Thursday, July 5, 2012

Kebaikan bukan hanya di bulan Ramadhan

Bismillahirahmanirahim..............

Semoga Allah menaungi hamba-hambaNya.

Alhamdullillah, syukur padaNya yang masih meminjamkan nyawa kepada kita. Hari ini kita masih mampu bangun, berzikir dan bekerja. Sudah masuk 15 Syaban. Hanya tinggal 15 hari lagi sebelum Ramadhan tiba. Allhumma bariklana fi Rejab wa Syaban, wabalighna fi Ramadhan. Semoga Allah sampaikan kita pada RamadhanNya. Amin ya Rabb.. 

Bulan Ramadhan sentiasa membawa manusia kembali kepada fitrah. Manusia sentiasa berjaga-jaga untuk melakukan kesalahan dan kemaksiatan. Bimbang ibadat puasa tidak akan diterima. Termasuklah mereka yang sering melakukan dosa, kehadiran Ramadhan seakan turut sama dirai. Minda mereka sedar mereka berada pada bulan yang penuh barakah dan mulia. Justeru, bulan puasa menjadi bulan kebaikan dan bulan amal. Dalam bulan ini dapat dilihat ramai yang bermurah hati menjamu anak-anak yatim, memberi sumbangan pada ibu-ibu tunggal, orang miskin, orang kurang upaya dan sebagainya. Melimpah ruah rezeki untuk mereka yang memerlukan. Alhamdullillah, barakah bulan Ramadhan. Semua berlumba-lumba melakukan kebaikan. 

Namun, kita tidak mengharapkan Ramadhan menjadi pemula dan pengakhir ibadah kebaikan. Ia harus menjadi bulan 'pencentus' untuk manusia melakukan kebaikan. Ibadah ini harus berterusan di bulan-bulan lain juga. Ramadhan sekadar menjadi bulan yang memulai supaya kebaikan itu turut disebarkan di bulan-bulan lain. Kerana itu, sering kali disebut madrasah Ramadhan kerana di bulan ini kita dilatih untuk mengekang nafsu dan memperbanyakkan kebaikan. Ramadhan dianggap sekolah kerana di bulan ini kita dididik dan diasuh untuk kembali kepada fitrah. Selain itu, ia sebagai persedian kita untuk menghadapi bulan-bulan yang mendatang.

Harus juga diingat, untuk melakukan kebaikan, tidak perlu tunggunya Ramadhan kerana siapa tahu adakah Ramadhan untuk kita. Sampaikah kita pada Ramadhan tahun ini?. Sebab itu, apabila terlintasnya niat untuk kita melakukan kebaikan, maka bersegeralah mengerjakannya. Berbuat baik itu tidak perlu menunggu waktunya. Sering kita melihat ramai yang memilih waktu-waktu tertentu sahaja untuk berbuat kebaikan sedangkan kita tidak tahu ajal kita bila. Sempatkah kita untuk melakukan amalan tika waktu sekian-sekian. Masa tidak akan menunggu kita untuk menambah catatan di buku amalan, bahkan kitalah yang perlu mecari masa untuk melakukan kebaikan.

"Bekerjalah seakan-akan kamu akan hidup 1000 tahun lagi dan beribadahlah seakan-akan kamu akan mati besok hari"

Sunday, July 1, 2012

Bersama BKA

Bismillahirahmanirahim.......................

Syukur atas pinjaman nikmatNya. Bersyukur kerana Allah memberi kesempatan untuk bersama-sama program Biro Kesihatan Abim (BKA) pada hujung minggu baru-baru ini. Pengalaman yang mahal untuk dicari. Di samping dapat menyambung ukhwah, mengenali sahabat-sahabat daripada universiti lain, aku dapat bersua muka dengan kaum Rohingya. Kaum yang diusir daripada negara sendiri, mereka keluar untuk mencari petempatan namun, ditolak oleh negara-negara lain. Malah, ada yang dibunuh ketika sampai ke pinggiran. Atas dasar aqidah yang sama, Malaysia membuka peluang untuk menerima penduduk Rohingya. Tetapi, kekejaman ke atas Rohingnya masih berlaku. Penduduk yang mendiami Malaysia berkongsi cerita, saudara mara mereka dibunuh, rumah dibakar dan kaum ini akan dilupuskan. 

Bersama sukarelawan yang lain, kami membuka klinik untuk pemeriksaan kesihatan (medical check-up). Pada mulanya, hanya beberapa orang penduduk yang kelihatan. Namun, menjengah ke tengahari, kami tidak menang tangan melayan penduduk di situ. Terdetik di hati, ramai rupanya yang memerlukan khidmat kami. Walaupun terpaksa bersesak, mereka sabar menunggu giliran. Aku seronok melihat anak-anak kecil bermain seolah-olah mereka tidak dapat menikmantinya tika di negara sendiri. Sayu mendengar ketua mereka menceritakan apa yang berlaku di tempat mereka. Ramai lagi yang menunggu untuk diselamatkan. 

Aku sempat bertukar cerita dengan Ramadhani, pelajar kejururawatan daripada Indonesia. Bertanyakan keadaan di Acheh dan ruang kerja di sana. Sungguh, mereka juga seperti penduduk Rohingya, rindukan suasana aman seperti Malaysia. Rama bersungguh inginkan pekerjaan di Malaysia. Mungkin masalah kapitalis menutup ruang pekerjaan mereka. Ketika akhir bersua muka, kami bertukar nombor telefon. Aku harapkan ada waktu lain untuk bertemu dengan Rama. Mungkin di Acheh pula. AMin...

Petangnya, skuad BKA meneruskan misi ke Raub. Melakukan pemeriksaan kesihatan kepada penduduk oranga asli. Sudah lama aku tidak menjejakkan kaki ke rumah orang asli. Sedikit kaget apabila melihat kelibat si anjing. Selain kami, pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB), hadir untuk membantu. Kabel eletrik dipasang untuk kemudahan penduduk di situ. Kesedaran tentang kesihatan masih kurang di kalangan mereka. Mungkin keadaan klinik yang jauh dan tiada kenderaan menyukarkan mereka. Namun, semua memberikan kerjasama yang baik. Pihak TNB juga tidak melepaskan peluang untuk turut melakukan pemeriksaan. 

Aku mula menanam niat untuk terus menghulurkan tangan. Semoga Allah membantu aku dalam setiap perjalanan ini. Walaupun bersendiri, tetaplah teguh untuk terus memberi. Wallahualam...

Thursday, June 28, 2012

Menjadi orang yang memperingatkan.

Bismillahirahmanirahim...............

Saat ini, aku sedang sibuk berpraktikal. Minggu pertama di wad urologi. Sekarang di bilik pembedahan (GOT). Kembali mendapatkan semangat untuk menempuh sebulan lebih lagi di hospital. Namun, apa yang susah tika saat di wad adalah untuk bekerja sebagai seorang dai'e. Jika di kampus, aku mampu menyusun program, namun rasa tewas tiba tika menghadapi dunia sebenar. Inilah realiti. Adakah aku mampu menjaga waktu solat pesakit?. Perkara ini tidak susah, namun payah untuk dipraktikan. Pesakit yang betul-betul memahami kewajipan solat, akan melaksanakan ibadat mereka biar sesukar manapun. Namun, tidak ramai yang punya pendirian sedemikian. Ramai yang beranggapan semasa waktu sakit, Allah meringakan ibadah itu dengan meninggalkannya. Sedangkan, solat merupakan ibadah yang amat dititikberatkan dalam Islam. Walau sesukar manapun keadaan kita untuk melaksanakannya, anda perlu solat. Walau hanya dengan kerlipan mata. Namun, bertanya soal solat sahaja, pelbagai dalih yang diberi oleh mereka yang sakit ini. Susah mahu bicara soal ibadah apabila ia melibatkan urusan peribadi. Soal yang sangat sensitif. Aku sendiri masih gagal untuk menjadi orang yang mengingatkan. 

Jururawat seharusnya turut bertanggungjawab ke atas solat pesakit. Namun, di hospital perkara ini tidak berlaku. Masing-masing sibuk menjaga fizikal pesakit sekalipun doktor. Tidak ramai yang mahu ambil peduli soal rohani pesakit. Padahal itulah faktor utama segala penyakit. Sekalipun ditimpa penyakit, walau seberat manapun, dengan kekuatan ibadah seseorang itu akan tenang menghadapinya. Apabila kondisi luaran pesakit boleh dipantau setiap 15 minit atau 30 minit, inikan solat yang hanya 5 kali sehari. Tapi, itulah realitinya pada hari ini. Ia tidak berlaku. 

Aku masih mencari kekuatan itu untuk berperanan sebagai orang yang memperingatkan. Semoga Allah meringankan lidah ini untuk sekurang-kurangnya bertanya tentang solat pesakit. Amin Ya Rabb....


