Tuesday, December 6, 2011

sekadar perkongsian ^_^

Bismillahirahmanirahim..........

Alhamdulillah wal hamdulillah. Apa lagi kalimah yang mampu dilontarkan sebagai seorang hamba yang segalanya mendapat pinjaman dan berhutang pada Tuhannya. Moga masa-masa yang berbaki diterima sebagai ibadah untuk menebus diri di alam sana. Begitu lama blog ini ditinggalkan atas kekangan masa dan tanggungjawab yang tidak mengizinkan. Banyak yang ingin dicoretkan, namun tidak tahu di mana harus bermula. Mungkin catatan ini sekadar refleksi diri untuk hari-hari yang telah berlalu.

Aku sudah mula berpraktikal. Kali ini di Kemaman. Walaupun keinginan hati ingin ke HUSM, tanggungjawab di kampus aku dahulukan. Hospital Kemaman hanya mampu menampung sebilangan kecil pesakit bersesuian dengan saiznya yang kecil. Aku ditempatkan di wad kanak-kanak bersama 6 sahabat yang lain. Alhamdulillah, tidak terlalu tertekan seperti di HOSHAH. Jururawat sama-sama membantu dalam bekerja. Seminggu berpeluang melihat wajah-wajah yang belum dicalit dosa. Moga si kecil itu terus tabah menghadapi ujian kesakitan daripada PenciptaNya.

Hari kedua, aku tergamam melihat seorang bayi di dalam 'incubator', mengalami masalah genetik. Kesannya, dia mengalami sumbing di bibir (Cleft lips) dan lelangit (cleft palate), pembentukan telinga yang tidak sempurna, jari kaki yang tidak sempurna. Masyallah, hanya itu yang mampu diluahkan. Lantas aku memikirkan bagaimana kehidupannya selepas ini. Mampukah dia membawa diri itu merentas lautan manusia yang sememangnya penuh dengan tomahan. Namun, hanya Dia yang tahu perancangan buat si kecil itu. hari ke 3 aku di sana, si kecil itu pergi buat selamanya. Allah lebih menyayanginya.

Hari terakhir di wad itu, aku sempat menghadiahkan 'health education' kepada seorang pesakit mengenai penyusuan ibu. Kami sempat berbual panjang dan maklumat yang aku perolehi sedikit mengejutkan. Ibu tersebut baru berusia 20 tahun dan itu adalah anak keduanya. Mungkin kerana aku merasakan pendidikan itu penting. Rasa kasihan mula terbit di hati. Mungkin kerana faktor kemiskinan dan kurang kefahaman menyebabkan dia tidak merasakan pelajaran itu satu keperluan dan peluang. Ada nada cemburu dalam kalimatnya. Namun, aku mampu merasakan jauh di sudut hati itu masih ada sekelumit rasa keinginan untuk belajar dan dia ingin jadi seperti kami.

Bersyukur kerana Allah memberi peluang untuk aku melihat keagunganNya dalam diri manusia. Penyakit itu datang daripadaNya dan Dialah sebaik-baik penyembuh. Doktor, jururawat, pysioterapi hanyalah perantara yang dihantar untuk membantu hamba-hambaNya. Semoga sumbangan ini mampu menjadi saham kita di akhirat sana. Wallahualam...