Bacaan doa oleh Bui sebelum berangkat
16 Januari 2013
Persiapan terakhir
Aku sibuk menyusun baki-baki terakhir barangan yang harus
dibawa ke Sabah. Menyusun setiap pakaian kemas di dalam beg yang dikongsi
bersama Bada. Sedikit risau. Bimbang muatan kami berlebihan. Seperti yang
dijanji, kami berempat bertemu di ‘musolla cf sis’. Setiap beg perlu ditimbang
supaya muatan tidak berlebihan. Ketika husna tiba, aku kaget melihat bagasi
yang dibawa. Penuh. Dengan menggaru
kepala, aku kembali menyusun baju-bajunya yang perlu untuk dibawa. Separuhnya,
terpaksa dibawa balik ke bilik. Sementara menanti jam 2 pagi untuk bertolak,
aku, Ina, Bada dan Una rancak berborak untuk lebih mengenali masing-masing.
Proses ‘ice-breaking’ sedang berjalan dengan baik. Kami turut ditemani Su,
K.Ira dan Mira yang sudi mengiringi perjalanan kami. Una berkongsi cerita yang
selama dia tinggal di asrama, ibunya yang akan menyusun beg bajunya. Kami
tergelak mendengar celoteh Una. ‘Patut la aku terpaksa kemaskan balik baju-baju
Una’. Suara hati berbisik. ‘Brothers’
sudah siap dengan beg masing-masing dan menanti di luar surau. Borak mereka
ditemani suara-suara cengkerik yang turut berjaga menunggu keberangkatan kami
barangkali.
Pelukan semangat
Sebelum bergerak, Bui yang turut menjadi penumpang kami
malam itu mengetuai bacaan doa. Kemudiannya, Semua barang siap dimasukkan ke
dalam van. Sebelum menaiki van, kami mendapat pelukan dan kata-kata semangat
daripada sahabat-sahabat yang mengiringi. Tika tubuh dirangkul, rembesan panas
mula mengalir di pipi. Sebak memikirkan tanggungawab yang harus dipikul. Sedih
kerana mereka tidak dapat bersama-sama dengan rombongan SOP kali ini. Su dan
K.Ira antara penggerak yang seharusnya turut serta bersama rombongan ini.
Namun, Allah inginkan perancangan yang lain buat mereka. Atas kekangan
masing-masing, semua terpaksa menarik diri di saat-saat terakhir. Lambaian
mereka jauh menghantar kami ke jalanan. Masing-masing membisu melayan lamunan.
Hanya deruan enjin yang kedengaran saat itu. Fikiran menerawang teringatkan
Syuk. Seperti Su dan K.ira, Syuk terpaksa batalkan niat untuk ke Sabah. Baru
petang tadi, dia mendapat khabar opahnya tenat. Hati mana yang tak keruan saat
semuanya sudah dirancang, namun terpaksa menarik diri di saat terakhir. Bagi
aku, itu adalah pengorbanan yang besar yang perlu dilakukan. ‘Allah sedang
melihatmu Syuk’. Beban di bahu makin
berat pada aku dan Ina. Kami adalah penggerak awal SOP yang perlu membawa
adik-adik ke Sabah. Walaupun tugas ketua diserahkan pada Afiq, aku dan Ina
masih terasa bebananya kerana kami
sendiri tidak dapat menjangka apa yang akan berlaku di sana. Hati terdetik, apa
lagi rencana Tuhan untuk menghantar aku ke Sabah, di saat sahabat-sahabat yang
lain tidak mampu untuk turut serta dalam ekspedisi kali ini.
