Kawan ketawa, mudah dicari, kawan menangis susah dicari. Begitulah gambaran dalam pergaulan manusia. Ketika kita senang, ramai yang datang mendampingi. Ramai yang sudi mengelilingi. Namun, sebaliknya yang berlaku ketika kita kesusahan, mungkin sedang kesempitan hidup, mungkin sedang berduka, menerima ujian yang tidak kita sangka, lantas, semua teman yang mengaku sahabat baik lari bertempiaran. Tidak mahu menanggung beban yang kita tanggung. Tidak mahu merasa keperitan yang kita alami. Apalagi mendengar rintihan daripada kita. Tidak cukup dengan itu, mereka sekadar memandang kosong tanpa mampu menghulurkan pertolongan.
Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Jika ada sekelumit ihsan, itu sudah cukup baik untuk seorang yang bernama ‘teman’. Walau hanya mendengar permasalahan tanpa mampu menyelesaikannya, itu sudah cukup baik bagi yang bernama sahabat. Sekurang-kurangnya, masalah yang digalas sudah ringan. Sudah hilang kerisauan di hati. Namun, kini, masih adakah yang bernama insan yang mampu ihsan pada saudaranya sendiri? Ketawa kita bersama-sama, apakah tidak mampu seorang teman mengesat titisan air mata pada sahabatnya? Tidak berdayakah menghulurkan sekeping tisu untuk menghilangkan rembesan air mata itu? tiadakah rasa kasih sayang untuk menyentuh lembut bahu sahabat itu? supaya rawan itu hilang, supaya gelisah itu pudar, supaya keperitan itu berkurang.
Jika tiada yang sudi membantu, jika tiada yang sudi mendengar. Usah risau, Allah ada sebagai peneman. Allah ada untuk mendengar. Allah ada untuk membantu. Dia mampu memberi jalan, Dia mampu member penyelesaian, Dia lebih mengetahui hamba-hambanya kerana Maha MengetahuiNya. Siapa lagi yang layak untuk kita dampingi? Pada siapa lagi untuk kita meminta pertolongan? Hanya padaNya yang Maha Mendengar. Dia pasti memakbulkan kerana Dia Maha Pemberi. Usah risau, usah gusar, Allah sentiasa punya waktu buat kita. Mintalah padaNya, mintalah atas kasih sayangNya.
No comments:
Post a Comment