Pejam , celik, pejam, celik. Satu sem sudah aku lalui. Begitu cepat masa berlalu. Seakan baru semalam aku menjejakkan kaki ke UIA Kuantan. Kembali aku untuk bermuhasabah waktu-waktu yang telah aku lalui. Aku akui, kehidupan di Kuantan menyibukkan aku dengan ‘study’. Satu perkataan yang amat mengerikan. Kerana apa? Kerana kita akan terus menghadap subjek-subjek semata-mata untuk skor dalam peperiksaan. Itulah system pendidikan Negara ini. Bagiku, pemahaman dan praktis sangat penting untuk diaplikasikan dalam kehidupan ini. Bukan sekadar jawapan di atas kertas. Aku masih mengikuti kuliah dan program yang ada. Namun, ia tidak seperti dulu. Masih ada ruang kosong yang belum terisi. Yang belum memuaskan jiwa ini untuk aku terus mencari makna hidup ini.
Terlalu sukar rasanya berjalan tanpa haluan. Tanpa medan yang dapat menghubungkan aku dengan dunia luar. Aku masih cuba mencari dan menanti. Aku terus menanti. Agar ada tangan-tangan yang sudi menghulur, terus memimpin aku berada pada jalan yang benar. Namun, apakan daya, permulaanku berjalan dengan agak perlahan. Aku tidak menyalahkan sesiapa. Mungkin diri ini terlalu mengharap. Lantas, aku sibukkan diri dengan sahabat-sahabat satu kursus yang ku anggap mampu menggantikan kekosongan diri ini. Sedihnya, jiwaku kosong. Aku cuba menyambungkan tali-tali antara kami. Ya, aku dapat rasakan keeratan dalam diri masing-masing. Namun, aku masih belum puas. Tiada lafaz-lafaz semangat, tiada butir-butir nasihat yang selama ini aku tunggu. Kerap kali aku memendam rasa. Kerana sifatku yang berpura-pura. Sedih kerap kali menjengah hati ini. Aku cuba berlagak biasa. Cuba ‘husnul zon’ kerana itu yang aku pelajari. Kuatkah aku???
Kerinduan dan peluang membawa aku ke Gombak. Bertemu saudara jauh. Walau hanya sekejap cukuplah itu untuk aku teruskan kehidupan di bumi Kuantan. Meneruskan sisa-sisa yang masih ada. Diri ini masih sibuk menelaah. Kadang-kadang sempat kuintai papan notis sekiranya ada peluang bagiku untuk menagih secakir ilmu. Dan, masa terus berlalu. Jiwa semakin kering. Perlu sesuatu untuk di isi. Di mana perlu ku cari? Siapa yang harus aku temui? Terus aku berfikir dan bertanya.
Berjayakah aku tanpa jawatan yang disandang? Bolehkah aku capai 3.5 tanpa sibuk dalam persatuan. Pertanyaan yang membebankan. Itu rezeki dari Allah. Usaha, tawakal dan doa menentukan segalanya. Siapa aku untuk mencatur hidup ini. Di akhirnya, aku masih belum menemui jalannya untuk aku teruskan perjuanganku. Gagal aku untuk hidup bersendiri. Aku cuba untuk kuatkan diri walaupun tahu kaki sudah tidak mampu untuk berdiri. Hanya iringan doa yang menemani. Menyuluh aku ketika gelap dan terang. Sehingga habis satu sem aku di pengajian. Apakah sem depan masih ada harapan? Aku mengharapkan permulaan yang terbaik. Sebelum diri ini dipisahkan, akan aku lawan segala yang menghalang. Aku cuba untuk menjadi yang tidak kebelakang. Tidak terlalu jauh untuk aku kejar dan berlari. Supaya aku tidak penat dan mengah dalam hidup ini…..