Monday, June 4, 2012

Praying

Dua, tiga hari ini, aku banyak duduk-baring-bermuhasabah dengan diri ini. Dewasa ini merasakan terlalu meletakkan pengharapan pada manusia. Aku isthgfar beberapa kali memohon diampunkan dosa atas kelalaian diri. Sering kali mengharap pada makhluk yang tidak sewajarnya aku meletakkan pergantungan. Ya, hanya Dia yang layak dipersandarkan segala harapan. Walaupun hanya sekelumit lintasan, gantunglah pada Rahmat dan Rahimnya. Menginsafi hakikat kerdil diri ini yang lahir hanya sebagai hamba, aku tidak seharusnya pantas membelakangi pencipta yang sudah memutuskan segala perkara ke atas diri ini..... Jaga hati Farhana. I'm belong to HIM.. 

My Lord,
May You bless all my day,
Guide me if I'm wrong,
Get me back on the track,
Never leave me along,
In this journey.

With my ship,
I hope I get to the shore,
Not me along,
with all the Muslim,
That travel with the same journey with me,
With Your Eyes,
That always catch our act,
In this world.

I am sure,
You never let us behind,
Deviate from this path,
I am always pray for that....
Thank You, My Lord.. 

Friday, May 25, 2012

Saham akhirat

Waktu remaja adalah waktu yang paling mencabar dalam diri muda mudi. Detik ini menjadi penentu untuk membawa hala tuju kehidupan mereka. Ia mampu menjadi 'turning point' ke arah yang baik atau sebaliknya. Tanpa penagawasan atau 'guidance', mereka mudah terjerumus dengan idol-idol yang menyesatkan. Ini adalah waktu genting atau 'peak time' dalam mereka mencari identiti diri. Ke mana haluan yang harus dituju. Dalam usia yang mentah, sudah pasti mereka harus berperang untuk mengikut arah mana yang selesa bagi mereka. Teknik 'mencuba' menjadi resepi dalam menentukan setiap perbuatan mereka. Bukan mudah menjadi remaja yang kuat dalam dunia hari ini. Apatah lagi tanpa paksi agama yang kuat. Remaja yang baru ingin mengenali dunia mudah hanyut dalam arus kemodenan. Pengaruh rakan sebaya menjadi daya penarik utama dalam membawa mereka untuk mengenali maksud keseronokkan. 

Kekuatan yang kuat datangnya daripada asas agama yang kukuh. Benih yang ditanam dengan baik mampu menghasilkan buah yang manis dan elok. Pokok yang kuat harus mempunyai akar dan dahan yang besar. Akar tunjang mampu menjalar terus ke dalam tanah untuk berfungsi mencari air. Manakala batang bertindak kukuh menahan gegaran angin kencang yang bertiup. Begitulah perumpamaannya kehidupan manusia. Aqidah harus menjadi asas utama dalam kehidupan manusia agar tidak terpesong dari jalan yang benar. Ibadah yang soheh adalah seperti batang pokok yang membantu menegakkan pokok untuk terus berdiri. Buahnya adalah akhlak yang tumbuh daripada baja yang disemai. Jika baja yang digunakan bermutu, maka akan lahirlah permata-permata agama yang berkualiti. Jika sebaliknya, buah akan rosak dan gugur dengan mudah. 

Memahami makna kehidupan dan matlamat hidup menjadi kunci untuk melihat generasi yang berguna. Berguna dalam erti kata menjadi makna pada orang lain. Ia bukan sesuatu yang mudah untuk mencapai tahap faham untuk apa tujuan penciptaan. Sama seperti mencapai makna yaqin dalam erti bertuhan. Perlu ada yang menjentik supaya kesedaran itu sampai dan tidak hanya di awan-awangan. Semuanya memerlukan pengorbanan yang bukan sedikit, tetapi harus dilabur tanpa menunggu pulangan modal yang lumayan. Itulah tugas yang harus dipikul bagi yang bernama dai'e. Mereka yang sedar akan tanggungjawab ini harus bersedia untuk muflis kerana pulangannya tidak akan dilihat pada hari ini. Mungkin bertahun-tahun masa yang perlu diperuntukkan untuk mendapatkan kembali hasil yang telah dilaburkan. Sesungguhnya hidayah itu milik Allah. Kita tiada kuasa untuk membolak balikkan hati manusia, apatah lagi mengubah pegangan yang telah dianuti oleh anak bangsa kini. Ia bukan tugas yang mudah, namun, itulah harga yang harus dibayar oleh pendakwah sekalian. Percayalah pada janji Allah untuk melihat ganjaran kita bukan di sini, tetapi di akhirat sana. Penat dan lelah itu sudah pasti kerana syurga itu tidak mudah untuk kita perolehi. 

Kita bukan berjuang dengan pedang, tetapi berjuang dengan kalam dan akhlak.... Wallahualam..


