Friday, May 25, 2012

Saham akhirat

Waktu remaja adalah waktu yang paling mencabar dalam diri muda mudi. Detik ini menjadi penentu untuk membawa hala tuju kehidupan mereka. Ia mampu menjadi 'turning point' ke arah yang baik atau sebaliknya. Tanpa penagawasan atau 'guidance', mereka mudah terjerumus dengan idol-idol yang menyesatkan. Ini adalah waktu genting atau 'peak time' dalam mereka mencari identiti diri. Ke mana haluan yang harus dituju. Dalam usia yang mentah, sudah pasti mereka harus berperang untuk mengikut arah mana yang selesa bagi mereka. Teknik 'mencuba' menjadi resepi dalam menentukan setiap perbuatan mereka. Bukan mudah menjadi remaja yang kuat dalam dunia hari ini. Apatah lagi tanpa paksi agama yang kuat. Remaja yang baru ingin mengenali dunia mudah hanyut dalam arus kemodenan. Pengaruh rakan sebaya menjadi daya penarik utama dalam membawa mereka untuk mengenali maksud keseronokkan. 

Kekuatan yang kuat datangnya daripada asas agama yang kukuh. Benih yang ditanam dengan baik mampu menghasilkan buah yang manis dan elok. Pokok yang kuat harus mempunyai akar dan dahan yang besar. Akar tunjang mampu menjalar terus ke dalam tanah untuk berfungsi mencari air. Manakala batang bertindak kukuh menahan gegaran angin kencang yang bertiup. Begitulah perumpamaannya kehidupan manusia. Aqidah harus menjadi asas utama dalam kehidupan manusia agar tidak terpesong dari jalan yang benar. Ibadah yang soheh adalah seperti batang pokok yang membantu menegakkan pokok untuk terus berdiri. Buahnya adalah akhlak yang tumbuh daripada baja yang disemai. Jika baja yang digunakan bermutu, maka akan lahirlah permata-permata agama yang berkualiti. Jika sebaliknya, buah akan rosak dan gugur dengan mudah. 

Memahami makna kehidupan dan matlamat hidup menjadi kunci untuk melihat generasi yang berguna. Berguna dalam erti kata menjadi makna pada orang lain. Ia bukan sesuatu yang mudah untuk mencapai tahap faham untuk apa tujuan penciptaan. Sama seperti mencapai makna yaqin dalam erti bertuhan. Perlu ada yang menjentik supaya kesedaran itu sampai dan tidak hanya di awan-awangan. Semuanya memerlukan pengorbanan yang bukan sedikit, tetapi harus dilabur tanpa menunggu pulangan modal yang lumayan. Itulah tugas yang harus dipikul bagi yang bernama dai'e. Mereka yang sedar akan tanggungjawab ini harus bersedia untuk muflis kerana pulangannya tidak akan dilihat pada hari ini. Mungkin bertahun-tahun masa yang perlu diperuntukkan untuk mendapatkan kembali hasil yang telah dilaburkan. Sesungguhnya hidayah itu milik Allah. Kita tiada kuasa untuk membolak balikkan hati manusia, apatah lagi mengubah pegangan yang telah dianuti oleh anak bangsa kini. Ia bukan tugas yang mudah, namun, itulah harga yang harus dibayar oleh pendakwah sekalian. Percayalah pada janji Allah untuk melihat ganjaran kita bukan di sini, tetapi di akhirat sana. Penat dan lelah itu sudah pasti kerana syurga itu tidak mudah untuk kita perolehi. 

Kita bukan berjuang dengan pedang, tetapi berjuang dengan kalam dan akhlak.... Wallahualam..


No comments: