Sunday, December 23, 2012

Pejuang: Apa kekuatanmu?

Bismillahirahmanirahim.......

Buat kader dakwah, juga diri ini yang mengaku sebagai kader, warkah ini peringatan buatmu dan aku supaya tiap kata-kata dan titipan tidak hanya berlegar dalam angin lalu. 

Apa yang kita cari dalam dakwah? Ukhwah, aktiviti untuk mengisi masa lapang, tarbiyyah atau suka-suka? Tanpa matlamat, kita sebenarnya menuju jalan futur. Keberadaan kita di dalam jemaah harus jelas supaya dapatan sampingan tidak memutuskan kita dalam jalan dakwah bila ianya hilang. Ukhwah, tarbiyyah dan sebagainya hanyalah sisi-sisi kecil hasil ijtima' kita di dalam gerakan. Jika kader punya visi yang jelas, walau cabaran apa pun yang datang, dia akan mampu bertahan. Kerana itu, persoalan tentang kehadiran Islam juga boleh diangkat. Untuk apa Islam datang?. Allah tidak mendatangkan Islam hanya untuk mengisi kekosongan. "Tidaklah Islam hadir melainkan dengan satu tujuan yakni merealisasikan makna 'al-ibadah' dalam kehidupan manusia". Manusia menjadi agennya untuk merencanakan tujuan tersebut. Melalui ubudiyyah barulah konsep ini sempurna. (Sayyid Qutb, 1995).

Jika dilihat kembali, Islam telah bertapak lama di dunia. Sejak kelahiran nabi Adam yang dicampak ke dunia bersama Hawa, proses pengislahan manusia giat berlaku. Tujuannya satu, supaya proses perhambaan kepada Allah berlaku dan mereka yang mengislahkan manusia itu melakukan ibadah. Konsep ibadah itu luas. Tidak hanya mencakupi sujud dan rukuk kepada Allah. Proses mengajak manusia kepada kebaikan itu juga ibadah, asal sahaja niatnya lillahi Taala. Mudah bukan. Pada bicara kalamnya, memang mudah, namun untuk menjadikan itu ibadah, amal perlukan mujahadah. Amal itu berlaku ketika mana makna itu hadir dalam diri. Seperti yang disebut dalam ilmu tasawwuf, untuk menjadi alim itu, seseorang perlu beramal dengan ilmunya (Ali Hj. Mohamed, 2010). Lebih susah untuk terus kekal pada jalan dakwah. Setiap rintangan yang hadir belum tentu menjadikan kita kuat walaupun ia satu tarbiyyah. Mungkin menjadikan kita jemu. Penat mungkin menjadi penanda aras pertama untuk seseorang keluar dari gerakan. Bagaimana seorang kader itu mengatasi penat dan halangan itu akan menyebabkan dia akan terus kekal dalam jalan ini. 

kekuatan dalaman menjadi faktor penting bagi seorang kader. Kerana itu, hubungan dengan Allah perlu sentiasa kuat. Pergantungan perlu berpusat pada Allah dan hanya Dia tempat mengadu. Gerakan hanyalah wasilah bagi kita sebagai jalan untuk berjuang. Allah tidak memilih kita untuk berjuang di Gaza. Allah tidak memilih kita untuk mengangkat senjata di syria. Allah tidak memilih kita untuk syahid di Arakan. Tetapi, Allah memilih kita untuk kuatkan ummat di Malaysia. Allah tahu upaya kita di mana.

Pesakit kanser: ujian keimanan buat mereka

Bismillahirahmaniarhim....

Melihatkan pesakit-pesakit kanser cukup menginsafkan diri ini yang sihat dan normal. Alhamdulillah atas nikmat kesihatan pinjamanNya. Walaupun tidak banyak prosedur yang boleh dilakukan di klinik onkologi, pemerhatian terhadap pesakit-pesakit membawa aku merenung kurniaan Tuhan. 

