Bismillahirahmanirahim..............
Alhamdulillah, atas pinjaman hari-hari yang berlalu. Syukran Allah atas nikmat Ramadhan hari ini... Sudah masuk 7 Ramadhan hari ini. Sudah di tahap mana pencapaian Ramadhan kita? Sama-sama kembali bermuhasabah..
Kedatangan Ramadhan seharusnya disambut semeriah kedatangan hari raya. Masyarakat kita juga menunjukkan kelainan dalam sambutan Ramadhan. Persiapan awal akan dilakukan untuk menyambut Ramadhan. Ini dapat kita lihat di pasar-pasar besar, kelibat manusia yang tidak henti-henti membeli simpanan untuk sebulan Ramadhan, terutamanya bagi para peniaga. Ramadhan menjadi bulan untuk mereka menambah pendapatan. Pelbagai juadah berbuka dipamerkan di pasar-pasar kecil mahupun besar. Juadah menjadi topik asas sewaktu bulan barakah ini. Segala macam juadah yang ghaib di waktu bulan-bulan lain, menjelma tika hadirnya Ramadhan. Mungkin kerana beranggapan destinasi terakhir puasa adalah makan, maka ramai yang berpusu-pusu ke bazar Ramadhan.
Bukan itu sahaja, Ramadhan disambut dengan dentuman mercun dan kilauan bunga api di udara. Amalan ini seakan telah menjadi tradisi dalam masyarakat anak muda kita. Waktu terawih menjadi waktu pilihan mereka. Saat yang lain sibuk menambahkan penghambaan kepada Allah, ada insan yang mengambil kesempatan untuk menganggu pengibadahan ini. Seakan mencari keseronokkan dalam bulan barakah ini daripada kesepian diri daripada hiburan. Demi mendapatkan kepuasan diri, ketenangan insan lain diabaikan. Walhal, tiada manfaat yang mereka perolehi melainkan keuntungan kepada si penjual dan pengilangnya.
Sudah menjadi tradisi, bulan Ramadhan adalah bulan promosi. Harga barang-barang diturunkan untuk menarik perhatian pembeli. Diskauan dipertaruhkan daripada sebesar-besar barang hinggalah sekecil-kecil kelengkapan. Bila tiba Ramadhan, tentulah Hari raya menjadi motif untuk promosi yang diadakan. Seperti biasa, masyarakat kita amat mengalu-alukan kehadiran Hari raya dengan gembiranya. Melebihi Ramadhan, persiapannya terlalu gah sehingga semua kelengkapan rumah perlu ditukar baru. Baju baru, perabot baru, kereta baru, bahkan kalau boleh ditukarkan semua set rumah kepada set yang baru, itupun akan dilakukan. Itulah adat kita.
Tidak dilupakan peniaga-peniaga di hotel. Poster berbuka puasa dengan tawaran harga yang berpatutan memenuhi papan-papan iklan. Set berbuka puasa dan bersahur menjadi taruhan Ramadhan. Dengan hidangan yang pelbagai, mereka yang datang akan berpuasa hati untuk menikmati kesemua juadah. Namun, persoalannya adakah mereka mampu untuk menghabiskan makanan yang tersedia? Kerakusan manusia menyebabkan pembaziran telah berlaku. Lihat sahaja di karungan sampah, banyak lebihan makanan yang terpaksa dibuang begitu saja. Sedangkan, Ramadhan seharusnya menjadi bulan untuk mendidik diri kita daripada sifat membazir.
Madrasah Ramadhan seharusnya menjadikan diri kita insan yang lain daripada waktu sebelumnya. Nilai-nilai yang baik mampu dipupuk dan ditanam dalam diri kita sewaktu Ramadhan. Namun kerana memenangkan nafsu, akal sudah tidak dapat berfungsi dengan waras. Rugilah kita kerana tidak mampu menjadi insan yang bertaqwa yang disebut oleh Allah dalam firmannya, “ Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa” (al-Baqarah: 183). Sesungguhnya, terlalu banyak fadhilat Ramadhan bagi orang-orang yang sabar menghadapinya. Seperti mana sabda Nabi Muhammad s.a.w, “Puasa itu merupakan perisai yang dapat menghalangi seorang hamba dari panasnya siksa api neraka” (HR. Ahmad) dan ” Syurga memiliki 8 pintu, salah satu daripada pintu syurga adalah bernama pintu Raiyan yang dikhususkan untuk mereka yang berpuasa, tidak dibenarkan masuk melalui pintu tersebut kecuali mereka yang berpuasa sahaja “. Jadikan Ramadhan kita warna-warni dengan ibadah yang dilakukan. Wallahualam…