Sempat lelap sementara menunggu a.Rizal
Penantian yang panjang
Kami tiba di LCCT pada jam 5.30 pagi. Penerbangan ke Kota
Kinabalu adalah pada pukul 10.40 pagi. Ketika matahari menjenguk, masing-masing
berkeliaran mencari makanan. Perut mula berbunyi minta diisi. Harga makanan
yang mahal memaksa kami mengalas perut dengan roti dan jem yang dibawa. Asma’
tiba ketika kami sibuk menimbang bagasi. Asma’ daripada UIA Gombak turut
bersama kami untuk menyampaikan sumbangan daripada pihak tertentu. Amanat
daripada si penderma menuntut Asma’ untuk turut bersama dalam rombongan kami. Penerbangan
ke Kota KInabalu memakan masa selama 2 jam setengah telah membawa kami terbang
membelah Laut China Selatan. Setibanya di sana, kami mencari ‘port’ yang sesuai
untuk berkumpul. Jauh di satu sudut, kami duduk menunggu dan berbincang
sementara menanti abang Rizal yang akan tiba jam 8.40 malam. Tempat itu menjadi
‘ kubu’ kami bak kata Iddin, melihatkan kedudukannya yang stategik dan bebas
daripada lalu lintas. Aku dan Ina kongsikan pengalaman kami sewaktu SOP I
supaya adik-adik mendapat sedikit gambaran tentang program kali ini. Baki waktu
yang ada, kami bincangkan modul untuk program yang akan berlansung pada hujung
minggu ini. Ketika abang Rizal tiba, van sekolah sudah menunggu kami. Kami lansung bergerak ke
Ranau menuju ke Sekolah Menengah Agama Ranau (SEMEKAR). Jalan raya yang berliku menyukarkan kami
untuk lelap walaupun penat. Setelah menempuh perjalanan selama 2 jam, kami tiba
di SEMEKAR. Cuacanya yang dingin menyambut ketibaan kami. Lantas, kami dibawa
ke bilik tetamu untuk penginapan kami selama di Sabah.
Bersama Puan Pengetua SEMEKAR
17 Januari 2013
Bertemu pihak pentadbir
Pagi kami ditemani dingin yang menggigit. Airnya sahaja
sudah cukup membuatkan kami menggeletar. Waktunya yang satu jam awal memaksa
kami bangun lebih awal untuk solat subuh. Usai bersarapan, kami terus bertemu
ketua warden, Encik Hisam. Ditemani cg. Jumirah selaku guru kaunselor dan cg.
Nurul Asma, kami bincangkan tentatif dan perancangan kami sepanjang di Sabah.
Maklumat mengenai program diterang dengan lebih lanjut dan terperinci. Jika
sebelum ini, penyampaian maklumat seakan tidak berkesan kerana kami hanya
berhubung melalui telefon. Maklumat yang diterima juga agak terbatas. Selesai
sesi perbincangan, kami bersua muka dengan puan pengetua. Beliau seperti sebelumnya,
banyak memberikan nasihat buat kami. Beliau sendiri berkira-kira mengapa kami
mengambil keputusan untuk membuat program kepada pelajar-pelajar lepasan SPM
dan STPM. Jika diikutkan, pihak sekolah tidak mendapat sebarang manfaat daripada program tersebut. Namun, pegangan
iman itu menumbuhkan sangka baik. Alhamdulillah, ustazah nampak apa yang ingin
kami bawa. Bagi aku, kami membawa misi besar ke Sabah. Seboleh-bolehnya, kami
ingin tubuhkan ‘faciteam junior’ di Sabah. Itu antara yang dirancang. Mungkin,
Allah punya lakaran lain.
Tugas bertambah
Petangnya, kami berangkat ke Rumah Putera Harapan (RPH).
Bertemu adik-adik yang sudah setahun kami tinggalkan. Penghuninya masih sama.
Cuma, beranjak usia. Tingkah laku juga masih tidak berubah. Mereka inginkan
perhatian daripada pengunjung yang hadir. Adik-adik tahun 6 sibuk belajar
memandangkan tahun ini mereka akan menempuh peperiksaan UPSR. En. Sabri selaku
penjaga rumah RPH dan wakil ABIM sudah menyusun perancangan yang banyak buat
kami. Kami menyusun jadual dan mengisi aktiviti harian kami sepanjang di Sabah.
Jadual kami penuh tiba-tiba. Masa kami terisi sepenuhnya. Kami akan melawat
kampung selama 2 hari, mengadakan bengkel pengurusan dan menyambut sambutan
maulidur rasul. Sudah pasti SOP II punya kelainan berbanding SOP I. Masing-masing
berdebar menunggu detik waktu itu. Malamnya, kami pulang ke SEMEKAR membawa
tugasan yang pelbagai untuk dibahagi-bahagikan. Setiap orang punya peranan yang
berbeza untuk melintasi 10 hari di Sabah. Namun, kami fokuskan dulu pada
program TOF dan kepimpinan yang akan bermula esok. 2 program akan dilaksanakan
serentak di tempat yang berbeza, fokus yang berbeza dan objektif yang berbeza.
Kami mohon doa semoga dipermudahkan segalanya.
18 Januari 2013
Program bermula
Kami duduk membincangkan persiapan terakhir program. Afiq
sebagai ‘head faci’ Training of Facilitator (TOF) dan Hazwan mengetui program Kepimpinan.
Aku dan abang Rizal membantu Afiq dan yang lain bersama-sama Hazwan. Apa yang
menarik ketika program fasi di Sabah? Bilangan fasi yang sedikit untuk
menggerakkan program yang ada. Setiap fasi akan digunakan semaksimum mungkin
untuk membantu program berjalan. Bilangan fasi tidak penting asal sahaja kami
mampu memberikan ‘input’ yang terbaik untuk adik-adik. Bahkan, ketika di SOP I
tiga program berjalan serentak di bawah kelolaan 7 orang fasi. Perkara itu
tidak mustahil untuk dilakukan. Alhamdulillah, kami berjaya menggerakkannya.
Untuk program kali ini, kami mengharapkan kejayaan yang sama.
Taaruf,’ ice-breaking’ dan ‘mind-setting’
Adik-adik lepasan SEMEKAR mula mendaftar pada jam 11 pagi.
Aku, Afiq dan abang Rizal menyambut ketibaan mereka. Dianggarkan seramai 20
orang akan mengikuti program TOF dan majoriti daripadanya adalah lepasan tingkatan
5. Modul bermula dengan aktiviti taaruf, ‘ice-breaking’ dan ‘mind-setting’. Aku
kira kami berjaya memecahkan tembok antara peserta dan fasi. Tinggal sahaja,
ada beberapa peserta yang perlu kami dekati lagi. Hari pertama program berlalu
dengan ‘post-mortem’ kami di malam hari ditemani minum malam di dewan makan.
19 Januari 2013
Kejutan luar biasa
Pagi itu, ada juga yang terlajak di katil. Mungkin, beza
waktu yang berlainan memerlukan fasi-fasi mengambil masa untuk menyesuaikan
diri dengan keadaan di Sabah. Bayangkan, pukul 8 pagi di sana sebenarnya sudah
jam 9 di semenanjung. Akibatnya, aku menjadi bidan terjun untuk memulakan
program TOF.
Sesi 'Training of Facilitator'
Pengisian berjalan seperti biasa. Fokus kami untuk TOF hanya
satu, supaya adik-adik mampu balik ke SEMEKAR dan pada masa yang sama bergiat
aktif di universiti masing-masing. Konsep hamba dan khalifah yang dibawa
diharapkan mampu mencetuskan kesedaran dalam diri adik-adik. Kami mahu mereka
sedar, mereka punya peranan yang besar untuk mengerakkan dakwah di Ranau. Kami
mahu adik-adik menjadi pencentus di SEMEKAR. Kami mahu adik-adik membawa konsep
fasi dalam menggerakkan tanggungjawab
sebagai seorang khalifah. Pengenalan tentang fasi, etika dan ciri-ciri mengisi
waktu pagi kami. Namun begitu, sesi petang itu bertukar wajah. Maklumat yang
kami dapat daripada adik-adik amat mengejutkan. Maklum balas daripada adik-adik
hasil soalan yang dilontar oleh Afiq ketika program mengkagetkan kami. Rupa-rupanya
mereka pernah mengikuti program fasi. Mereka pernah menjadi fasi. Bahkan, salah
seorang peserta pernah menjadi ‘head fasi’. Apa reaksi yang kami boleh berikan
ketika itu? Rasa ditampar. Modul kami berkisar tentang pengenalan fasi.
Sedangkan adik-adik sudah melepasi tahap jangkauan kami. Mereka pernah
mengikuti program dan menjadi fasi. Pendekatan yang seharusnya adalah mengenai
kemahiran seorang fasi dan pendedahan modul. Kami terduduk diam. Afiq pantas
meninggalkan adik-adik tugasan supaya mereka boleh berbincang sesama mereka
sementara kami berkumpul untuk menyelesaikan info terbaru yang kami terima.
Masing-masing merasa percikan keringat di dahi. Fokus kami
bertukar. Modul FST 2 diganti dengan modul yang sedia ada. Kali ini, abang
Rizal mengambil alih. Adik-adik didedahkan dengan ‘flow’ modul. Adik-adik juga
ditekankan tentang perjalanan program. Selain itu, adik-adik diingatkan untuk
merasionalkan setiap permainan yang dimodulkan. Walaupun pengisian petang itu
sedikit berat, aku yakin itulah yang dicari oleh adik-adik.
