Bismillahirahmanirahim..........
Akhirnya 2010 melabuhkan tirai. 2011 menjelma. Terasa seakan baru semalam menhadapi tahun baru 2010. Masyallah, pantas sungguh masa berlalu. Sekejapnya kehidupan di dunia ini. Semakin bertambah pula usia ini. Semakin menghadapi yaumul qiyamahNya. Semakin juga kita menghampiri liang lahad. Semakin hampir menuju padaNya. Seharusnya pertambahan tahun ini menjadikan kita lebih dewasa dan bersikap matang. Namun, semuanya bergantung pada diri individu tersebut. Mahu menjadi yang terbaik atau sebaliknya. Apabila tiba detik 12 tengah malam, semua sudah memasang azam. Semua sudah pasakkan dalam diri. Untuk mendapat 8A, 12A, membeli kereta baru, menjadi pekerja yang rajin. Itu semua fitrah manusia yang inginkan lebih kesempurnaan dan kejayaan. Tidak salah memasang niat. Kerana niat itu yang akan meluruskan perjalanan kita. Niat yang akan membezakan pergantungan kita.
Namun, cuba renung kembali. Ambil sedikit masa untuk kita bermuhasabah kehidupan di 2010. Adakah sudah cukup untuk kita menjadi hamba yang terbaik. Bagaimana ibadah kita? Akhlak kita? Adakah kita sudah menjadi yang terbaik. Apalagi dalam mengikut perintah Allah dan menjauhi laranganNya. Fitrah insan itu lupa, lalai, sentiasa melakukan dosa. Cuba imbas kembali adakah cukup lafaz ampunan pada Allah? Adakah cukup 365 hari kita dalam redhaNYa? Semuanya harus ditayangkan kembali dalam fikiran kita. Azam tahun ini tidak semestinya dengan perkara-perkara baharu malah boleh mempertingkatkan lagi azam di tahun 2010. Maksudnya, memperbaiki azam yang sedia ada untuk menjadi lebih baik. Azam hanyalah salah satu medium untuk kita mencapai sasaran kita pada tahun tersebut. Orang yang berazam harus ingat bahawa azam yang dilakukan hendaklah sekadar kemampuannya. Jangan terlalu meletakkan azam yang tinggi sehingga sukar dicapai. Boleh untuk kita meletakkan target yang tinggi asalkan kemampuan kita untuk mencapainya juga tinggi.
Azam tidak seharusnya menumpu pada nilai materialistik, ia juga harus berpaksikan tanggungjawab yang harus kita pikul. Koreksi diri kita dalam masyarakat. Adakah kita sudah menyumbang dalam ummat ini? Adakah kita sudah menjadi khalifah di muka bumi ini? Persoalan-persoalan ini harus sentiasa ditimbulkan dalam diri supaya kita sentiasa mengingati tugas kita sebagai seorang dai'e. Jikalau kita masih belum melaksanakannya, ayuh bermula daripada sekarang. Kerana siapa tahu, esok bukan hari kita. Mendaki bukit itu payah, namun nikmatnya akan terasa apabila tiba di puncaknya. Waktu itu alam ini menjadi saksi bahawa kita adalah ummatan wasatan dalam mentadbir bumi ini.
2011 bakal kita harungi. Persiapkanlah diri, minda dan roh kita untuk menempuh lebih banyak mehnah. Jadilah Muslim yang tabah dan kuat dalam menghadapi liku-liku perjuangan. Kita tidak akan tahu apa yang tersedia di hadapan. Jadikan masa lalu pedoman buat kita dan masa kini realiti kita agar kita tidak hanya hidup dalam angan-angan mat jenin. Melafazkan azam itu mudah, namun, merealisasikan itu payah. Semoga kita sama-sama diberi kekuatan olehNya untuk mencapai target kita. Sentiasalah berdoa dan mengharap pada yang Esa kerana itu kekuatan kita. Jadikan iman itu pilihan kita agar setiap langkah kita tidak tersasar dan lari daripada jalna yang ditetapkannya. Wallahualam.