Bismillahirahmanirahim..............
Semoga Allah menaungi hamba-hambaNya.
Alhamdullillah, syukur padaNya yang masih meminjamkan nyawa kepada kita. Hari ini kita masih mampu bangun, berzikir dan bekerja. Sudah masuk 15 Syaban. Hanya tinggal 15 hari lagi sebelum Ramadhan tiba. Allhumma bariklana fi Rejab wa Syaban, wabalighna fi Ramadhan. Semoga Allah sampaikan kita pada RamadhanNya. Amin ya Rabb..
Bulan Ramadhan sentiasa membawa manusia kembali kepada fitrah. Manusia sentiasa berjaga-jaga untuk melakukan kesalahan dan kemaksiatan. Bimbang ibadat puasa tidak akan diterima. Termasuklah mereka yang sering melakukan dosa, kehadiran Ramadhan seakan turut sama dirai. Minda mereka sedar mereka berada pada bulan yang penuh barakah dan mulia. Justeru, bulan puasa menjadi bulan kebaikan dan bulan amal. Dalam bulan ini dapat dilihat ramai yang bermurah hati menjamu anak-anak yatim, memberi sumbangan pada ibu-ibu tunggal, orang miskin, orang kurang upaya dan sebagainya. Melimpah ruah rezeki untuk mereka yang memerlukan. Alhamdullillah, barakah bulan Ramadhan. Semua berlumba-lumba melakukan kebaikan.
Namun, kita tidak mengharapkan Ramadhan menjadi pemula dan pengakhir ibadah kebaikan. Ia harus menjadi bulan 'pencentus' untuk manusia melakukan kebaikan. Ibadah ini harus berterusan di bulan-bulan lain juga. Ramadhan sekadar menjadi bulan yang memulai supaya kebaikan itu turut disebarkan di bulan-bulan lain. Kerana itu, sering kali disebut madrasah Ramadhan kerana di bulan ini kita dilatih untuk mengekang nafsu dan memperbanyakkan kebaikan. Ramadhan dianggap sekolah kerana di bulan ini kita dididik dan diasuh untuk kembali kepada fitrah. Selain itu, ia sebagai persedian kita untuk menghadapi bulan-bulan yang mendatang.
"Bekerjalah seakan-akan kamu akan hidup 1000 tahun lagi dan beribadahlah seakan-akan kamu akan mati besok hari"