Luahan hati
Malamnya, kami membuat penilaian terhadap adik-adik.
Adik-adik diminta untuk menyusun pergerakan perjalanan program. Satu kumpulan
mendapat program kepimpinan manakala satu kumpulan lagi perlu menyelesaikan
program motivasi. Penerangan demi penerangan diberikan supaya adik-adik betul-betul
memahami pengisian yang diberi. Sebelum peserta dilepaskan, Afiq meminta komen
daripada adik-adik supaya apa yang kami berikan bertepatan dengan apa yang
mereka perlukan. Seorang peserta bangun. Kami agak terperanjat. “Inilah yang
saya cari sebenarnya! Semalam, apa yang kakak dan abang-abang berikan sudah
kami dapat sebelum ini. Saya merasakan program ini sama sahaja dengan
program-program kami sebelum ini. Tiada beza. Tapi, apabila tengahari tadi
abang Afiq tanyakan pada kami perihal fasi dan sebagainya, baru kakak dan
abang-abang tahu perkara sebenar. Abang Afiq pun nampak terkejut. Terima kasih
pada abang-abang dan kakak kerana telah berikan yang terbaik buat kami. Inilah
yang kami perlukan selama ini”. Lebih kurang begitulah antara luahan yang
dilontarkan. Jantung kami bagai disentak. Perasaan aku mula bercampur baur.
Terharu dan gembira. Selama program berjalan, adik itu antara yang paling malu
dan susah untuk berkata-kata. Rupa-rupanya, diam-diam dia ubi berisi. Menjadi
‘observer’ yang baik. Menilai setiap butir-butir kata kami. Dalam diam, dia
memendam suatu perasaan yang tidak mampu dibaca oleh kami. Alhamdulillah, kami
merasakan inilah kemuncaknya program ini. Kami berjalan pulang malam itu dengan
rasa puas.
20 Januari 2013
POA
Hari ini adalah hari terakhir program. Adik-adik perlu
merencanakan tindakan mereka selepas ini. ‘Plan of Action’ atau POA akan
menjadi hidangan terakhir adik-adik. Kami biarkan adik-adik merancang pelan mereka
sendiri. Adik-adik mula menyusun program yang bakal mereka laksanakan. Masing-masing
nampak tekun membincangkan perjalanan program yang akan dijalankan. Kami
memerhati dari jauh gelagat adik-adik. Membiarkan mereka memandu sendiri
bahtera yang dibina dengan dikepalai oleh seorang nakhoda. Tidak perlu untuk
kami mengarah. Hanya sesekali kami membetulkan layar tika bahtera mula
melencong ke arah lain.
Mereka istimewa
Masa terasa pantas sekali. Program TOF akan melabuhkan
tirainya. Kami berkumpul buat kali terakhir. Harapan terakhir daripada
fasi-fasi diharapkan mampu menjadi pegangan adik-adik. Bagi aku, mereka adalah
yang terpilih. Mereka berbeza daripada adik-adik di Semenanjung. Di tahap ini,
mereka sudah mampu berfikir mengenai ummat. Seorang adik tika ditanya bagaimana
mula-mula tercetus untuk membuat program, jawabnya, “ketika habis sekolah, saya
merasa bosan. Lalu, difikirkan alangkah baik jika mampu membuat program”.
Remaja yang hebat. Rasa bosan diganti untuk memajukan ummat. Jauhnya kita
berbanding dia. Mungkin waktu bosan kita diisi dengan bermain ‘games’, tidur
atau sebagainya. Dengan kudrat yang ada, semuanya digerakkan sendiri dengan
bantuan sahabat-sahabat yang lain. Daripada membuat kertas kerja, mencari
tempat dan sasaran hinggakan mencari dana, semuanya dilakukan sendiri. Itu
kekuatan yang mereka ada. Jika di tingkatan 4 mereka sudah mampu berfikir
sejauh itu, dewasa mereka tentu lebih hebat lagi. Kami fasi-fasi sendiri secara
jujurnya cemburu dengan adik-adik. Mereka mendapat kesedaran di awal usia dan
memanfaatkan masa yang ada sebaiknya. Aku melihat Ranau bakal berubah corak.
Generasi yang akan memimpin sedang tumbuh mekar. Hanya menunggu waktu dan
musimnya untuk dipetik. Kepulangan adik-adik membawa misi besar untuk
dilaksanakan. Doaku, agar mereka tetap dan kuat di jalan ini.