Monday, May 21, 2012

Mencari Nur Sakinah

Bismillahirahmanihim....

Alhamdulillah, selesai berpraktikal untuk sem kali ni.. meninggalkan blog yang lama menyepi. Perkongsian pada kali ini adalah berdasarkan pemerhatianku di wad psykiatrik. Kesempatan berada di sana selama 2 minggu melakarkan pelbagai cerita dan ibrah yang dapat aku kutip untuk dikongsi bersama yang lain... 

Penghuni di wad psykiatrik datang dari pelbagai latar belakang. Ada ibu tunggal, suri rumah, peniaga, tidak lupa juga pensyarah. Samada datang secara paksaan atau mengikut kemahuan diri sendiri. Semua yang datang punya cerita yang berbeza. "Akak masuk sebab pukul mak". "tak tenang la. Bos asyik marah-marah". "Pak cik masuk sebab gaduh". "Masa tu tengah ambil dadah, lepas tu polis tangkap bawak ke sini". "Ada orang tangkap sebab cakap pak cik orang gila. Pak cik tak gila". Itulah antara luahan-luahan yang mampu aku dengar. Semuanya berakar umbi daripada masalah dan berakhir dengan pergaduhan dan pembunuhan. Tidak kurang juga yang mengambil jalan singkat dengan bunuh diri. Aku mendengar dan menafsir setiap apa yang dibawa oleh penghuni wad itu. 

Walaupun semuanya mempunyai jalan cerita yang berbeza namun mereka punya faktor yang sama. Aku dapat simpulkan bahawa mereka semua tidak mencapai kebahagian yang sebenar. Bahagia itu bila tidak meletakkan Allah di hati. Tidak merasa kemanisan dalam kehidupan. Mungkin ada yang hidup dalam kesenangan, cergas fizikal, tapi tidak merasa lazatnya keimanan. Bila iman rosak, akal sudah tidak mampu berfikiran waras. Lantas, banyak keputusan yang dilakukan tersimpang daripada jalan Islam yang sebenar. Secara saintifiknya, penyakit mental adalah disebabkan oleh ketidakseimbangan antara hormon serotonin dan dopamine. hal ini menyebabkan impulse yang dihantar tidak sampai ke otak untuk ditafsirkan. Faktor genetik juga menyumbang kepada masalah mental. Tapi, itu secara sainsnya. 

Di dalam Islam ketenangan adalah asas utama dalam setiap kehidupan. Ketenangan itu mampu dicapai apabila setiap manusia mengenal penciptanya. Ketenangan akan membawa kepada hakikat kebahagian. Dalam mencari erti kebahagian itu ramai yang tersungkur di lubang-lubang kehinaan. Disebabkan tersalah tafsir dalam mencari kebahagian.Bahagia itu mampu dicapai apabila bertemu dengan Allah. Ramai yang mencari kesoronakkan di luar batasan sehingga hilang nilai-nilai ta'dib sebagai seorang Islam. Namun, hakikatnya mereka tidak menemui kebahagian itu. Minum arak, berjudi dan sebagainya menjadi jalan bagi mereka dalam mencari kebahagian dan ketenangan. 

Apabila erti bahagia tidak mampu dikecapi oleh insan-insan ini, mereka bertindak di luar kotak pemikiran. Akal yang waras sudah tidak mampu berfingsi dengan baik dalam membezakan yang benar dan yang salah. Lantas hukum Tuhan dicabuli. Keluarga dan sahabat terdekat menjadi mangsa ketidakbahagianan mereka. Lantas, dapat kita lihat pada hari ini bermacam masalah yang berlaku. Semuanya disebabkan kurang makna bahagia dalam diri.. Ruang kosong dalam diri masih tidak dapat diisi. Apa yang harus diisi? Siapa yang harus mengisi? Semuanya membawa kepada persoalan-persoalan yang hanya mampu dijawab oleh empunya diri.. 

Orang yang bahagia tidak semestinya kaya. Dalam mencapai makna bahagia, seseorang harus mengenal dirinya. Mereka yang mengenal dirinya, akan mengenal Tuhannya. Mereka yang mencapai makna bahagia akhirnya hanya mencari redha untuk menuju syurga Allah seperti firmannya, "Wahai nafsu (jiwa) yang tenang (suci). Kernbalilah kamu kepada Tuhanmu, dengan (hati) redha dan diredhai (Tuhan). Maka masuklah kamu dalam golongan hamba-hamba-Ku. Dan masuklah kamu ke dalam Syurga-Ku." (Al Fajr: 27-30). Wallahualam...

