Friday, January 27, 2012

Dilema

“Yang mana satu harus aku pilih?”. “Betul ke keputusan ni?”. “Nak pergi ke tak nak?”. Itulah ungkapan yang sering kita luahkan saat berhadapan dengan pilihan. Sepanjang kehidupan ini, kita harus memilih di antara dua atau tiga atau banyak pilihan. Berapa pun pilihan yang ada, sejauh mana kita yakin dalam keputusan yang diletakkan. Apa priority kita dalam memilih? Semuanya harus bergantung pada Allah yang satu. Saat kita diletakkan di persimpangan, bayangan yang utama atau detikan pertama yang harus ada ialah nama Ya Sami’, Ya Basir dalam hati kita. Allah Yang Maha Melihat dan Maha Mendengar. Kerana hanya Dia yang tahu pilihan terbaik buat kita. Keputusan yang betul dan tepat tentulah datang daripadaNya. Oleh sebab itu, ketika diri kita merasakan keseorangan dalam membuat keputusan, serulah namaNya. Semoga bicara hati kita tajam memilih yang terbaik untuk melakukan apa-apa keputusan dalam hidup ini. Walau pun hanya sekecil-kecil perkara.

Dalam hal ini, kita mampu melihat sejauh mana kebergantungan dan keyakinan kita pada Allah azza wajala. Yakin itu menunjukkan kita ini mu’min. Yakin itu membenarkan kita ini hamba yang beriman. Tahap keyakinan bukan ditentukan atas dasar lidah semata namun harus membenarkannya di hati. Sebab itu, tashdid kita harus senantiasa diperbaharui. Dikhuatiri ada masa-masa kita tersilap atau terleka dalam meletakkan diri kita sebagai seorang hamba. Dibimbangi ada idol-idol lain yang meresapi dalam diri kita. Makanya, solat itu adalah jalan terbaik untuk memperbaharui syahadah kita. Perlulah kita mengambil peluang yang ada untuk meyakini keimanan kita. Bukan mudah untuk menjadi mukmin namun tidak susah untuk menjadi muslim.

Bicara soal di persimpangan, kita mungkin terkadang sedikit melencong dengan keputusan yang dipilih. Lantas di saat itu, adakah kita merasakan keputusan Allah itu salah? Jangan mudah cepat bersu’ul zon. Apa lagi pada pencipta kita. Kerana firmanNya, “Aku seperti sangkaan hamba-hambaku”. Carilah hikmah dalam setiap perkara. Mungkin salah langkah kita atas nama ujianNya. Dia sengaja meletakkan kita dalam persimpangan yang getir supaya kita merasai nikmat mencari pencipta. Jika jalannya hanya lurus, mana mungkin kita dikatakan orang beriman. Sedangkan kita belum diuji. Oleh sebab itu, untuk mencapai darjat tertinggi di sisi Allah, wali-walinya memilih jalan yang berliku. Jalan yang bersimpang siur. Kerana setiap halangan itu punya mata dan ‘check-point’ yang berbeza. Pilihlah ‘puzzle’ hidup yang kompleks agar kita merasa jatuh bangunnya hidup ini. Itulah yang akan mematangkan kita dalam setiap pilihan yang ada. Namun, meletakkan Allah sebagai yang hak itulah sebaik-baik perkara.

Justeru, Allah gemar meletak kita dalam persimpangan supaya istikharah kita sentiasa ada untukNya. Sejauh mana tahap yaqin kita kepada Allah. Sejauh mana kita mencari Allah dalam setiap perkara. Sedangkan zikir itulah yang medekatkan kita kepada Allah. Lihatlah Allah sebahagian daripada juzuk kita kerana untuk mengenali Allah, kita harus mengenali diri sendiri. Wallahualam…

Derita ibu

Berpraktikal di wad bersalin membuka mata aku sebagai seorang anak. Baru kini rasanya menyedari betapa besar jasa dan pengorbanan ibu. Betapa kuatnya dia dan betapa banyak derita yang telah ditanggung demi aku seorang. Allahuakbar. Inikan pula yang punya anak ramai. Si ibu sanggup menanggung berjuta derita demi seorang anak, namun belum tentu kita anak-anaknya ini sanggup derita demi seorang ibu.

Saat pertama derita datang, bila mana mengandungkan kita. Tika roh ditiup, kita memulakan kembara di alam rahim. Kehadiran benda asing di dalam badan mengganggu proses tubuh si ibu. Sesetengahnya terpaksa berhadapan dengan “morning sickness”, simptom untuk ibu-ibu mengandung. Setiap ibu punya tahap yang berbeza samada biasa, sederhana atau teruk. Bagi yang teruk, ‘hyperemesis gravidarum’ sememangnya menguji mereka sehingga perasan loya dan pening merencatkan seluruh hidup si ibu. Kita terus seronok berenang-renang di rahim ibu menjadi ‘sleepng beauty’ sambil sel-sel terus bergerak aktif bertumbuh dan membesar. Akhirnya, 9 bulan 10 hari kita menunggu detik untuk melihat dunia ini.

Waktu bersabung nyawa bermula. Si ibu akan merasakan kesakitan yang teramat di bahagian rahim. Pengecutan dan pengenduran otot rahim terjadi secara beritma. Apabila air ketuban pecah, itulah masa yang di tunggu-tunggu untuk bayi keluar. 12 jam waktu kesakitan yang harus dirasai oleh seorang ibu. Masa yang paling getir adalah ketika kepala bayi perlu melepasi rahim ibu. Pada waktu ini, nyawa ibu dipertaruhkan. Komplikasi bakal berlaku bila-bila masa jika proses kelahiran tidak berlaku dalam masa satu jam. Namun, kuasa Allah mampu mencelikkan yang buta. Saiz rahim yang kecil mampu dibolosi oleh kepala kita. lahirlah kita di atas dunia dengan amanah yang sudah terbeban di bahu.

Ibu terus menyusui kita. Dalam keadaan yang masih sakit dan dijahit, ibu masih mendahulukan kita. bukan mudah untuk menyusukan anak. Teknik yang salah akan memberi kesan kepada si ibu. Ketika berpantang, ibu perlu menjaga setiap makan minumnya bagi memastikan kita mendapat nutrisi yang cukup dan seimbang. Susu ibu akan membawa zat yang dimakan oleh si ibu untuk menampung khasiat si anak. Semua zat-zat ibu dipindahkan kepada si anak. kita akan terus membesar. Ibu terpaksa melayan tangisan dan rengekkan kita setiap masa. Ibu bersekang mata menjaga kita di kala malamnya kita menangis. Ibu mendodoikan kita tika kita bangun tidak mengira waktu. Tika itu, tiada sekelumit keluh dan kesal di hati ibu. Malah, perasaan sayang itu semakin bercambah hari demi hari.

Ibu terus membanting tulang menyekolahkan kita. Ibu sanggup menjaga makan pakai kita supaya kehidupan kita lengkap. Ibu gembira melihat kita senang walaupun dia susah. Walau dia terpaksa mengikat perut. Sehinggalah kita dewasa. Kita masih lagi menumpang kesenangan ibu. Lalu, saat kita memulakan langkah sebagai ibu baru kita mengerti deritanya seorang ibu. Apa lagi prospek yang kita ada untuk membalas segungung jasa ibu itu???