Wednesday, November 24, 2010

Bukan cinta biasa

Aku sentiasa ingin rindu pada kalimahMu,

Ingin menatap wajahMu,

Bibir ingin menyebut cintakanMu,

RindukanMu.

Tapi, aku berdusta

Bait itu terhalang,

Cinta itu terpadam,

Dalam diam……….

Bukan mudah menggapainya,

Kerna ia bukan cinta biasa,

Bukan cinta berpura-pura,

Bukan cinta dusta,

Cinta berkalang.

Cinta itu bukan cinta biasa,

Kerna bukan untuk semua, hanya yang terpilih menemuinya,

Yang benar-benar mencari untuk mencintaiNya,

Walau terpaksa bertarung nyawa,

Walau terpaksa korbankan cinta manusia,

Berjihad sepenuh jiwa.

Hanya yang berjuang mampu merasai,

Manisnya cinta itu,

Asyiknya berjumpa kekasih hati,

Yang sentiasa merindui Tuannya,

Pemilik hati, yang sentiasa merindui hamba-hambaNya

Tuesday, November 2, 2010

Kembara alam

Bismillahirahmanirahim.............

Alhamdulillah, syukur pada Allah yang memberi sedikit waktu untuk diri ini berehat. Betul atau tidak keputusan yang aku buat untuk pulang bercuti di rumah seminggu. Bila berada di rumah, rindu pula pada UIA. Teringatkan kawan2 yang masih bertungkus-lumus berjuang dengan kertas dan pena. Mungkin Allah memberi kelapangan diri ini sebagai hak untuk keluarga. Masyallah, banyak lagi sebenarnya yang tak terbuat. Usrah untuk adik-adik baru berjalan sekali. Moga terus diberi kekuatan. Satu cabaran untuk berusrah dengan mereka yang tidak punya fikrah. Tidak ada pemahaman membuatkan usrah jadi tidak seronok. Namun, aku tidak harus membandingkan usrah di rumah dengan usrah bersama kawan-kawan. Tentu sekali bezanya langit dengan bumi. Waktu di rumah, aku perlu bertugas sebagai 'driver' yang akan mengangkut adik dari sekolah.

Seperti biasa, jam menunjukkan pukul 12.30 tengahari memberi isyarat pada aku untuk menjemput adik dari sekolah. Sementara menunggu mereka, aku melihat gelagat si kecil berlari-lari melintas. Pelajar-pelajar tahun 1 barangkali. Seronok sekali melihat telatah mereka. Dengan beg sekolah yang besar, mereka sedayanya menggalas buku-buku yang ku kira lebih berat daripada mereka. Ada yang berbasikal. berlari-lari menuju ke kedai kecil untuk membeli jajan. Teringat zaman aku di sekolah rendah, seusia mereka, membawa beg yang sama besarnya. Aku sudah diberi tanggungjawab sebagai pengawas seawal usia 9 tahun. Ketika itu, aku sendiri belum memahami erti disiplin dan hidup ini sendiri. Aku agak menonjol waktu itu dalam penglibatan aktiviti-aktiviti kurikulum. Semua pertandingan aku masuk semata-mata mencari sijil. Bagi aku, tidak menang tidak mengapa asalkan aku dapat sijil penyertaan. Sehingga kini, sijil-sijil itu masih kejap dalam simpananku.

Segala-galanya masih di ingatan. Kembara itu telah berlalu. Aku bakal memasuki alam dewasa. Terlalu singkat masa berlalu. Perjalanan hidup ini membawa aku erti kematangan, cabaran dan dugaan dalam hidup ini. Terlalu banyak yang telah aku lalui. Seperti mana juga insan-insan lain, seperti mana yang telah diaturkanNya, begitulah corak hidup manusia. Umur 21 menunjukkan angka yang semakin besar dan aku masih berkira-kira apa yang telah aku buat dalam hidup ini?? Terkadang aku termangu sendiri memutar masa silam. Mengimbau noda dan telatah usia jagung. Seringkali terlintas 'andai' atau 'jika'. Masyallah, sedangkan itu telah tersurat. Pasang surut hidup ini membawa aku pada tapak kejayaan dan kegagalan. Aku masih ingat bagaimana keadaan diri ini jika aku kurang cemerlang, kerana bagiku aku sudah berusaha yang terbaik. Dulu, mungkin kerana tiada kefahaman tentang erti syukur. Terima kasih pada Allah yang telah memberi ilmu itu pada aku. Dia yang meletakkan diri ini dalam persekitaran yang begitu baik. PerancanganNya Maha Hebat. Peraturan hidup ini sudah dirancang dan ditetapkan untuk hamba-hambaNya. Maha Besar Engkau, ya Allah.