Wednesday, February 29, 2012

..world view..

Tafsiran yang pelbagai mampu diberi daripada satu gambaran. Manusia punya pelbagai pespektif, pelbagai pandangan dalam melihat sesuatu perkara. Namun, pancaindera keenam senantiasa membisikkan kalimah yang haq. Minda manusia berfungsi dalam zarah neuron yang menyambungkan litar-litar eletrik yang membawa impuls untuk ditafsir dan dikaji. Setiap persoalan yang terdetik lahir daripada suara keimanan yang berusaha untuk mencari setiap persoalan kejadian yang berlaku. Seorang mukmin tidak akan terus selesa dengan jawapan yang sudah terhidang di hadapan kerana asal persoalan itu adalah daripada keraguan. Syak itu perlu supaya nur kebenaran itu terselak dan yang batil itu tersingkap. Mata bertindak sebagai perisik supaya maklumat mampu dihantar ke otak untuk ditafsir dan hati akan menganalisis setiap keputusan yang terhasil. Hati yang sihat akan bergetar jika terdapat manipulasi dalam keputusan yang diperolehi. Hati yang rosak hanya akan membenarkan semua tindakan dilakukan ke atas keputusan yang diambil.

Dasawarsa kita menentukan kerangka pemikiran kita. Bagaimana kita mengolah sesuatu idea yang dibentangkan. Pemahaman pada makna menjadi fokus utama dalam setiap skrip yang dibincangkan. Cambahan idea akan membentuk gagasan-gagasan daripada tajuk yang dipetik. Pandang alam kita sebagai orang Islam harus berbeza daripada manusia biasa. Semuanya perlu berteraskan kepada Allah yang satu. Bagaimana kita melihat perjalanan kehidupan ini. Setiap peristiwa yang berlaku punya tafsiran yang berbeza. Tsunami contohnya, ramai yang menganggap ia berlaku kerana gempa di dasar laut. Namun, sebagai manusia yang beriman, yang mengaku punya pencipta di alam ini tsunami membawa cerita berbeza. Peringatan Allah kepada hamba-hamba yang lupa padaNya. Bagaimana Acheh yang pernah digelar serambi Mekah turut dipukul tsunami? Semuanya berbalik kepada keimanan penduduk di situ. Kini, masyarakat tidak lagi mengamalkan ajaran islam dengan sebenar-benarnya. Yang beriman mungkin hanya sekelumit dan yang terlalai sudah terlalu hanyut. Masyarakat dunia mungkin hanya mampu memerhati tanpa isyarat tazkirah. Semoga peringatan kecil itu mampu mengubah ‘worldview’ masyarat Acheh terutamanya dan masyarakat dunia keseluruhannya. Masih banyak yang perlu digali daripada peristiwa tsunami yang berlaku.

Dalam ruang lingkup yang sama, saintis yang melakukan sesuatu kajian banyak bergantung pada logik akal dan ketepatan sesuatu keputusan adalah berdasarkan eksperimen. Semuanya memerlukan bukti yang kukuh untuk menjelaskan setiap data atau setiap perkara alam yang terjadi. Saintis muslim sentiasa percaya bahawa al-quran punya segala bukti. Namun, kita harus jelas bahawa al-quran bukan sumber rujukan. Kaedah yang diguna pakai masa kini adalah tidak tepat. Al-quran yang perlu dikaji dahulu daripada setiap peristiwa yang mengagumi mata kita. daripada isi tadabur itu, barulah kita pindahkan pada bahan eksperimen atau lain-lain kajian yang dianggap tidak bertentengan dengan ajaran Islam. Hal ini kerana al-quran adalah kalamullah. Semuanya sudah dicerita dan dibentangkan oleh Allah kepada kita. Tunggu hamba-hambaNya sahaja untuk terus mencedok dan menggali ilmu-ilmuNya yang tak terkira luasnya. Hari ini kita melihat ramai saintis barat yang memeluk agama Islam atas sebab kajian yang dilakukan. Kerana diakhirnya, mereka menemukan Allah yang Esa.

Cara kita berfikir menentukan siapa diri kita. Dengan berfikir, kita akan mencetuskan persoalan yang memerlukan jawapan. Jawapan itu memerlukan kepada pengkajian yang melorong kita untuk terus mencari. Inilah konsep yang banyak diguna pakai oleh orang-orang Barat. Dalam pencarian itu kita mungkin akan beberapa kali atau berpuluh kali atau beratus kali menemui kegagalan. Namun, percayalah titik itu akan menemukan kita kepada kebenaran yang sebenar. Di situ juga, hidayah Allah terbentang.