Bismillahirahmanirahim..........
Anak-anak adalah penyejuk mata dan penawar hati. kepenatan ibu bapa terubat apabila melihat senyuman si kecil. Terasa beban kerja itu hilang sekelip mata. Betapa Agung kekuasaan Allah yang menciptakan. Tangisan dan rengekkannya hilang apabila si ibu memeluk erat si anak. Hubungan anak dan ibu memang tidak dapat dipisahkan. Si anak lebih mengenali ibunya. Sentuhan, belaian menjadikannya peka pada ransangan itu. Anak mana yang tidak mengenali ibu yang mengandungkannya 9 bulan. Naluri kasih sayang sudah Allah resapkan dalam diri seorang ibu untuk melayakkannya menjadi penjaga si kecil.
Minggu ini aku bertugas di wad Bunga Raya. Sempat menjeling seorang anak yang begitu mengambil berat akan ibunya. Ibu yang terlantar sakit dibelai dan di cium. Jarang anak-anak yang sanggup mencium ibunya. Lebih-lebih lagi jika anak lelaki. Ibu yang tidak berdaya itu, dipapah dan disuap makan. Begitu kuat jalinan kasih yang terikat. Sayu hati melihat pengorbanan si anak. Mungkin inilah masa yang sesuai baginya untuk membalas segala kasih sayang yang telah di curahkan selama ini. Betul, wang ringgit tidak mampu membayar harga kasih sayang itu. Layanan dan perhatian amat perlu pada ibu yang sudah tidak berdaya. Mungkin didikan yang diberi menjadikan anak itu tahu di mana tempat untuk dia berada. Tidak mungkin ibu dapat dicari ganti.
Di bilik yang sama, lain pula ceritanya. Seorang ibu warga cina terlentang di katil tanpa ada sesiapa di sisinya. Dia mengalami strok yang menyebabkan dia tidak mampu bergerak. Semua makan, pakainya diuruskan oleh jururawat yang menjaga. Sedih melihat keadaannya. Anaknya hanya datang menjenguk tatkala peranannya tidak diperlukan. Hanya menghantar lampin dan menjenguk seketika sebelum berlalu. Hati ibu mana yang tidak sedih melihat perlakuan si anak. Namun, tiada daya untuk bersuara apalagi dalam keadaan sebegitu. Ibu hanya menghantar anak pulang dengan lirikan air mata.
Perbezaan yang dibuat bukan atas dasar kaum. Tidak semua anak-anak melayu begitu dan tidak semua anak-anak Cina begitu. Kebetulan, situasi yang berlaku adalah begitu. Aku pernah melihat anak melayu sendiri mengabaikan ibu dan ayahnya. Aku juga pernah melihat bagaimana baiknya anak Cina memberi ibunya makan dan menggosok gigi si ibu. Nilai-nilai sebegini hanya mampu dilahir dan di zahirkan jika si anak tahu peranan mereka. Orang tua-tua sentiasa berkata, "ibu seorang boleh menjaga 9, 10, atau berbelas anak. Tapi, 9, 10 atau berbelas anak belum tentu mampu menjaga seorang ibu". Setitis air mata ibu yang gugur, maka bergegarlah arys Allah. Begitu hebat martabat seorang ibu.
Bukan tugas mudah untuk menjadi seorang ibu. Hanya yang terpilih mampu menggalas dan mendidik anak untuk mendoakannya kelak. Berapa ramai juga yang tersungkur dengan keranah dan telatah anak-anak. Anak yang lahir tidak menjadi seperti yang di harapkan. Ada yang menjadi bapa ayam, minah rempit dan sebagainya. Proses mendidik itu harus bermula di saat memilih pasangan lagi. Islam telah menggariskan cara yang cukup baik untuk menghasilkan anak-anak yang berkualiti. Mungkin juga si ibu dan ayah sudah mendidik yang terbaik, namun, cubaannya pada anak-anak. Anak yang dibesarkan tidak seperti acuan yang dibentuk. Masalah itu harus berbalik kepada qada' dan qadar Allah yang menetapkan segalanya. Allah ingin menguji di situ setabah mana mereka menghadapi dugaan yang diberi.
Anak yang soleh akan sentiasa mendoakan orang tuanya. Cinta dan rindunya hanya pada ibu bapa selepas Allah dan Rasulnya. Berilah ruang dan kesempatan untuk kedua ibu bapa kita merasa kasih sayang daripada kita. Mungkin terlalu singkat pertemuan di sini, tetapi mohonlah juga perjumpaan di sana. Moga-moga Allah memakbulkan. Amin....
No comments:
Post a Comment