Roda masa akan terus berputar. Malam akan berganti siang, bulan akan berganti tahun, manusia akan meningkat umur. Aku juga begitu. Sehingga aku dewasa, tua, dan menuju alam lain. Bagaimana aku tika itu? Masih tak tercapai akalku memikirkannya. Namun, yang paling utama persedian aku ke alam itu untuk berjumpa dengan pemilik dunia. Bersediakah aku?

"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang2 yang beriman dan beramal soleh, berpesan2 dengan kebenaran dan kesabaran". (al Asr: 1-3)

Saturday, October 30, 2010

Apa erti kita berada dalam gerakan Islam??

Bismillahirahmanirahim...........

Nikmat kepujian tidak henti-henti padaNya. Sentiasa melapangkan waktu, memberikan ilmu pada hamba-hambaNya. Walaupun tahu hamba ini sering lupa padaNya, namun kasih sayangnya tetap ada.

Mengapa perlu kepada jemaah???

Gerakan adalah pertubuhan yang bergerak. Oleh itu, semua ahli perlu bergerak. Bagaimana? Dengan berada di dalam jemaah. Jemaah membantu kita untuk menggerakkan kerja-kerja dakwa yang telah lama dibawa oleh para nabi dan rasul. Ia menjadi satu tuntutan untuk berada di dalam sesebuah jemaah kerana Nabi Muhammad s.a.w memerintahkan kita berada di dalamnya.

Jemaah mampu membentuk satu tautan hati yang cukup kuat. Ukhwah yang terbentuk boleh memecahkan sikap nafsi-nafsi dalam diri. Untuk berjihad, kita perlukan sahabat yang sanggup mati untuk kita dan sebaliknya kerana kerja dakwan ini bukan main-main. Kita membawa risalah perjuangan dan menjadi rantai-rantai yang menyambung perjuangan nabi. Jika tali yang diikat tidak kukuh, begitu mudah kita jatuh tersungkur. Berapa ramai yang futur dalam medan ini kerana tautan hati yang tidak kuat. Rasa "trust" tidak ada dalam diri. Kita tidak akan mampu membawa beban dakwah ini kecuali secara berjemaah. Apabila rasa percaya itu tinggi, sejauh mana pun lautan yang memisahkan, sahabat di lain benua akan sanggup kita tolong walau dengan cara apa sekalipun. Begitu kuat nilai kepercayaan dalam jemaah.

"Wamakaru wamakarallah. Waallahu khoirun makirin". Mereka merancang dan Allah pun merancang, tetapi Allah adalah sebaik-baik perancang. Namun, apa yang telah kita rancang? Apa gerak kerja yang telah kita buat?. Dalam kerja dakwah perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Seorang ahli gerakan tidak punya alasan dalam perjuangan Islam. Jangan menjadikan harta kamu, anak-anak atau isteri sebagai alasan untuk lari daripada kerja ini. Ini adalah tanggungjawab yang Allah telah amanahkan kepada kita semua. Kerja dakwah adalah kerja semua dan setiap orang tidak boleh lari daripadanya. Apa yang perlu adalah kita tetap di dalam suatu jemaah dan memperkuat dan perkemaskan jemaah tersebut.

"Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berperang di jalanNya dalam barisan teratur, mereka seakan-akan seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh". (61:4)

Usrah gabungan,
Perkongsian daripada Dato' Razak,
Baitul Husna, 22/10/10

Al-khauf & Ar-roja'

Bismillahirahmanirahim..............

Segala pujian hanya padaNya. Semoga kalamNya sentiasa mengalir dalam diri-diri kami.

Al-khauf membawa pengertian takut dan ar-roja' itu mengharap. Qalbu orang-orang beriman sentiasa mencari jalan untuk menghadirkan rasa al-khauf dalam dirinya. Apabila rasa khauf itu wujud, mereka meletakkan ar-roja' kepada pencipta alam. Perasaan takut pada dosa-dosa yang tidak diampunkan membawa manusia untuk mengharapkan kepada sifat Allah sebagai keampunan. Namun, pengharapan itu perlu disertai dengan amalan. Bukan sekadar omongan kosong. Inginkan keampunan daripada Allah, namun diri tidak berusaha untuk memperbanyakkan amalan adalah sia-sia. Berusaha untuk memperbaiki diri dan mengharapkan Allah melihat kesungguhan kita. Ia ibarat sebuah anugerah yang Allah berikan. Berharap tanpa amal ibarat 'mati hati'. Analoginya, seorang pesakit yang memang tiada harapan untuk sembuh. Namun, seorang doktor yang percaya ajal, maut di tangan Tuhan, akan terus memberi pengharapan pada pesakit tentang kesembuhan penyakitnya. Pengharapan itu menjadikannya lebih kuat untuk terus sembuh. Hal ini kerana orang yang memegang harapan itu hidup hatinya. Mereka sentiasa meletakkan keyakinan kepada Allah ditambah pula prasangka yang baik pada DzatNya.

Asal hidup itu adalah ilmu. Kemudian ia perlu disertai dengan amal. Ilmu itu perlu pada keyakinan yang tinggi. Yakin Allah akan mengampunkan, yakin Allah akan mempermudahkan, yakin Allah akan memberi nikmat. Roja' itu maqamnya yang mulia dan paling tinggi selepas taubat. Dosa yang dilakukan perlu kepada taubat. Taubat nasuha harus disertai dengan an-Najm, penyesalan terhadap dosa-dosa yang dilakukan. Namun, pokok pangkalnya adalah al-jazm, sumber kemaksiatan. Orang yang melakukan dosa perlu berada jauh daripada sumber maksiat supaya tidak terpengaruh lagi. Mereka perlu bermusafir mencari persekitaran yang mendekatkan mereka kepada Allah. Selak kembali sirah pembunuhan 100 orang termasuk seorang alim. Si pembunuh mendapat pengharapan daripada seorang alim yang berilmu yang mengatakan pengampunan Allah masih terbuka. Lantas, disuruh pembunuh itu untuk berhijrah ke kawasan orang-orang yang beriman. Jelas menunjukkan kepada kita persekitaran memainkan peranan yang penting untuk seseorang berubah. Setiap kebaikan mampu memadamkan kesalahan. Allah memerintahkan kita untuk melakukan amalan setakat kemampuan kita. Namun, setiap orang perlu meninggalkan kejahatannya terus. Maksudnya, Allah tahu semua manusia mampu meninggalkan maksiat tanpa melihat kepada kemampuan.

Sebagai hamba, layak bagi kita untuk meminta syurga daripada Allah. Namun, Sheikh Ma'ruf al-Tarkhi berkata, "Orang yang meminta syurga tanpa beramal dikatakan mempunyai adab yang jahat". Bagaimana kita mampu meminta syurga, tempat teristimewa jika dibandingkan dengan amalan kita? Layakkah insan seperti kita mendiami syurga Allah, tempat yang suci. Sedangkan diri kita penuh dengan dosa. Begitulah roja' itu perlu kerana dengan izinNya sesiapa boleh dimasukkan ke syurgaNya, dikeluarkan daripada api nerakaNya, diampunkan segala dosaNya. Cuma, peganglah pada amalan dan kesungguhan yang menunjukkan kita ini hamba yang lemah. Hamba yang sentiasa memerlukan tuannya.

'Barangsiapa yang menghidupkan hatinya dengan ilmu dan amal, hatinya ibarat hidup selama-lamanya'.

Pengajian Kitab Hikam,
30/10/10, 9mlm.

Wednesday, October 27, 2010

Posting lagi...

Bismillahirahmanirahim...........

Sekian lama menyepi kerana kekangan masa dan masalah pada laptop. "Mood exam" sudah pun bermula.Pengalaman di hantar ke Temerloh masih dalam bayangan. 2 Minggu waktu yang berlalu terlalu singkat rasanya. Suasananya berlainan sekali jika di bandingkan dengan HTAA. Hospitalnya lebih besar dan luas. Persekitarannya sangat cantik dan bersih. Mungkin kerana hospital baru. Begitu juga dengan bahagian dalamannya. Semua tersusun rapi. Bilangan katil pesakit yang sekadarnya dengan dilengkapi penghawa dingin. Kami, pelajar kejururawatan ditempatkan di rumah khas. Perjalanan selama 10 minit sahaja diperlukan untuk tiba di hospital tersebut. Minggu pertama aku di wad Surgical (wanita). Tiada apa yang menarik untuk aku coretkan.

Pengalaman di wad Emergency & Trauma sangat luar biasa. Aku sukakannya. Di awalnya, aku sedikit kaget dengan suasana yang terlalu sibuk. Semua pesakit yang datang mengalami kecederaan yang berbeza. Sedikit penat, namun aku seronok dengan pelajaran baru di situ. Paling menakutkan apabila terpaksa berhadapan dengan pesakit yang kronik secara tiba-tiba. Sangat menguji kekuantan mental. Doktor apatah lagi yang terpaksa bertarung dengan nyawa manusia. Di sana juga, aku melihat ragam si kecil yang terpaksa berhadapan dengan jarum untuk diambil sampel darah. Tak sanggup rasanya mendengar tangisan mereka. Apatah lagi si ibu. Ada yang sanggup keluar kerana tidak sanggup melihat kesakitan si anak yang masih kecil. Itulah ujian bagi para ibu. Sebolehnya, biar mereka sahaja yang menanggung sakit itu. Namun, Allah itu sebaik-baik perancang.

Bicara soal sakit, kadang-kadang manusia hanya menyedari fizikalnya yang cedera. Kaki patah, luka dan sebagainya. ramai yang terlepas pandang pada rohani yang sakit. Sukar sekali buat kita untuk menilai sejauh mana hati kita sakit. Untuk mendapatkan fizikal yang cantik dan sihat, kita sanggup berbelanja ribuan ringgit. Namun, hati yang sakit kita biarkan terus bersarang dan bernanah sehingga pada satu tahap ia sudah tidak mampu berfungsi lagi. Itulah hati yang mati. Orang Mukmin akan sentiasa melakukan 'medical check up' pada hatinya. Bagaimana perjalanan darah. Adakah ada aliran zikir di dalamnya. Atau tersumbat dengan nafsu riak dan sebagainya. Adakah degupannya dengan kalimah Allah. Semuanya harus diperiksa supaya hati yang sakit dapat di ubat dengan segera. Disiram dengan kalam-kalam Allah agar segar kembali.

"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati ALLAH. Ingatlah, HANYA dengan mengingati ALLAH-lah hati menjadi tenteram." [Ar-Ra'd:28]

"(Mereka berdoa dengan berkata): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya."[Surah Ali 'Imran:8]

Monday, September 27, 2010

Beruntungnya kamu....

Bismillahirahmanirahim…………….

Bersyukur seinfiniti pada Allah, perancang segala dan Dia, sebaik-baik perancang. Alhamdulillah, Dia member keizinan untuk mengampunkan dan Alhamdulillah Dia sebaik-baik pemberi petunjuk dan sifat cinta pada hambaNya melebihi segala-galaNYa. Allahuakbar. Seminggu yang memenatkan. Allah menguji diri kerdil ini dengan sedikit ujian kerana sayang pada hambaNYa. Menarik sedikit nikmat kesihatan kerana sifat ar-rahmanNya. Tiada lain hanya Alhamdulillah. Moga ini satu penghapusan dosa dan mendekatkan diri ini lebih kepadaNya.

Aku sentiasa membandingkan diri ini dengan kehidupan sahabat-sahabat di sekeliling baik dari segi apa pun. Namun jelas, yang sering membuatkan aku termenung apabila melihat sahabat-sahabat yang lahir daripada keluarga yang jelas pandangannya tentang hidup ini. Maksudku, nilai hamba dan khalifah itu. Begitu beruntungnya mereka. Bukan aku mahu menjadi hamba yang tidak bersyukur, tidak. Jauh sekali aku ingin menjadi hamba yang tidak tahu berterima kasih. Cuma, aku melihatkan mereka punya kelebihan jauh lebih baik daripadaku. Mereka sudah punya didikan tentang fikrah itu di awal usia kelahiran. Aku perlu mencari untuk mendapatkan itu. Syukran Allah, aku dipertemukan dengan itu. sekian lama aku mencari apa erti hidup ini? Untuk apa kelahiran ini? Alhamdulillah, aku menemuinya. Dengan izin daripadaNya. Selama ini aku merasakan kehidupan hanya kepura-puraan. Penuh dengan dusta dan wayang. Sekadar untuk memenuhi tuntutan manusia.

Selama ini terlalu banyak wayang yang di mainkan. Mungkin aku pelakon terbaik. Lantas aku menyedari bahawa hidup aku sia-sia. Aku tidak jumpa ketenangan. Hati ini sentiasa gelisah. Aku mampu menjadi pemain terbaik di pentas manusia, namun di sisi Allah aku tidak tahu aku di mana. ¼ usia ini telah aku sia-siakan. Jika kanak-kanak di Palestin, pada usia yang masih mentah mereka sudah tahu untuk apa hidup ini. Mereka sudah tahu diri ini perlukan pengabdian. Mereka tahu untuk apa penciptaan ini. Hebatnya penciptaan Allah. Sedangkan diri ini masih dalam buaian walaupun di ambang usia ini. Aku tahu menyebut muhasabah itu apa. Tapi, kurang mendalami makna itu. sekadar pada bibirnya saja. Sedangkan hati masih terkunci.

Namun, satu saat ada cahaya. Ada sahutan yang memanggil. Membawa aku pada satu alam yang bersendiri. Aku memikirkan tentang diri ini. Di mana aku sebenarnya. Mengapa aku harus hidup begini? Mengapa aku letih dengan lakonan ini? Siapa aku sebenarnya? Lantas, manik-manik kecil jatuh. Rasa keinsafan itu tiba. Sejenak menyerap ke dalam hati. Nikmat sekali. Rasa ada yang menyayangi. Yang membisikkan kalimat-kalimat suci. Yang mengalunkan zikir-zikir Ilahi. Nyaman dan tenang sekali. Di kejauhan ku pandang suria itu akan datang.

Ya, aku masih orang yang sama pada hari ini. Namun, aku sudah tahu nilai diri. Untuk apa aku dilahirkan, ke mana akan aku pergi. Di mana destinasi terakhirku. Aku akui, terkadang aku terlalu tinggi, sehingga tersadung. Syukur, Allah ada di sisi. Dia pimpin diri ini. Tunjukkan jalan terbaik untuk aku lalui agar tidak terhalang, tidak pula terlalu meninggi. Baik sekali. Seperti bait Nabi Ibrahim. Sehinggi hari ini pun, aku masih perlukan Dia dalam hidup ini……………………..

Friday, September 3, 2010

Merdekakah kita???

31 Ogos tanggal yang diingati oleh semua lapisan masyarakat. Tidak kira yang muda mahupun yang tua. Semua melaungkan ‘Merdeka! Merdeka!’, dengan rasa megahnya. Bagi pihak veteran, merdeka memberi makna yang cukup mendalam sekilas mengenangkan perjuangan mereka untuk membebaskan tanah melayu daripada cengkaman penjajah. Anak-anak muda pula yang kurang mengerti hanya mengikut-ikut laungan tersebut. Kerana itu yang didengar dan diajar oleh ibu bapa mereka. Mungkin sejarah merakamkan Malaysia sebuah negara yang merdeka, bebas daripada cengkaman penjajah. Rakyat Malaysia tidak ditindas dan diburu seperti rakyat Palestin. Kita bebas untuk ke sana ke mari, belajar tanpa ada sekatan dan anak-anak kecil mampu bermain tanpa rasa takut.

Namun, disebalik semua itu, kita lupa bahawa pemikiran kita dijajah. Bahkan, lebih teruk daripada negara Palestin. Negara kita seakan menjadi acuan barat dan hampir sahaja berkiblatkan barat. Kehidupan kita sahaja sudah cukup menggambarkan nilai-nilai Barat yang masih subur dalam diri. Lengkap semua aspek kehidupan. Kita sentiasa merasakan sudah merdeka tetapi lupa diri masih dijajah. Pemikiran kita masih terikat dengan barat. Pemakaian, pergaulan, politik, sistem pendidikan, ekonomi semuanya mengikut aturan pihak penjajah. Hampir sahaja kita tersungkur apabila menyaksikan fenomena ini. Di mana kesedaran kita???

Banggakah kira rakyat Malaysia menyambut laungan 31 Ogos. Atau sekadar omongan kosong. Sedangkan pihak penjajah bertepuk tangan menyaksikan aksi bodoh kita. Kita masih membawa saki-baki yang mereka tinggalkan. Tidak perlu mereka datang ke negara ini untuk menyebarkan anasir-anasir buruk mereka. Kita, rakyat Malaysia bahkan yang beragama Islam sendiri yang menyerang rakyat di negara ini. Cukup dengan hiburan yang melampau, konsert di mana-mana, menjadikan artis sebagai idola, majalah seks yang mudah didapati, penjualan dadah, kondom dan arak menjadikan Malaysia negara pembuangan bayi yang hebat. Banggakah kita?

Hari ini, masalah gejala sosial tidak henti-henti dan seakan tiada jalan penyelesaian. Generasi yang lahir seakan tiada nilai kerana tidak mampu membina tamadun khalifah yang di mana suatu masa dahulu cukup gah di mata musuh. Anak-anak yang didik oleh tangan acuan barat akan menghasilkan kuih yang berperwatakan barat. Yang menyedihkan, umat Islam sendiri tidak mampu melahirkan pejuang-pejuang agama. Kepada siapa harus kita sandarkan harapan untuk membantu saudara kita di Ghaza? Kita sudah membuka ruang kepada Yahudi untuk menyerang kita. Kita masih boleh berseronok tanpa memandang musuh yang seringkali mengintai mencari peluang untuk membinasakan umat Islam.

Sudah banyak peringatan yang Allah bagi pada kita. Segala yang menimpa bukan suatu bala, tetapi kerana sifat sayangNya pada hamba-hambaNYa. Kes pembuangan bayi, tsunami seharusnya membuka mata kita untuk kembali kepada pencipta. Ambiklah pengajaran yang banyak sekali terkandung di dalamNya. Namun, kerana hati-hati yang telah mati deria kita sudah tidak mampu melihat, mendengar bahkan kita lebih teruk daripada binatang. MasyaAllah, Allahuakbar, sesuai dengan gambaran Allah dalam kitabNya,

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat kebesaran (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telingan (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu seumpama binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.” (al-A’raf, 7: 179 )

“kemudian setelah itu hatimu menjadi keras, sehingga hatimu menjadi batu, bahkan lebih keras. Padahal, dari batu-batu itu pasti ada sungai-sungai yang (airnya) memancar daripadanya. Ada pula yang terbelah lalu keluarlah mata air daripadanya. Dan ada pula yang meluncur jatuh kerana takut kepada Allah. Dan Allah tidaklah lengah terhadap yang kamu kerjakan”. (2:74).

Marilah sama-sama kita kembali sebagaiman fitrahNYa. Apa yang telah kita janjikan sewaktu di alam roh. Kita mengaku bahawa Allah itu tuhan kita. Seharusnya, kita mengikut setiap garis panduan yang disediakan kerana itulah sebik-baiknya kerana kita ini hamba