep yang banyak diguna pakai oleh orang-orang Barat. Dalam pencarian itu kita mungkin akan beberapa kali atau berpuluh kali atau beratus kali menemui kegagalan. Namun, percayalah titik itu akan menemukan kita kepada kebenaran yang sebenar. Di situ juga, hidayah Allah terbentang.
No comments:
Post a Comment