Bukan mudah menjalani kehidupan sebagai pesakit kanser. Jika kanser itu masih diperingkat Allah, insyallah masih ada harapan untuk dipulihkan. Mereka akan menjalani rawatan radiotherapi (rawatan pertama untuk kanser setelah didiagnosis), kemoterapi (ubat akan melalui vena untuk membunuh kanser) atau pembedahan (untuk membuang tumor). Di peringkat awal, radioterapi akan diperkenalkan kepada pesakit. Prosedurnya mudah dan tidak menyakitkan. Seperti melakukan x-ray, sinaran radioaktif akan melemahkan tumor. Jika tidak berjaya, pesakit akan beralih kepada rawatan kemoterapi. Di peringkat inilah kekuatan pesakit akan diuji. Darah pesakit perlu diambil untuk melihat kandungan sel-sel darah. Samada berada di paras normal atau tidak. Pesakit perlu bebas daripada demam supaya kemoterapi dapat dijalankan. kadang kala, pesakit terpaksa pulang tanpa rawatan atas kondisi yang tidak sesuai untuk kemoterapi. Ubat kemo akan dialirkan melalui vena pesakit atau 'chemo port'(ditanam di bawah 'clavicle') bagi pesakit yang perlu melalui kemo dalam masa yang lama. Pesakit perlu menjalani sekurang-kurangnya 6 fasa kemo (6 cycles).kadang kala vena pesakit akan 'collapse' di sebabkan kemo.

Ubat kemo akan menyebabkan pesakit berasa pening (nausea) dan muntah-muntah (vomiting). Selain itu, pesakit akan mengalami pecah mulut (mucusitis) dan sebagainya. Banyak kesakitan yang harus dilalui sepanjang rawatan diberikan. Sehinggakan, pesakit-pesakit ini sudah menjadi kebal dan lali dengan ubat-ubat. Bagi pesakit end stage kanser, harapan untuk sembuh agak tipis. Rawatan yang dibekalkan hanya untuk mengurangkan kesakitan yang dialami oleh pesakit. Bagi mereka, rasa untuk hidup sudah hilang. Di tahap ini, hanya keimanan yang tinggi diperlukan untuk meneutralkan perasaan keraguan pada Tuhan. Bisikan-bisikan syaitan mampu hadir bila-bila masa untuk menyesatkan dan mempalingkan aqidah seseorang pesakit kanser. Apatah lagi yang baru berumur 20-an atau 30-an. Ketika sahabat-sahabat yang lain maju dalam karier dan kehidupan, mereka harus menderita dan menunggu masa untuk ajal. Mungkin golongan ini sentiasa menanti keajaiban untuk meneruskan kehidupan walaupun mereka terpaksa menelan pahit hakikat sebenarnya. 

Iman yang tinggi akan mengetuk akal supaya sedar hakikat kehidupan bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati. Tidak akan lambat sekejap mahupun lewat sesaat. Saat itu pasti tiba pada yang muda atau yang tua. Tinggal sahaja persedian kita untuk menghadapinya. Sebagai pesakit kanser yang menerima palliative care, mereka punya waktu untuk bersedia sebelum menemui Tuhan. Jika kanser di tahap 4, pesakit mungkin sudah tidak punya harapan untuk sembuh. Tempoh waktu untuk hidup yang dilafazkan oleh doktor bukan menjadi tanda akhir bagi pesakit kanser tetapi tempoh waktu yang diberi oleh Tuhan untuk persedian menghadapi maut. Betul, bukan doktor yang menentukan ajal, maut kita, tetapi sekurang-kurangnya jangka waktu itu mampu memberi kita sebenar-benar waktu untuk beribadah. Mungkin selama kehidupan kita, kita banyak lalai dan leka, mungkin amalan kita terlalu sedikit. Siapa tahu, ruang waktu semaksima itu adalah untuk kifarah kita dan meningkatkan darjat kita sebagai hamba. 

Mungkin mudah bagi saya yang mencoret dan memerhati berbanding mereka yang terpaksa memikul. Ibarat mereka menggendong batu yang besar di bahu. Berat mata memnadang, berat lagi bahu yang memikulnya. Namun, itulah antara liku-liku hidup yang perlu ditelan oleh kita, sang musafir. Dunia ibarat hentian untuk kita bercucuk tanam dan perjalanan kita masih jauh untuk menuju Tuhan, bukan di sini tapi di akhirat sana. Mohon doa buat pesakit-pesakit kanser moga Allah beri kekuatan dan ketabahan buat mereka sekeluarga. Mereka bukan sahaja terpaksa berdepan dengan kesakitan, bahkan juga ujian wang ringgit untuk membiayai rawatan kanser yang kosnya hampir menelan ratusan untuk sekali rawatan. Bahkan, mereka ibarat menelan racun ke badan sendiri, di mana ubat kemo hanya membantu untuk mengawal kanser dari merebak. Realitinya, menjadi salah seorang daripada mereka adalah ujian keimanan daripada Allah. Wallahualam...