Thursday, December 3, 2009

Menangkan iman

Sebagai manusia yang beriman tetapi sedang dalam medan tempur melawan hawa nafsu dan syaitan, kita sangat memerlukan panduan. Agar kita tidak sesat tersasar sehingga menyalahkan Allah.

Iman akan memandu akal. Rasa takut pada Allah akan membantu diri kita berfikir setiap kali melakukan dosa. Biarpun ketika bersendirian, di dalam tempat berkunci, atau ketika tiada siapa melihat dan mengetahui, maka iman akan memandu akal dan hati kita. Iman akan menzahirkan rasa hati diawasi oleh Allah sehingga ke lubuk hati dan merasakan dirinya diperhatikan. Iman akan membunuh kecenderungan untuk bermaksiat dalam hati, dan nafsu akan dilumpuhkan dengan istighfar yang basah di bibir.

Secara fitrah, manusia akan bertanya kepada diri sendiri sebelum melakukan sesuatu. Akal akan menimbangkannya kerana itulah fungsi akal. Akal hanya akan tepat membuat keputusan dalam pilihannya jika terdapat iman yang subur dalam hati. Iman itu menjadi pemandunya.

Malahan, dalam undang-undang jenayah, setiap kesalahan terdapat elemen mensrea. Terdapat niat pada si pelaku untuk melaksanakannya. Lihatlah, betapa banyak jenayah dan maksiat yang besar dan kecil, bermula dengan elemen niat dan perancangan. Penzina, pencuri, pemecah amanah, pembunuh, perogol, dan segala macam lagi jenayah bermula dari gerak akal dan hati. Jika tidak kerana iman yang membenteng akal dan hati kita, maka jenayah atau maksiat itu pasti akan dilakukan.

Dengan iman, dia akan mempertahankan dirinya daripada menuruti kehendak nafsu. Dengan iman, kita akan sentiasa membayangkan peritnya perjalanan perbicaraan di mahsyar nanti. Lemahnya kita di hadapan Tuhan bagi menjawab semua persoalan mengapa perbuatan itu kita lakukan. Allah berfirman dalam surah al-Nazi’at ayat 40-41, mafhumnya: “Adapun orang yang takutkan keadaan semasa dia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalannya), serta ia menahan dirinya daripada menurut hawa nafsu, maka sesungguhnya syurgalah tempat kediamannya.”

Setiap kali berhadapan dengan pilihan, maka menangkanlah iman. Kalahkan kemungkaran dengan tidak menjadikannya sebagai pilihan hidup. Bisikkanlah dalam hati bahawa diri kita beriman kepada Allah. Kita takut akan Allah. Jadikanlah iman sebagai pertimbangan dalam menentukan perkara yang baik dan buruk. Apabila sifir ini sentiasa bermain di hati dan minda, kita akan menjadi Mukmin yang sejahtera dan mendapat petunjuk.

Daripada Abdullah bin Mas’ud bahawa Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud, “sesiapa yang mentaati Allah dan Rasulnya maka dia adalah orang yang mendapat petunjuk, dan sesiapa yang berbuat maksiat kepada Allah dan RasulNya maka dia tidaklah melakukan kemudaratan melainkan kepada dirinya dan dia tidak memudaratkan Allah sedikitpun.” (Ahmad b. Muhammad Syakir, Umdah al-Tafsir min Tafsir Ibn Kathir, jld 1, hlm. 542. Dihukumkan sahih olehnya).

Abi Darda’ menyatakan bahawa Nabi s.a.w. bersabda, maksudnya, “ilmu diperolehi dengan mempelajarinya dan kesabaran diperolehi dengan kesabaran yang bersungguh-sungguh. Sesiapa yang berusaha untuk mencapai kebaikan, maka dia akan memperolehnya dan sesiapa yang berjuang untuk melindunginya dirinya daripada kejahatan, dia akan dilindungi.” (Al-Albani, al-Silsilah al-Sahihah, jld.1, hlm. 670, no.342).

Apabila kita memenangkan iman, di situ nanti kita akan menikmati kemanisannya. Terasa indah dan bahagia kerana memilih iman dan mengekalkan diri kita dalam suasana iman. Kemanisan iman ini dijanjikan oleh Allah dan NabiNya s.a.w. kepada kita. Daripada Anas b. malik menyatakan bahawa nabi s.a.w. bersabda: “Tiga perkara yang terdapat pada dirinya, maka dia merasai kemanisan iman.
- Jika dia mencintai Allah dan Rasulnya lebih daripada yang lain
- Mencintai seseorang hanya kerana Allah
- Benci untuk kembali kepada kekufuran sebagaimana dia takut dicampakkan ke dalam api neraka.

Duhai diri, menangkanlah iman di atas kemungkaran. Moga doa Nabi s.a.w. ini menjadi basahan lidah,

“Allahumma ya musorrifal qulubi sorrif qulubana ila tho’atik”.
Maksudnya, “Wahai Tuhan yang mengendalikan hati, maka juruskan hati kami ini kea rah mentatai-Mu.” (Al-albani, al-Silsilah al-Sahihah, jld 4, hlm 261, no. 1689).

solusi edisi 13

No comments: