Monday, May 24, 2010

Masih ada 'penantian'

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

Polis teliti permohonan permit konsert Inul

TAWAU 23 Mei - Polis akan meneliti permohonan konsert 'ratu gelek' Indonesia, Inul Daratista yang dijadual berlangsung di Kompleks Sukan Tawau, Sabtu ini, dari sudut keselamatan sebelum meluluskan permitnya.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ibrahim Chin berkata, keputusan mengenai perkara tersebut akan dibuat dalam masa terdekat.

Katanya, pihaknya juga akan mengambil kira bantahan daripada 11 kumpulan yang mewakili parti politik, mahasiswa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung penganjuran konsert itu.

"Buat masa ini, kita masih timbangkan, kelulusan permit masih belum diberi. Sebelum keluarkan permit itu, kita akan lihat aspek-aspek keselamatan.

"Semua pihak diharap bertenang dan tidak melakukan tindakan yang boleh mengganggu gugat ketenteraman awam," katanya kepada ketika dihubungi di sini hari ini.

Kelmarin, selepas solat Jumaat di pekarangan Masjid Al-Khauthar di sini, 11 kumpulan itu antaranya Pas Tawau, Persatuan Siswazah Sabah, Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia dan Dewan Muslimat Tawau mengadakan demonstrasi membantah konsert itu.

Semalam, UMNO Bahagian Kalabakan pula turut menggesa pihak berkuasa membatalkan konsert penyanyi dangdut itu kerana dianggap boleh menyumbang keruntuhan akhlak muda mudi di sini.

Selain itu, antara alasan utama pihak yang membantah penganjuran berkenaan adalah kerana Inul atau nama sebenarnya Ainul Rokhimah dilabelkan penari lucah pada Ogos 2002 oleh Dewan Ulama Indonesia.

Ibrahim berkata, perbincangan lanjut dengan pihak Majlis Perbandaran Tawau akan dilakukan supaya satu keputusan dapat dibuat secepat mungkin.

Ulasan penulis:

Adakah masih ada kata 'menunggu' untuk kemungkaran yang jelas terpampang di mata? Semua pihak sudah sedia maklum dengan ratu gelek Indonesia ini. Adakah kerajaan hanya akan memandang sebelah mata dengan membenarkan konsert itu diadakan? Sama-samalah kita menunggu bala apa lagi yang bakal diturunkan kepada negara Islam ini. Ke mana hilangnya suara para ulama' dalam mengatakan tidak kepada perkara maksiat ini? Sedangkan ajal tidak menunggu kita, kiamat tidak berhenti untuk memberi waktu pengampunan pada kita. Tidak ada waktu untuk melakukan kebaikan saat nyawa sudah di halkum. Tidak ada jam putaran untuk kembali ke alam dunia pabila kita sudah di alam akhirat..

Ya Allah, moga Engkau ampuni dosa-dosa kami yang banyak melakukan kemaksiatan di atas bumi ini. Moga Engkau pelihara kami daripada kemungkaran yang berlaku. Engkau suluhlah jalan buat hamba-hambaMu yang masih buta. Berilah mereka hidayah kerana mereka tidak tahu. Bantulah mereka mencari jalan yang lurus.. Engkaulah sebaik-baik petunjuk.. Amin..

Sunday, May 23, 2010

Malam yang semakin suram





Bismillahirahmanirahim……..

Petang ini aku sempat meluangkan masa untuk beriadah. Mengeluarkan sedikit peluh sambil menghirup udara yang amat segar. Udara petang selepas hujan amat menyejukkan. Aku bersama seorang teman berjalan kaki merentas jalan raya menuju ke sana dan sewaktu kami tiba, sudah ada orang lain yang turut sama beriadah. Aku mengharapkan kami dapat habiskan dua pusingan trek yang disediakan. Sepanjang larian kami, mataku sakit melihat di celah-celah hentian yang di sediakan ada sepasang manusia yang berlainan jantina. Mereka sibuk bermadah kasih ku kira. Keadaan yang agak suram petang itu menggelapkan pandangan manusia yang sibuk beriadah. Tanpa mempedulikan jelingan kami, mereka masih asyik bermesra. Sakit hatiku. Di hentian seterusnya, satu pasangan lagi yang kami temui. Berdua-duaan di atas bangku. Hati tiada husnul zon lagi. Begitulah seterusnya, hingga ke tempat perhentian terakhir, juga masih ada satu pasangan. Aku hanya mampu memandang. Hatiku berbisik, “kalau panggil pencegah maksiat, ‘confirm’ kena dah ni”.

Mungkin mereka menganggap berdua-duaan di hadapan orang ramai tidak memberi masalah. Tidak akan ditangkap khalwat. Lebih selamat. Inilah pemikiran manusia. Tidak pernah mahu memikir kemarahan Allah. Jika Dia mahu, semua di hancurkannya. Aku memandang sayu. Tidakkah mereka mengetahui orang yang ketiga di sisi mereka adalah syaitan. Masihkah tidak sedar dengan gejala yang melanda ummat kini. Kes buang bayi yang tiada sudahnya. Tidakkah mahu diambil pengajaran? Tidakkah ada rasa sekumit keinsafan? Yang nyata, semuanya beragama Islam. Lebih menyedihkan.

Aku kemudian teringat peristiwa yang sama berlaku di taman rekreasi itu. kami, pelajar ‘nursing’ sempat mengadakan sambutan hari jadi seorang kawan. Ketika hendak pulang, ku kira jam 7, semakin ramai remaja lelaki dan perempuan berdua-duaan. Di kala azan maghrib bakal berkumandang. Syaitan-syaitan berteriak gembira melihat kelakuan yang menyakitkan mata. Sempat ku lihat, seorang mamat ni, bermain gitar. Sepanjang kolam buatan itu, dipenuhi mereka yang kononnya mencari ketenangan. Mencari cinta mereka. Begitulah pemikiran anak muda. Yang selalu tewas dengan nafsu. Selalu kalah dengan bisikan syaitan. Inilah pewaris bangsa dan agama. Pemuda yang bakal menerajui negara. Pemuda yang bakal menggantikan atuk-atuk kita.

Hanya satu pintaku, agar mereka kembali pada pencipta. Kembali pada syariat. Sesungguhnya Dia masih menyayangi hamba-hambaNya. Firmannya, katakanlah, “wahai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya, Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sungguh, Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (39:53). Dalam ayat yang seterusnya, Allah meminta pada kita agar berserah diri padaNya sebelum azabnya tiba. Di mana, pada waktu itu tiada siapa yang dapat membantu. Ucaplah kalimah taubat sebelum nyawa sampai ke halkum. Sebelum malaikat Izarail menjemput kita. TambahNya, agar jangan ada yang mengatakan, “alangkah besarnya penyesalanku atas kelalaianku dalam (menunaikan kewajipan ) terhadap Allah, dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang memperolok-olokkan (agama Allah)”. (39:56). Nauzubillah.

Wednesday, May 12, 2010

Aku juga punya perasaan

Cuaca hari ini mendung sekali. Titis-titis hujan jatuh ke bumi untuk menyejukkan bumi yang gersang. Seakan perasaanku pada hari ini. Sukar di gambarkan. Sudah lama aku pendam. Begelar pelajar jururawat, ‘student nurse’, bukan sesuatu yang mudah. Sangat mencabar. Lebih-lebih lagi apabila berkaitan dengan perasaan. Aku juga manusia biasa. Semua orang pun begitu. Mana ada yang tidak terguris dengan herdikan manusia yang bisa sahaja bercakap. Setiap orang melakukan kesilapan, dan akan belajar daripada kesilapan. Tiada manusia yang sempurna dan tahu semua perkara dalam masa yang singkat.

Banyak kali aku makan hati dengan sikap manusia di sekelilingku. Semuanya ‘well educated’. Lebih baik bekerja dengan pokok. Bekerja di dalam wad banyak memerlukan kesabaran. Di samping fizikal yang sakit, hatiku juga turut sama sakit. Dengan sikap yang namanya manusia. Ya, aku akui aku masih seorang pelajar. Terpaksa menuruti perintah tuan empunya hospital. Maklumlah, menumpang di tempat orang. Aku turuti kerana tanggungjawab. Namun, manusia tidak pernah puas. Ada sahaja kurangnya. Ada saja silapnya. Aku terima kekurangan juga teguran. Tapi, biar ada cara. Sedangkan Allah pun menyuruh Nabi berbicara dengan lembut pada si Firaun yang angkuh. Inikan kita, sesama manusia. Aku bukan seangkuh firaun yang mengganggap dirinya Tuhan. Lantas, tidak bolehkah menegur dengan baik. Bagaikan seorang ibu menegur anaknya. Bukan caranya menenking. Penat aku dengan kerenah manusia. Penat dengan telatah mereka. Menganggap kami tahu segala-galanya. Marah apabila kami tidak tahu. Sedangkan ilmu itu perlu diajar, baru ada manfaatnya. Salahkah kami bila berkata ‘tidak tahu’?. Manusia. Kamu juga begitu dulu. Jangan rasakan diri terlalu sempurna. Sedangkan nabi pun menjawab pertanyaan Jibril ‘aku tidak tahu membaca’ apabila disuruh membaca. Kita semua sama sahaja. Kamu pernah di tempatku. Jangan terlalu menganggap diri sempurna kerana ilmu yang telah engkau ada. Padahal, itu semua pinjamanNya.

Moga hari esok, kita lebih baik. Ajar aku jika aku tidak tahu. Jangan asyik menenking, menjengkelkan mata, berteriak, itukah nilai seorang guru. Pada anak muridnya? Pandanglah semua orang dengan kaca mata insan. Jangan meanggap semua orang terlalu 'perfect'....

Sunday, May 2, 2010

Mulianya dirimu

Bismilahirahmanirahim..............

Hidupmu demi anakmu
Demi kami, kau rela bersusah
Berjaga malam menjaga kami
ketika kami sakit, kami merengek,
Engkau ada di samping kami
Tidak berganjak, apalagi mengeluh

Engkau sabar dengan kerenah anak-anakmu
Dengan kenakalan kami
Setiap saat setiamu bersama kami
Biarpun peluh membasahi dirimu
Engkau terus menggagahkan diri demi kami

Engkau ibarat guru di rumah
Tidak pernah jemu mendidik kami
Sentiasa membimbing kami
Biarpun kami masih belum mengerti hakikat hidup ini
Sebagai bekalan buat kami
Untuk terus meniti perjalanan hidup ini

Engkau sentiasa bimbang dengan anak-anakmu ini
Makannya, pakaiannya, tempat tidurnya,
Engkau awasi setiap gerak geri kami
Supaya kami selamat
Selamat daripada bahaya dunia

Mata itu telah kering
Dengan tangisan buat anak-anakmu
Kejayaan kami, kegagalan kami,
Walau apapun kami, engkau masih di sisi
Jatuh bangun kami, engkau masih setia menanti
Biarpun engkau sendiri sudah banyak merana diri

Mulianya dirimu duhai ibu
Manakan dapat aku cari pengganti
Mana mungkin duit dapat kuganti,
Harta pun tidak mampu membayar
Semua pengorbanan darimu
Malah, seisi dunia tidak mampu menandingi harga perit dan jerihmu
Dalam membesarkan kami, anak-anakmu

Andai suatu hari nanti
Engkau telah pergi, aku masih perlukan doamu, ibu,
kata-kata semangat darimu,
Untuk aku terus berdiri
Di bumi ini,
Untuk melangkah lebih jauh,
Di medan ini.

Aku ingin rasai hangat pelukmu ibu,
Cium tanganmu,
Belaian darimu
Kemesraan darimu,
Yang tidak bisa ku beli,
Yang tidak mampu ku cari
Dan tiada pengganti
Engkaulah ibu yang ku cintai