Tuesday, November 2, 2010

Kembara alam

Bismillahirahmanirahim.............

Alhamdulillah, syukur pada Allah yang memberi sedikit waktu untuk diri ini berehat. Betul atau tidak keputusan yang aku buat untuk pulang bercuti di rumah seminggu. Bila berada di rumah, rindu pula pada UIA. Teringatkan kawan2 yang masih bertungkus-lumus berjuang dengan kertas dan pena. Mungkin Allah memberi kelapangan diri ini sebagai hak untuk keluarga. Masyallah, banyak lagi sebenarnya yang tak terbuat. Usrah untuk adik-adik baru berjalan sekali. Moga terus diberi kekuatan. Satu cabaran untuk berusrah dengan mereka yang tidak punya fikrah. Tidak ada pemahaman membuatkan usrah jadi tidak seronok. Namun, aku tidak harus membandingkan usrah di rumah dengan usrah bersama kawan-kawan. Tentu sekali bezanya langit dengan bumi. Waktu di rumah, aku perlu bertugas sebagai 'driver' yang akan mengangkut adik dari sekolah.

Seperti biasa, jam menunjukkan pukul 12.30 tengahari memberi isyarat pada aku untuk menjemput adik dari sekolah. Sementara menunggu mereka, aku melihat gelagat si kecil berlari-lari melintas. Pelajar-pelajar tahun 1 barangkali. Seronok sekali melihat telatah mereka. Dengan beg sekolah yang besar, mereka sedayanya menggalas buku-buku yang ku kira lebih berat daripada mereka. Ada yang berbasikal. berlari-lari menuju ke kedai kecil untuk membeli jajan. Teringat zaman aku di sekolah rendah, seusia mereka, membawa beg yang sama besarnya. Aku sudah diberi tanggungjawab sebagai pengawas seawal usia 9 tahun. Ketika itu, aku sendiri belum memahami erti disiplin dan hidup ini sendiri. Aku agak menonjol waktu itu dalam penglibatan aktiviti-aktiviti kurikulum. Semua pertandingan aku masuk semata-mata mencari sijil. Bagi aku, tidak menang tidak mengapa asalkan aku dapat sijil penyertaan. Sehingga kini, sijil-sijil itu masih kejap dalam simpananku.

Segala-galanya masih di ingatan. Kembara itu telah berlalu. Aku bakal memasuki alam dewasa. Terlalu singkat masa berlalu. Perjalanan hidup ini membawa aku erti kematangan, cabaran dan dugaan dalam hidup ini. Terlalu banyak yang telah aku lalui. Seperti mana juga insan-insan lain, seperti mana yang telah diaturkanNya, begitulah corak hidup manusia. Umur 21 menunjukkan angka yang semakin besar dan aku masih berkira-kira apa yang telah aku buat dalam hidup ini?? Terkadang aku termangu sendiri memutar masa silam. Mengimbau noda dan telatah usia jagung. Seringkali terlintas 'andai' atau 'jika'. Masyallah, sedangkan itu telah tersurat. Pasang surut hidup ini membawa aku pada tapak kejayaan dan kegagalan. Aku masih ingat bagaimana keadaan diri ini jika aku kurang cemerlang, kerana bagiku aku sudah berusaha yang terbaik. Dulu, mungkin kerana tiada kefahaman tentang erti syukur. Terima kasih pada Allah yang telah memberi ilmu itu pada aku. Dia yang meletakkan diri ini dalam persekitaran yang begitu baik. PerancanganNya Maha Hebat. Peraturan hidup ini sudah dirancang dan ditetapkan untuk hamba-hambaNya. Maha Besar Engkau, ya Allah.

Roda masa akan terus berputar. Malam akan berganti siang, bulan akan berganti tahun, manusia akan meningkat umur. Aku juga begitu. Sehingga aku dewasa, tua, dan menuju alam lain. Bagaimana aku tika itu? Masih tak tercapai akalku memikirkannya. Namun, yang paling utama persedian aku ke alam itu untuk berjumpa dengan pemilik dunia. Bersediakah aku?

"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang2 yang beriman dan beramal soleh, berpesan2 dengan kebenaran dan kesabaran". (al Asr: 1-3)

No comments: